Oleh : Harith Faruqi Sidek
Tanggal 27 Mac 2013, iaitu hari Rabu di Kota Mekah, seusai melakukan tawaf sunat sekitar jam 5.45, saya berkira-kira mahu pulang ke hotel penginapan, walau bagaimanapun, tatkala di pintu Masjidil Haram, saya berpaling ke arah kiri, lalu terpandang tanda arah yang bertulis 'Library of Al-Masjid Al-Haram' pada detik itu juga saya dipandu hati untuk menuruti tanda arah tersebut. Rasanya selepas tiga aras baharulah saya sampai di sebuah pintu besar yang saya kira pastinya pintu masuk utama ke perpustakaan Masjidil Haram ini.
Tanda arah di tingkat bawah Masjidil Haram. |
Tiba-tiba muncul dua susuk manusia berseragam biru yang memang biasa kelihatan disekitar Masjidil Haram, mereka adalah pekerja yang menyelenggara kebersihan premis agung ini. Sebaik melihat saya, serentak kedua mereka memberi isyarat 'tidak' dan disusuli dengan isyarat tangan mengarah ke dewan solat di tingkat bawah, kata mereka (dalam bahasa arab) jemaah tidak dibenarkan memasuki perpustakaan itu. lazimnya saya akan akur dengan arahan sebegini, tapi entah mengapa segala pancaindera yang ada seakan sepakat berkeras mahu ke sana, lalu saya pinta keizinan mereka dengan alasan cukuplah jika sekadar dibenarkan mengambil gambar sahaja. Syukur, hati mereka juga sepakat memberi izin, lalu saya ditinggalkan untuk meneruskan perjalanan kedalam perpustakaan berkenaan.
Perlu mendaki anak tangga lagi sebaik melihat tanda arah ini. |
Tanda nama Perpustakaan Masjidil Haram yang terletak di pintu utama. |
Sebaik pintu besar itu dikuak, kelihatan tembok mar mar yang kosong, tahulah saya yang perpustakaan pastinya berada di tingkat seterusnya. Akhirnya saya tiba juga di pintu masuk perpustakaan Masjidil Haram, pandangan pertama saya tertumpu pada empat susuk manusia yang sedang santai, seorang diatas kerusi, sementara tiga lagi sedang berbaring di atas permaidani. Tiga daripada mereka berwajah arab dan berjubah putih lengkap dengan serban, sementara seorang lagi berwajah asia dan berunifom sepertimana dua orang yang terdahulu saya temui di tingkat bawah. Setelah memberi salam, saya memperkenalkan diri sebagai pustakawan dari Malaysia yang ingin merakam foto sekitar perpustakaan tersebut, ketiga-tiga pemuda arab itu kelihatan tercengang-cengang, hinggalah pekerja berwajah asia tadi bertanyakan hasrat saya dalam longhat indonesia, maka tahulah saya beliau pastinya berasal dari negara jiran.
Saya ulangi hasrat saya tadi kepada pekerja dari indonesia tadi (saya langsung terlupa bertanyakan nama beliau), lalu ia diterjemahkan kedalam bahasa arab kepada ketiga-tiga pemuda arab tadi, mereka kemudiannya memberi isyarat tangan 'pergilah' kearah rak-rak perpustakaan kepada saya, maka fahamlah saya, keizinan sudah diberikan. Lalu saya berseorang melangkah ke ruang perpustakaan itu sambil memetik punat kamera digital kompak saya bila terlihat sudut yang ingin dirakamkan. Tiba-tiba pekerja dari Indonesia tadi merapati saya dan seakan mahu membantu, lalu saya ajukan beberapa soalan kepada beliau.
Saya: Lazimnya berapa anggaran pengguna yang menggunakan perpustakaan ini setiap hari?
Pekerja : Oh! perpustakaan ini tidak dibuka kepada jemaah, hanya mudir-mudir sahaja yang menggunakan koleksi di perpustakaan ini.
Saya: Jadi maksudnya perpustakaan ini hanya dikhaskan kepada kakitangan serta Mudir yang mengajar Masjidil Haram sahaja ?
Pekerja: (dalam keadaan teragak-agak)...ya, hanya mudir-mudir sahaja.
Saya : Siapa yang mengkatalog buku-buku disini?
Pekerja: Saya tidak pasti, cuma bukan dilakukan disini.
Saya: oh! bukan dilakukan disini? kamu pustakawan disini?
Pekerja: Saya petugas biasa disini, urus kebersihan.
Dengan jawapan beliau tadi, maka tahulah saya beliau bukan sumber yang boleh memberi maklumat yang sahih, tapi dengan waktu singkat yang 'dihadiahkan' kepada saya itu saya terus bertanya juga.
Saya: Siapa mereka yang berjubah itu?
Pekerja: Mereka itu pegawai atasan yang bertugas di perpustakaan ini.
Saya: Jadi mereka itu Pustakawan disini?
Pekerja: Pustakawan? ( rasanya beliau tidak tahu tentang profesyen ini)
Saya: Pustakawan...mereka yang mentadbir perpustakaan ini.
Pekerja : hmm...mereka disini untuk melihat-lihat..err...
Melihatkan beliau bergelut dengan perkataan yang menerangkan tugas ketiga-tiga 'pegawai atasan' tadi, segera saya memotong..
Saya: seperti menyusun buku dan memastikan pembukaan perpustakaan ini?
Pekerja : iya ( sambil menganggukan kepala).
Saya: ok, kamu sudah berapa tahun bekerja disini?
Pekerja : Saya baru setahun disini...
Saya: Wah! baru setahun tapi sudah fasih berbahasa arab..( ujar saya penuh kekaguman).
Pekerja: ..(hanya tersenyum)...tadi saya bilang sama mereka, kamu ini orang indonesia, rakan senegara saya, kemari hanya untuk ambil gambar sahaja.
Saya: oh...begitu rupanya...terima kasih saudara, atas bantuan itu serta maklumat tadi.
Sebelum berlalu sempat saya ucapkan terima kasih juga kepada ketiga pekerja arab tadi, tanpa disangka seorang daripada mereka menawarkan saya peluang untuk berkunjung semula pada hari jumaat depan (29 Mac 2013) jika berminat, mereka akan membuka perpustakaan tersebut untuk orang awam, malangnya pada tarikh berkenaan saya akan berangkat pulang, dan pastinya tiada peruntukan masa untuk itu.
Hasil pemerhatian saya, tiada seorang pengguna menggunakan perpustakaan pada waktu tersebut, koleksi juga agak terhad disamping tiada unit komputer untuk kegunaan pengguna disediakan.
Bersama isteri di hadapan Masjidil Haram. |
Sebagai sebuah perpustakaan khusus, perpustakaan ini memang dijaga rapi, sayang saya tidak dapat menemubual pustakawan yang bertugas, atau setidak-tidaknya mereka yang benar-benar arif tentang pengurusan perpustakaan ini, namun saya tetap memberi kredit dan menghargai sumbangan pekerja yang memberi maklumat ringkas tentang perjalanan perpustakaan ini, semoga beliau dirahmati. Wassalam.
No comments:
Post a Comment