Thursday, June 04, 2009

Ruang Waktu Bersama Pak Djamal Tukimin

Djamal Tukimin?, kenalkah saudara dengan pemunya batang tubuh ini?, anak seni kelahiran temasik ini punya sejarah seni yang besar dalam peta dunia sastera singapura dan Malaysia. Namanya mungkin sangat biasa diseberang tambak sana, namun agak terselindung di negara kita.

Semalam kami dikunjungi oleh beliau yang secara kebetulan dijemput sebagai teman rapat kepada Tan Sri Ismail Hussain yang merupakan pemunya hajat. Tan Sri membawa perkhabaran besar buat kami, dimana beliau diamanahkan untuk mengusahakan penyerahan koleksi peribadi milik Sasterawan Negara, Arena Wati untuk diabadikan di institusi kami, wah ini ibarat pucuk dicita ulam mendatang, tidak berapa detik terdahulu koleksi Shaharom Husain kami usahakan, kini dengan izin allah sebuah lagu koleksi unggul milik figura ternama akan menyusul.

Berbalik kepada kisah Pak Djamal, pertama kali melihat susuk insan ini tidak terdetik yang beliau adalah adiwira dalam medan sastera, berbaju batik, aku fikirkan mungkin teman keluarga Tan Sri sahaja. Setelah salam perkenalan, sedikit demi sedikit korpus sejarah dirinya sampai ke pengetahuanku, rupanya insan yang bangga dengan darah jawanya ini bukan calang-calang manusia. Penerima anugerah Tun Seri Lanang 2007, satu anugerah prestij bagi adiwira sastera Singapura, Pak Djamal kini menabur bakti di UKM selaku karyawan tamu yang mengkhusus menjalankan kajian tentang khazanah pantun melayu.

Aku sempat ”mengumpan” beliau dengan senarai koleksi sumbangan Harun Aminurrashid yang berada dalam koleksi kami, ternyata minat beliau tertumpah jua pada naskah tersebut yang dilihat boleh membantu beliau dalam menjalankan penyelidikan. Senang rasanya mendampingi insan yang merendah diri dan mudah mesra ini, dalam momen sesingkat 2 jam, kami sudah mesra seperti kenalan lama, sejarah persahabatan beliau dengan ayahku juga telah merancakkan lagi detik perkenalan ini.


Pak Djamal..dari temasik beliau berkelana, di bumi UKM bakti ditabur.

No comments: