Sunday, May 24, 2009

Mesej Teladan melalui Filem Komersil: Satu enigma

Alkisah seorang sutradara primavera menyinga apabila karya beliau yang mengangkat masalah gejala sosial sebagai pokok cerita didakwa membawa impak yang sebaliknya, karya yang sepatutnya memberi pengajaran dan dijauhi dikatakan menjadi penggalak dan mencetus minat pula. Bagi Pak Yob, apalah yang hendak diharapkan sangat dari sebuah karya yang bersifat komersil, pasti ada keraguan kalau dikatakan karya seumpamanya itu diteguhkan atas nilai pengajaran semata-mata.

Naskah yang dimaksudkan pastinya sudah semua maklum, secara jujur, Pak Yob sendiri lebih teruja melihat aksi watak protagonis dan antagonis yang sangat ahli dalam mengendalikan jentera bermotor masing-masing dari terbuka hati menghayati pengajaran disebaliknya. Tetapi tidaklah dapat Pak Yob yang dalam usia melewati tiga dasawarsa ini mengetahui adakah mungkin kalangan khalayak remaja yang baru memanjat usia 20an atau yang lewat 20an lebih cerah hatinya dan mumayyiz dalam menghayati tema murni yang mahu disampaikan.

Pada Pak Yob, plot kegigihan jatuh bangun seorang anak muda yang mahu menjadi juara dalam lapangan haram yang disertai itu yang lebih menonjol, lalu tertanya dimana nilai penolaknya? Adakah ianya terletak pada babak pemeran utama ini terbunuh? Jika disitu titiknya, mungkin agak longgar juga kerana pemeran utama ini biarpun dimatikan wataknya diakhir cerita, tetapi termatinya itu adalah kerana perbuatan khianat lalu kematiannya ditangisi sahabat handai. Mungkin mesej pengajaran itu akan dapat dihayati bila penonton mengkaji semual plot cerita selepas habis tonton, dalam suasana ini mungkin pengajaran dan mesej murni itu dapat dicungkil.

Satu faktor yang mungkin memanggil penonton untuk menjiwai watak hero pembalap haram ini ialah bila watak yang sepatutnya penuh sifat keji dan perlu dijauhi itu diperani oleh aktor yang manis-manis dan kacak. Pada pendapat Pak Yob dengan faktor ini, maka ramai yang akan ditimpa perasaan dan mahu meneladani watak yang sesempurna itu kononnya pada kaca mata mereka, lalu mengapa tidak dilakukan anjalkan dengan meletakkan aktor yang bengis dan tidak lawa bagi watak utama itu, seperti lazimnya bagi watak penjahat atau komunis misalannya. Tetapi langkah ini mungkin terlalu optimis bagi sebuah naskah komersil, apatah lagi dengan pasaran tempatan yang terhad, pulangan perlu dipastikan, jika tidak sukar mahu berkarya lagi.

Mungkin jika mahu membicarakan soal filem dan pengajaran, bagi Pak Yob filem “Bukit Kepong” mungkin boleh menjadi rujukan yang baik. Soal nilai komersil dan pengajaran mungkin tidak selalunya dapat diadun sama, ianya mungkin bergantung juga kepada plot penceritaan yang lebih besar. Mungkin pengkarya tidak wajar mendadik dada bahawa karyanya ada nilai pengajaran yang boleh diinsafi, tetapi hakikat itu tidak berlaku, begitu juga jika mahu ditolak aspek komersil bulat-bulat, sukar juga mahu mentelah selera penonton masakini.

Pak Yob bukanlah ahli dalam ilmu perfileman, tetapi diri ini mungkin dari kalangan minoriti yang melontarkan pandangan dari jiwa yang naif dan jahil dalam ilmu perfileman.


Watak utama, Madi, Spark dan Ika

4 comments:

McBudu said...

Secara jujur saya melihat keutamaan filem tersebut adalah untuk mengaut keuntungan material dengan menjadikan unsur kontroversi sebagai penarik. Matlamat memberi pengajaran hanyalah alasan yang mudah laksana melepaskan batuk di tandas!

indica said...

PakYob, satu komentar menarik yg harus diketengahkan ke media arus perdana.

Bagi aku, karya sebegini sewajarnya dibanteras terus dari diketengahkan kepada khalayak. Remaja lebih teruja utk melihat dan seterusnya meniru aksi-aksi yg konon hebat ini. Apatah lagi anak-anak hingusan yg suka mencuba. Mesej yg kononnya ada, tak pernah wujud sebenarnya..
dan yg paling menjengkelkan stesen tv berbayar sering mengulangtayang... untuk apa??

Kdg-kdg saya menjadi begitu risau apa kan jadi pada anak-anak bangsa jika mereka sering dihidangkan dengan hiburan bergejala tidak sihat ini...

Harith Faruqi Sidek said...

McBudu: melepaskan batuk di tandas amat penting untuk meng"cover" bunyi yang kurang enak dan dibimbangi akan mengganggu selera orang diluar pintu..he.he..

Indica: aku sebenornya geram betul dengan mak bapak yang macam lepas tangan je..kat bangi ni misalnya..jam 12 malam boleh ada bebudak remaja melepak ramai-ramai kat kedai makan, seven eleven dan bus stand dengan motorsikal..petang-petang boleh tengok mereka berlumba ke padang bola pula..setahu aku kat bangi ni takde keluarga yang daif sangat sampai tak mampu menyekolahkan anak, lalu tanggapan yang melepak itu dari kalangan yang keciciran sekolah adalah tidak munasabah.

McBudu said...

"....untuk meng"cover" bunyi yang kurang enak dan dibimbangi akan mengganggu selera orang diluar pintu.."

That was EXACTLY the point!