Oleh : Harith Faruqi Sidek
Jika diimbas kembali sejarah perbukuan negara, antara nama besar yang menunjangi industri ini ialah Pustaka Antara. Menurut Roosfa Hashim (2011:1), Selama tiga dekad, iaitu sekitar tahun 50am-70an, Pustaka Antara merupakan pengedar buku berbahasa Melayu dan Indonesia yang terbesar di Malaysia. Pustaka Antara telah ditubuhkan oleh Datuk Abdul Aziz Ahmad pada tahun 1953 dan beroperasi di premis beralamat 399 A, Jalan Tuanku Abdul Rahman, iaitu bersebelahan dengan Bangunan UMNO. Sebelumnya mereka beroperasi di sebuah premis beralamat di no.531 di kawasan yang sama.
Datuk Abdul Aziz Ahmad....Pengasas Pustaka Antara. |
Tulisan Dr. Roosfa Hashim mengenai Datuk Abdul Aziz. |
Logo baru ? |
Menjadi pilihan penulis terkenal
Selain menjadi pengedar, Pustaka Antara turut menerbit buku-buku yang dihasilkan oleh penulis ternama dari Indonesia, umpamanya HAMKA, Sidi Gazalba dan Pramoedya Ananta Toer. Sementara penulis tempatan yang karyanya pernah diiterbitkan oleh Pustaka Antara ialah, Matlob, A. Samad Said, Arena Wati, Ajikik, Mokhtar Petah, Asmah Omar, Awam-il Sarkam, Nora dan ramai lagi. Selain menerbitakan karya yang dihasilkan oleh Sasterawan, penulis dan ahli akademik, Pustaka Antara turut menerbitkan naskah yang dihasilkan oleh ahli politik, umpamanya naskah Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang berjudul 'looking Back' pada tahun 1977, naskah Tun Dr. Mahathir berjudul 'Cabaran!' diterbitkan pada tahun 1976, kemudian Datuk Senu Abdul Rahman turut menghasilkan karya 'Keselamatan Sudah Tidak Terjamin: Masa Sudah Tiba Untuk Kita Berterus Terang' yang diterbitkan dalam tahun yang sama. Pada tahun 1991, Pustaka Antara menerbitkan Memoir Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang dihasilkan oleh Tan Sri Shariff Ahmad.
Kedudukan yang strategik
Kedudukan bangunan Pustaka Antara yang bersebelahan dengan Bangunan UMNO menyebabkan ia menjadi tempat kunjungan para ahli politik, wartawan dan tokoh-tokoh tanahair. Datuk Abdul Aziz sendiri mempunyai hubungan rapat dengan ahli politik dari UMNO.
Buku karya SN Arena Wati yang diterbitkan oleh Pustaka Antara. |
Karya SN Abdullah Husain terbitan Pustaka Antara. |
Akhbar Watan dan ISA
Selain menerbitkan buku, Pustaka Antara untuk menerbitkan sebuah akhbar yang cukup popular sekitar tahun 80an, iaitu akhbar Watan. Namun, atas kandungannya yang dikatakan menyemarakkan fahaman komunis, akhbar ini mendapat perhatian daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Padah akhirnya datang pada 13 Oktober 1981, dimana wartawan kanan akhbar berkenaan, Abdul Halim Mahmud telah dikenakan tahanan tanpa bicara atau ISA atas kesalahan membenarkan akhbar kelolaannya menjadi alat penyebaran ideologi komunis ( Berita Harian, 13 Oktober 1981). Abdul Halim ditahan ketika dalam perjalanan ke pejabat beliau di bangunan Pustaka Antara sekitar jam 8.30 pagi.
Kehilangan hak penerbitan karya HAMKA ?
Penerbitan naskah karya ulama tersohor nusantara, HAMKA sangat sinomim dengan Pustaka Antara, malah jika disemak koleksi -koleksi tulisan Hamka di perpustakaan di Malaysia, pastinya naskah terbitan Pustaka Antara yang ditemui. Proses penerbitan karya Hamka sebenarnya tidak mudah, pengalaman mengendalikan manuskrip serta hubungan dengan tokoh itu sendiri ada diceritakan oleh sasterawan negara, Arenawati dalam memoir beliau, Enda Gulingku. Namun kini Pustaka Antara dikatakan tidak lagi boleh mencetak naskah-naskah berkenaan kerana keizinannya sudah dikembalikan kepada waris ulama terkemuka tersebut. Kunjungan ke toko-toko buku pula mendapati deretan naskah Hamka kini diterbitkan oleh Pustaka Dini.
Buku- buku Hamka kini diterbitkan semula oleh Pustaka Dini. |
SN Arena Wati turut menceritakan kisah beliau bersama Pustaka Antara didalam memoir ini. |
Baranya masih ada
Pustaka Antara yang telah berusia 60 tahun masih kekal beroperasi hingga ke hari ini biarpun namanya tidak lagi segagah dahulu, malah Bangunan Pustaka Antara juga telah ditinggalkan sekitar akhir tahun 90an. Kini Pustaka Antara beroperasi di Lot UG 7 dan 9, Upper Ground Floor, Kompleks Wilayah yang terletak di Jalan Munshi Abdullah, semoga bara yang tinggal kini akan kembali bersemarak suatu hari nanti.
Rujukan:
Masalah apabila buku teks tiada di pasaran (11 Februari 1982). Berita Harian.p. 3
Wartawan kanan akhbar Watan ditangkap di bawah ISA. (13 Oktober 1981), Berita Harian. p.1
Arena Wati. 1991. Enda Guling: Memoir Arena Wati. Bangi: Penerbit UKM.
Roosfa Hashim. (2011). Abdul Aziz Ahmad : Pengasas Pustaka Antara. In M. S. A. Ishak (Ed.), Tokoh-Tokoh Perbukuan Malaysia.Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia.
9 comments:
salam
tahniah Tuan.. satu bahan sejarah yang menarik
Salam,
Terima kasih kembali tuan Hafez...
Salam,
Keghairahan terhadap Pustaka Antara dan buku-buku Buya Hamka sama besarnya dengan keinginan saya untuk berkunjung ke Toko Gunung Agung di Indonesia. Alhamdulillah, di tahun 2004 saya sempat berkunjung ke toko tersebut yang terletak di daerah Senen, Jakarta. Ternyata, lubuk-lubuk penerbitan khazanah lama lebih menggamit daripada mall2 besar.
Ketika berkunjung ke North Bridge Road dan Bussorah St. di Singapura, walaupun toko-toko yang berfungsi sebagai lubuk menerbitkan majalah dan buku lama sudah bertukar status, tetapi melihat toko-toko itu di depan mata membawa seribu satu rasa yang tidak dapat digambarkan.
Terima kasih untuk segala khazanah-khazanah lama yang Sdr. Harith paparkan, sama ada di blog ini atau di forum terbuka nan itu.
Sekian,
NB
Salam,
Tuan Notalalaland,
Terima kasih atas kunjungan tuan ke blog ini. Bertuah tuan dapat melawat ke toko-toko buku berkenaan, moga toko-toko buku tidak lenyap ditelan arus...
Mana mungkin Pustaka Antara luput dari ingatan. Saya dan teman membeli buku2 novel Mukthar Lubis ''Bumi dan Manusia'' disini lalu dihadiahkan kepada teman ini di tahun2 1982. Cukup manis kenangan di Chow Kit.
Salam,
Saya seorang cucu Aziz Antara dan dibesarkan di kedai buku 8 tingkatnya di 399A Jalan TAR (kini pejabat Tabung Haji) tanpa mengetahui sebarang sejarah tentang Datuk, melainkan gemarnya dengan bandar Jakarta. Banyak sudah berlaku semenjak 20 tahun lalu. Walaupun hubungan saya dengan Datuk tidak begitu mesra, saya bersyukur dengan adanya blog dan obituary seperti ini. Terima kasih sepenuhnya kepada pengarang.
Salam,
Saudara Shazwan,
Terima kasih kembali...saya mengenal dunia buku juga melalui Pustaka Antara...besar jasa Datuk saudara dalam industri perbukuan dan pengembangan ilmu tanahair..malah menjadi jambatan ilmu antara Malaysia dan Indonesia juga...saya berharap Pustaka Antara akan kembali gagah.
Buku tenggelamnya kapal van der wijck masih lagi dijual ke?
Saya adalah isteri kepada Allahyarham Halim Mahmood pengarang WATAN ingin membetulkan fakta mengenai tahanan di ISA. Sebenarnya penahanan itu bukan kerana tersiarnya artikel di WATAN mengenai propaganda komunis Islam di Russia tetapi lebih kepada suasana politik yang bergolak ketika itu di tahun 1981. Ada pemilihan Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri ketika itu antara dua tokoh ternama. Masa itu akhbar WATAN lebih menyokong satu nama dan nama seorang menteri lagi merasa tercabar kedudukannya. Akhirnya beliau menang dan kerana dendam di hati yang membara sekian lama, akhbar WATAN menjadi mangsa. Kerana tiada isu, digunakan artikel Islam di Russia yang masa itu negara komunis.Ditulis oleh wartawan WATAN Yusuf Harun.Disebabkan
penulisnya berada di luar negara,juga ada yang menasihatinya jangan pulang dulu, maka ketua pengarangya Halim Mahmood yang menjadi mangsa kerana kononnya bertanggung jawab mengeluarkan artikel itu dan diikuti tak lama selepas itu Datuk Aziz Ahmad turut ditahan sama selaku penerbit akhbar tersebut. Betul dikatakan politik boleh menganiaya siapa saja. Ramai tokoh nama besar pernah ditahan di ISA. Penahanan tanpa perbicaraan. Tiada keadilan. Kini telah dimansuhkan.
Post a Comment