Sunday, May 24, 2009

Mesej Teladan melalui Filem Komersil: Satu enigma

Alkisah seorang sutradara primavera menyinga apabila karya beliau yang mengangkat masalah gejala sosial sebagai pokok cerita didakwa membawa impak yang sebaliknya, karya yang sepatutnya memberi pengajaran dan dijauhi dikatakan menjadi penggalak dan mencetus minat pula. Bagi Pak Yob, apalah yang hendak diharapkan sangat dari sebuah karya yang bersifat komersil, pasti ada keraguan kalau dikatakan karya seumpamanya itu diteguhkan atas nilai pengajaran semata-mata.

Naskah yang dimaksudkan pastinya sudah semua maklum, secara jujur, Pak Yob sendiri lebih teruja melihat aksi watak protagonis dan antagonis yang sangat ahli dalam mengendalikan jentera bermotor masing-masing dari terbuka hati menghayati pengajaran disebaliknya. Tetapi tidaklah dapat Pak Yob yang dalam usia melewati tiga dasawarsa ini mengetahui adakah mungkin kalangan khalayak remaja yang baru memanjat usia 20an atau yang lewat 20an lebih cerah hatinya dan mumayyiz dalam menghayati tema murni yang mahu disampaikan.

Pada Pak Yob, plot kegigihan jatuh bangun seorang anak muda yang mahu menjadi juara dalam lapangan haram yang disertai itu yang lebih menonjol, lalu tertanya dimana nilai penolaknya? Adakah ianya terletak pada babak pemeran utama ini terbunuh? Jika disitu titiknya, mungkin agak longgar juga kerana pemeran utama ini biarpun dimatikan wataknya diakhir cerita, tetapi termatinya itu adalah kerana perbuatan khianat lalu kematiannya ditangisi sahabat handai. Mungkin mesej pengajaran itu akan dapat dihayati bila penonton mengkaji semual plot cerita selepas habis tonton, dalam suasana ini mungkin pengajaran dan mesej murni itu dapat dicungkil.

Satu faktor yang mungkin memanggil penonton untuk menjiwai watak hero pembalap haram ini ialah bila watak yang sepatutnya penuh sifat keji dan perlu dijauhi itu diperani oleh aktor yang manis-manis dan kacak. Pada pendapat Pak Yob dengan faktor ini, maka ramai yang akan ditimpa perasaan dan mahu meneladani watak yang sesempurna itu kononnya pada kaca mata mereka, lalu mengapa tidak dilakukan anjalkan dengan meletakkan aktor yang bengis dan tidak lawa bagi watak utama itu, seperti lazimnya bagi watak penjahat atau komunis misalannya. Tetapi langkah ini mungkin terlalu optimis bagi sebuah naskah komersil, apatah lagi dengan pasaran tempatan yang terhad, pulangan perlu dipastikan, jika tidak sukar mahu berkarya lagi.

Mungkin jika mahu membicarakan soal filem dan pengajaran, bagi Pak Yob filem “Bukit Kepong” mungkin boleh menjadi rujukan yang baik. Soal nilai komersil dan pengajaran mungkin tidak selalunya dapat diadun sama, ianya mungkin bergantung juga kepada plot penceritaan yang lebih besar. Mungkin pengkarya tidak wajar mendadik dada bahawa karyanya ada nilai pengajaran yang boleh diinsafi, tetapi hakikat itu tidak berlaku, begitu juga jika mahu ditolak aspek komersil bulat-bulat, sukar juga mahu mentelah selera penonton masakini.

Pak Yob bukanlah ahli dalam ilmu perfileman, tetapi diri ini mungkin dari kalangan minoriti yang melontarkan pandangan dari jiwa yang naif dan jahil dalam ilmu perfileman.


Watak utama, Madi, Spark dan Ika

Thursday, May 21, 2009

Kau Pergi Jua...

Persis tajuk lagu dendangan Adam Ahmad, itulah gambarannya, petang semalam kami kehilangan tunggangan kami seharian. Kereta yang menjadi ahli keluarga sejak hampir 5 tahun akhirnya terpaksa kami lepas pergi. Memang dah lazim keadaan semasa kereta buatan korea tidak ada nilai pasaran yang baik,justeru menunggu lama untuk dijual bukanlah opsyen yang bagus. Perpisahan dengan meninggalkan hutang RM5 ribu yang perlu dilangsaikan. Jadi untuk baki tiga bulan lebih ini kami akan menggunakan tunggangan lain...mungkin mcbudu boleh bagi pinjam sebuah dari kalangan deretan keretanya...atau mungkin indica bermurah hati mengetuk pintu rumah kami setiap pagi untuk ber"car pool".....buat WMC 8460, terima kasih atas jasamu selama ini..walaupun detik-detik akhir kau banyak merajuk sampai bocor poket aku tiap2 bulan.


Tatkala dia mula meninggalkan kami....


sayup.....moga hidupnya dengan tuan baru akan lebih baik.

Wednesday, May 13, 2009

Gagal percubaan pertama.....

Hari ini Pak Yob cuti untuk selesaikan urusan permohonan visa, dengan deretan peraturan dan syarat yang semakin ketat, persediaan sebaiknya kami lakukan. Jam sekitar jam 9.o0 kali tiba di Bangunan MCA (sebelah Citibank) yang menempatkan pejabat urusan Visa UK. Perkhabaran awal dari teman yang mengatakan pejabat ini selalunya sesak dan perlu sampai awal ternyata meleset (mungkin mereka maksudkan pejabat di tempat selainya), kami terus ke kaunter dengan borang dan rekod pembuktian yang dirasakan telah sempurna. Senarai semak dirujuk bersama petugas di kaunter, belumpun sampai separuh jalan kami dah terhenti pada "Visa Letter", selama ini kami sangka unconditional offer letter itulah "visa letter"...malangnya kami silap.


Ini bukannya visa letter yop....

Seterusnya kami juga dimaklumkan yang visa letter itu lazimnya dikeluarkan oleh pihak universiti dalam tempoh 3 bulan dari tarikh kemasukan, jadi kena tunggu dulu. Sebelum urusan kami berakhir, kami juga dimaklumkan yang kami ini sebenarnya buat permohonan terlalu awal, sepatutnya permohonan kami adalah 3 bulan dari tarikh berangkat atau tarikh kemasukan, iaitu sekitar bulan Jun.Perkara ini tak pula dimaklumkan dimana-mana, tapi tak apa juga kerana masih ada masa lagi.


Borang-borang yang masih perlu dikelek lagi...

Pejabat urusan kami tinggalkan dengan sedikit keciwa, tetapi tak mengapa kerana masa masih menyebelahi kami. Bagus juga kami mendapat maklumat terus dari pihak yang menguruskan kerana rujukan kepada manual yang disediakan banyak yang keliru. Akibat kekeliruan yang amat kusut persis "konflik politik di Perak" maka dari galak berbahasa inggeris akhirnya kami rancak pula berbahasa melayu, yang ternyata dapat meleraikan apa yang kusut tadi, kakitangan tadi siap berbahasa dalam telor perak lagi, lenguh rahang jugak gamaknya dia bercakap bahasa inggeris dengan teman yang bengap ni.

Selepas dari urusan ini kami ke JPJ Bandar Permaisuri untuk dapatkan pengesahan kereta yang mahu dijual, sempat juga kami pekena nasi kandar kayu....sepinggan RM6 (ayam madu + acar timun)..harga yang berpatutan dengan rasa yang masih terkenang-kenang saat menaip entri ini.

Tuesday, May 12, 2009

Jadi Jutawan dengan Harta Intelek.

Tahukah kita bahawa ada ramai sarjana dan pengusaha seni yang menikmati laba yang besar dan lumayan hasil sentuhan seni dan karya mereka. Dikhabarkan telah ada dikalangan mereka yang mempunyai Harta Intelek dalam bidang seni suara telahpun mencapai taraf jutawan (tomok terkecuali dalam kes ni...).

Perkembangan terkini ialah kaedah muat turun nada dering yang dianggap mampu menampung kesengsaraan akibat industri album yang lembab. Sejak 2005, berbilang penggiat seni yang hampir mencapai tahap jutawan melalui lagu popular mereka yang mendapat permintaan muat turun yang tinggi. Caj perkhidmatan dan langganan yang "mesra" pengguna dilihat menyumbang kepada perkembangan industri ini. Menurut Azrul Affandi Sobry (Berita Harian 10 Mei 2008), antara artis yang mendapat laba lumayan ialah Aizat, setakat ini beliau dipercayai telah menerima habuan sebanyak RM500 ribu hasil dari nada dering lagunya ”Hanya Kau Yang Mampu” yang telah mendapat 1.2 juta langganan. Lagu ”Zakiah” oleh kumpulan JinBara pula dipercayai akan memberi pulangan sekitar RM78 ribu kepada mereka, begitu juga dengan lagu ”Bila Aku Sudah Tiada” nyanyian Kumpulan Hujan dan Anuar Zain dengan lagunya ”Lelaki Ini”. Perbandingan dengan jualan album penuh misalannya, bagi kes kumpulan 6ixth sense, album mereka hanya terjual tidak pun lebih 15,000 unit, tetapi dengan langganan nada dering, lagu ”Tanpa” yang dipopularkan oleh mereka bakal membawa pulangan sekitar RM30 ribu.

Aizat..bakal jutawan?

Kes yang disebut diatas adalah kalangan artis yang agak baru dalam industri arus perdana, cuba kita bayangkan berapa pulangan karyawan besar seperti M.Nasir, Datuk Siti Nurhaliza atau bintang realiti, Mawi. Allahyarham Loloq misalannya, biarpun beliau telah meninggal dunia, melalui pengurusan yang berkesan, hasil royalti dari karya emas beliau pastinya memadai untuk menjanjikan kehidupan yang selesa buat keluarganya.

Jika pulangan harta intelek dari industri seni muzik mampu membuka mata kita, pulangan dari karyawan yang berkecimpung dalam alam kepengarangan juga tidak kurang hebatnya. Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan yang juga seorang pengusaha buku mengakui, jika kena gayanya, seorang penulis itu boleh hidup mewah dari hasil karya yang popular, beliau memberi contoh buku ”Travelog Haji” karya Kamil Ibrahim yang sehingga bulan April 2009, telah terjual sekitar 50,000 naskah, dan kini masih diulang cetak. Selain hasil dari penerbitan buku, usaha perlesenan karya yang dieksport ke negara luar juga menjadi sumber yang baik, namun usaha kearah itu masih dingin. Dalam satu seminar berkaitan harta intelek, Prof. Abdullah sempat memberi maklumat yang dikira menarik, rasanya tidak ramai yang tahu bahawa karya animasi tempatan iaitu Usop Sontorian dan Anak-anak Sidek telah dialih bahasa dan dieksport ke benua lain.

Rancangan Majalah Tiga setahun lalu pernah menyiarkan perihal kartunis tersohor negara, Dato’ Lat yang menjalani penghidupan yang mewah hasil karya beliau, manakan tidak siri kartun ”Budak Kampung ” karya beliau telah diterbitkan dalam pelbagai bahasa. Selain dalam bentuk bercetak, harta intelek beliau ini juga telah dihasilkan dalam format animasi.

Dewasa ini soal harta intelek mendapat perhatian yang sewajarnya dari kerajaan, perlindungan keatas hak eksklusif harta intelek dapat dilaksanakan melalui akta hak cipta 1987. Agensi yang bertanggungjawab menguruskan aspek pendaftaran harta intelek, iaitu Perbadanan Harta Intelek Malaysia juga semakin berkesan peranannya, bersempena dengan hari intelek negara baru-baru ini, agensi ini telah membuktikan betapa mereka serius dengan tanggungjawab yang diamanahkan.

Sunday, May 10, 2009

Babaaaa.....Ira nak yaaaaaakkkk!!!!

Minggu ini merupakan minggu ketiga Ira di "Toilet Training" kan, prestasinya setakat ini kurang konsisten. Adakala Ira memberi isyarat yang betul, tetapi banyak juga yang "false alarm"...adakala tak keluar langsung, ada juga sesekali dua "angin" yang keluar, lalu dengan tersengih menampakkan gigi kapaknya seraya berkata..." ira tut je......" (Ira kentut aje...).

Maka kami sekeluarga dalam tempoh ini dalam situasi berjaga-jaga agar tak terlepas alarm yang akan berbunyi "Ira nak yaaaakkkk"...atau dia dah kenalpasti siapa yang perlu bertugas, sama ada " babaaaa...Ira nak yaaakkk" atau "miiiiiii....Ira nak yaakkkkkk".

Kalau nak dibandingkan dengan si Ziyad, nampaknya Ira lebih mudah sikit, dia tak galak bermain sangat. Ziyad dulu sangat ligat, maka sambil terloncat terlenjan tu maka berciciranlah air buangannya....adakala dalam kereta pun dilepaskan hajat itu.

Ira pergi tadika tanpa pakai pampers, tapi dalam beg dibekalkan juga sekeping dua, kesian juga kat cikgunya kalau dua tiga kali bertabur dalam kelas. Tapi tiap kali balik sekolah, ira pasti dipakaikan pampers, Pak Yob diamkan aje....takpala..kat rumah nanti kita sambung training.


"Babaaaaaa.....Ira nak yaaakkkkkk"

Thursday, May 07, 2009

Sudah Resam Adik beradik....

Resamnya adik beradik....ibarat lidah dan gigi...ada kala tergigit lalu berdarah..namun berpisah tiada...

biar gambar yang berkata-kata....







Wednesday, May 06, 2009

Adakah aku Penagih Pen yang Tegar?

Entah macam mana sedang Pak Yob mengelamun dalam kekenyangan dalam waktu rehat di kamar pejabat tengahari semalam, sedang melepaskan pandangan ke setiap sisi dan penjuru kamar...baru Pak Yob perasan....betapa banyaknya pen yang berada dalam kamar pejabat pak yob ini. Majoriti pen-pen itu adalah gratis (ertinya Percuma, Kamus Dewan ms.413)....ada pemberian teman korporat, ada sebagai cenderamata, ada yang diterima sebagai anugerah...tetapi jumlah yang terkecil harus dikalangan yang dipunyai dengan wang saku sendiri.


Tiga rumpun pen-pen gratis...

Bukan hiasan...tapi sudah takdir tempatnya disitu

Biarpun gratis...atas nilai sentimental maka kekallah ia disitu.

Gratis dari negara diatas angin....
(dari kiri...Vietnam, Manchester Metropolitan University , John Moores Liverpool, UK Education, New Zealand, Australia dan Holiday Inn Sydney.

Siapa kata barang gratis tidak menang dipakai...terima kasih buat Maybank, Angah (Waikato N.Z), Science Direct dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Murah tapi enak dipakai...nicorette, custom pen, Allan D'lious dan Zebra.

Trio Faber-Castell...mengapa boleh sampai tiga...ini kes hilang dan jumpa kembali.

Siri Sheaffer....sudah lama terbiar.

Siri Parker.....zamannya sudah berlalu...tapi prestasinya masih bagus.

Teman baru....si kembar Safari LAMY...sayang, ada satu warna kuning pemberian bapa mertua telah hilang...entah dimana.
Sebenarnya dirumah masih ada segenggam dua koleksi pen-pen gratis....malah ada yang telah disalahguna oleh Ira dengan menconteng sofa dan dinding....tak mengapa..asal jangan diconteng muka Pak Yob dan Mak Yong kelak sudahlah.

Sunday, May 03, 2009

Jika kucing pun ke Perpustakaan, anda bagaimana?


Si Fidel....kucing dengan baca@gaya hidup.

FIDEL, kucing hitam berusia lapan tahun, hampir setiap hari sejak dua tahun kebelakangan ini mengunjungi Perpustakaan Daerah Deal yang terletak di Deal, Kent, Britain. Ia mengikuti tuannya yang bekerja di perpustakaan itu.

Fidel akan menghabiskan masa di kerusi biru kegemarannya dan hanya akan meninggalkan perpustakaan apabila tuannya habis bekerja.
Staf perpustakaan itu memberitahu, mereka tidak pernah memberikan sebarang makanan kepada Fidel malah cuba menghalaunya, namun ia kembali semula.
Pengurus perpustakaan, Heater Hilton mengatakan Fidel amat popular di kalangan pengunjung perpustakaan.

"Saya fikir Fidel meminati lukisan kerana sering mengamati lukisan yang tergantung di dinding perpustakaan. Malah Fidel tiba lebih awal daripada pekerja perpustakaan dengan menunggu penuh sabar di pintu utama perpustakaan," ujarnya.
Fidel sebenarnya merupakan kucing terbuang yang diselamatkan tuannya dari sebuah pangsapuri di Deal.

(sumber :http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm)

Kata Pakyob: Mahukan khazanah ilmu, jejaklah kakimu di Perpustakaan, jamahlah himpunan ilmu dan maklumat ada, nescaya anda adalah jutawan ilmu.

Berbahasa silang campur ibarat separuh ular separuh belut: wajarkah ia dihalalkan ?.

Semenjak isu status agama bagi anak-anak yang penjaganya bertukar agama menjadi isu watan yang mengundang sisi perspektif yang pelbagai dari masyarakat, soal PPSMI nampaknya tenggelam atau seakan pitam. Bahasa jiwa bangsa, bahasa melambangkan bangsa dan berbudi bahasa amalan kita, begitulah norma-norma bahasa yang dikaitkan dengan nilai murni sebuah kehidupan, namun sejauh mana ianya dihayati dan dilestarikan dikalangan penuturnya.


Pendidikan aliran inggeris yang diperkenalkan oleh penjajah dipercayai menjadi pencetus kepada lahirnya penutur-penutur inggeris tegar dikalangan masyarakat Malaysia atau melayu khususnya. Dikalangan mereka yang mampu berbahasa inggeris inilah yang diangkat menjadi pegawai tinggi kerajaan, mereka yang senang dimata dan dihati pihak inggeris ini kemudiannya direstui menjadi pemudahcara dalam perundingan kemerdekaan negara sehinggalah ianya dizahirkan pada tanggal 31 Ogos 1957. Begitulah peranan bahasa, biarpun sewaktu mula menjejak kaki kali pertama di gugusan tanah melayu ini, pihak inggeris terpaksa akur lalu mempelajari bahasa dan tulisan masyarakat melayu, iaitu bahasa melayu dan tulisan jawi, namun setelah kuasa ditangan mereka lain pula halnya .Nasib Bahasa Melayu pula, biarpun diangkat sebagai bahasa rasmi, penghayatan dan pemerkasaannya seperti seakan tidak ikhlas malah bahasa inggeris sebagai bahasa kedua kononnya pula yang mendapat perhatian istimewa seolah-olah bahasa ini yang mengalami kepupusan.Begitulah perihal sejarah silam, namun tidak pula dinafikan bahasa inggeris itu penting dan sebaiknya dikuasai.

Sekitar era 50an, wujud kelompok elit yang mendapat pendidikan aliran inggeris bertutur dalam bahasa campuran melayu dan inggeris, gaya inilah yang dimaksudkan dengan umpama “separuh ular separuh belut”. Perihal laku kelompok ini telahpun disindir oleh seniman Tan Sri P.Ramlee melalui watak Labu dan Labi yang berkomunikasi dalam telor dan gaya seumpamanya sewaktu masing-masing bermimpi menjadi Majistret dan Doktor. Gaya sebegini masih hidup dalam masyarakat melayu, tidak kira sama ada si penutur itu sebenarnya mahir berbahasa inggeris atau tidak, malah sudah ada pembinaan ayat yang seakan sudah menjadi rasmi, umpamanya;

“ Bila nak kena submit paperwork ni?”

“ Bila kita punya next meeting ?

Melihat dari sudut yang positif, sebenarnya gaya ini biarpun tidak enak dari sudut kemurnian berbahasa, namun ianya setidaknya menambah penguasaan kosa kata terutama bagi mereka yang tidak lancar berbahasa inggeris, bagi istilah jargon khususnya. Persoalannya adakah menjadi satu kesalahan jika istilah bahasa inggeris ini dimelayukan?, bukankah amalan ini bukan lagi asing, umpamanya kita sudah pun kaya dengan kosa kata pinjaman, umpamanya informasi, kondusif, komitmen, definisi dan sebagainya yang jelas dipinjam dari bahasa inggeris. Budaya pinjam istilah ini rasanya telah mendapat restu dan dihalalkan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka, sama ada dengan rela hati atau berat hati keputusan ini diambil tidaklah diketahui sejauhmana.


Sedarkah kita bahawa bahasa melayu yang dikatakan dituturkan oleh sejumlah penutur diserata benua itu sebenarnya adalah dalam versi bahasa Indonesia, ini dibuktikan dengan telor yang mereka gunakan, pengalaman bertemu dengan beberapa sarjana barat yang kononnya mampu berbahasa melayu lebih mengundang kejutan dan ketakjuban, manakan tidak, ianya adalah bahasa Indonesia. Teringat seorang pemain import dari benua afrika yang suatu masa dahulu bermain untuk pasukan bolasepak Sabah, pemain ini begitu lancar berbahasa Indonesia, hasil pengalaman bermain beberapa musim di negara seberang itu. Bahasa Indonesia itu sendiri banyak mengamalkan peminjaman bahasa luar lalu memperkayakan lagi bahasa lantas memudahkan penutur asing menuturkannya memandangkan istilah yang digunakan seakan sama bunyi dan maknanya dengan perkataan asal.

Mungkin ciri istimewa bahasa Indonesia ini perlu dikaji, bukan mahu meniru tetapi diambil iktibar dan jika ianya satu perkara yang mempu memperkasakan bahasa melayu, mengapa tidak diserasikan formula itu mengikut acuan bahasa dan budaya melayu. Bahasa inggeris juga sebenarnya dibangunkan dengan asimilasi dan pinjaman dari 20 ribu kosa kata umum yang digunakan daripada bahasa Latin, Perancis, Greek, Sepanyol dan selainnya. Malah bahasa melayu itu sendiri kalau dibelek dan ditatap helaian daftar kosa kata bahasa melayu yang didaftarkan dalam Kamus Dewan, pastinya kita akan terjumpa perkataan yang asalnya dari benua luar, khususnya arab dan inggeris.

Jika semuanya sudah berbahasa dengan penggunaan kosa kata pinjaman, apa pula nasib kosa kata asal bahasa melayu, mungkin disinilah perlunya wujud ikon diperingkat nasional yang mampu memberi minat kepada khalayak ramai untuk berbahasa melayu dengan susun kata bahasa melayu tulen.Dahulunya perkara ini dapat dilihat melalui peranan mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pidato dan ucapan beliau sering disulami dengan kosa kata melayu yang jarang kedengaran, tetapi dibawa semula untuk pendengaran dan pengetahuan masyarakat. Pada masa ini batang tubuh yang mampu membawa minat sebegini kepada masyarakat ialah Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, meskipun berbahasa dengan santun melayu yang indah, beliau masih adakalanya mengungkapkan kosa kata melayu pinjaman.

Mungkin pendekatan ini seolah akan “merojakkan” khazanah bahasa melayu , namun jika ianya tidak menyimpang dari niat memperkasakan bahasa itu serta tidak mengganggu gugat akar budaya dan agama sesuatu bangsa itu, maka wajarlah ianya difikirkan.

Saturday, May 02, 2009

Tahniah Datuk Zawiyah Baba



Bersempena dengan Persidangan Kongres Pustakawan Asia Tenggara (CONSAL) di Hanoi, mantan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Datuk Zawiyah Baba telah menerima "Outstanding Librarian Award" (Pingat Emas). Beliau kini merupakan Felo Penyelidik Tamadun Dunia Melayu di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) di UKM.

Sekalung tahniah Pak Yob ucapkan untuk Ybhg. Datuk, sememangnya pencapaian gemilang dan bakti berterusan beliau dalam lapangan kepustakawanan wajar mendapat pengiktirafan sedemikian. Pengalaman bersama beliau sewaktu menghadiri ICADL 2007 yang juga kebetulan diadakan di Hanoi, memberi peluang kepada Pak Yob mengenali tokoh ini secara lebih dekat, rendah diri dan tidak lokek ilmu dan pengetahuan, begitulah rumusan yang boleh dibuat.
Pencapaian beliau ini bakal meninggalkan jejak yang perlu dilalui oleh generasi yang seterusnya.

Friday, May 01, 2009

Sekitar Bengkel Pemeliharaan dan Penjilidan Bahan.








Nama Bengkel:
Pemeliharaan dan Penjilidan Bahan: Satu Pengenalan

Nama Kerta Kerja:
"Mencegah Lebih Baik dari Merawat" : Peranan Perpustakaan Dalam Pemeliharaan Bahan.