Malam tadi sempat Pak Yob mengikuti satu sesi diskusi tentang isu Bahasa Melayu yang semakin hilang daya saing dan dicabar "ketuanannya". Panelis yang terdiri dari pejuang bahasa adalah Prof. Datuk Dr. Latif Abu Bakar (GAPENA) dan Prof. Datuk Dr. Zainal Kling (UPSI).
Yang menarik perhatian Pak Yob adalah kenyataan Datuk Dr. Latif yang mengatakan sikap "mengada-ngada" orang melayu sendiri yang menyebabkan bahasa melayu dipinggirkan, sebagai contoh agenda yang mengangkat bahasa inggeris sebagai bahasa penghantar di IPTA serta pelaksanaan syarat wajib penggunaan bahasa inggeris dalam beberapa aspek pentadbiran seperti mengadakan mesyuarat dalam bahasa inggeris dan selainnya.
Memang ada benar apa yang dikatakan, sampai bila-bila pun bahasa melayu akan terhalang kemajuannya jika daftar istilahnya dalam bidang sains dan matematik dibekukan dek penggunaan tunggal bahasa inggeris bagi bidang ini. Soal bahasa rasanya bukan penghalang besar kemajuan dalam bidang ini, perkasakan sahaja aktiviti penterjemahan, DBP rasanya cukup berkeupayaan untuk menjuarai aktiviti ini.
Selain pernah "dimalukan" oleh seorang ahli parlimen sebelah utara dalam parlimen suatu ketika dahulu, Prof. Ungku Aziz juga pernah "mencubit" DBP dengan label "mandul" kerana sikap sepi mereka dalam isu pemerkasaan bahasa melayu. Soalnya siapa yang memandulkan DBP itu? adakah DBP "dikembiri" tanpa kerelaan? ini jelas dengan dakwaan Prof. Datuk Dr. Zainal Kling bahawa DBP sebenarnya telah "diseleweng" oleh mereka yang mempunyai kuasa untuk "menghalalkan" agenda yang bertentangan dengan prinsip dan misi tertubuhnya DBP.
Pak Yob tidak bersetuju menyalahkan DBP secara total, DBP bukanlah agensi yang boleh menguatkuasakan pelaksanaan undang-undang keatas pesalah bahasa. Situasi mereka berbeza dengan senario andainya BPR yang memandang sepi kepada pesalah rasuah, kerana BPR ada kuasa penguatkuasaan undang-undang, tetapi tidak bagi DBP.Apa yang berlaku, DBP sebenarnya berada dalam situasi ditelan mati bapak, diluah mati emak, siapalah mereka untuk melawan kuasa yang jauh lebih besar. Namun selain itu, pujian dan syabas harus diberi juga kepada DBP kerana berterusan melaksanakan aktiviti seperti bulan bahasa dan lain-lain aktiviti memperkasakan bahasa melayu, mungkin dengan aktiviti-aktiviti ini maka sedikit sebanyak ianya dapat mencuci noda lain yang dilakukan biarpun noda dan dosa itu dilakukan tanpa kerelaan mereka.
Pak Yob tidak menentang penggunaan bahasa inggeris, tetapi pelaksanaan dan kaedah memasyarakatkan bahasa ini harus melalui jalan yang berbeza dengan jalan yang berbeza dari bahasa melayu, apa yang berlaku sekarang umpama penggunaan sebuah lebuhraya, lalu diletakkan bahasa inggeris dan bahasa melayu dalam laluan yang sama tetapi dengan bahasa inggeris diberi keutamaan demi keutamaan, akhirnya kita akan melihat laluan itu akan dikuasai oleh bahasa inggeri, lalu untuk meneruskan survivalnya bahasa melayu mungkin terpaksa melalui jalan lama atau jalan kampung yang memakan masa yang lama serta berhadapan dengan pelbagai rintangan, untung nasib bahasa melayu akan terus kekal kalau nasib tidak baik, bahasa melayu mungkin "terkandas" dimana-mana dan akhirnya akan lenyap, senyap dan sunyi.
Bahasa Inggeris itu penting, ini tidak dinafikan, tetapi kehadirannya dalam masyarakat bukan sebagai pengganti kepada bahasa melayu, ianya harus berfungsi sebagai bahasa ilmu dalam skalanya tersendiri. Sebagai contoh, bahasa bahasa penghantar kekal dalam bahasa melayu, tetapi penggunaan bahan rujukan dalam bahasa inggeris harus hadir dalam proses pengajaran dan pembelajaran itu. Di IPT sebagai contoh bahasa melayu diberi status utama dalam landskap pengajaran dan pendidikan, tetapi subjek bahasa inggeris juga harus ada dalam setiap bidang pengajian dengan modul yang berkesan, bukan pisahkan terus dengan alasan sudah adanya bidang TESL dan TOEFL. Memasyarakatkan bahasa inggeris juga boleh dilaksanakan melalui program ko-kurikulum pelajar, sebagai contoh di UKM sudah diperkenalkan program "speaking zone" di kolej-kolej kediaman pelajar.
Pak Yob rasa polemik bahasa ini tidak akan lenyap selagi mereka yang ada kuasa tidak berusaha kearah memperkasakannya dan memuaskan hati para pejuang bahasa melayu seperti GAPENA umpamanya. Bukan mahu menunding jadi kepada sesiapa, tetapi ini adalah agenda nasional, lalu tanggungjawabnya terletak dibahu semua. Janganlah biarpun dengan kekuatan sebagai penutur kelima terbanyak di dunia, bahasa melayu terus dilesukan. Tanggungjawab menerusan survival bahasa melayu bagi Pak Yob harus bermula dari rumah, tak salah mengajar anak kecil berbahasa inggeris tetapi harus seimbang, sebagai contoh jika ibu berbahasa inggeris, bapa harus berbahasa melayu.
4 comments:
Mungkin bukan Melayu bokeh bantu mendaulatkan Bahasa Melayu seperti ini: http://www.youtube.com/watch?v=Z0WR3I9alEc&feature=related
BUKAN seperti ini:
http://www.utaraonline.net/v2/modules.php?name=News&file=article&sid=1324
Sebagai salah seorang warga DBP, aku bersetuju dengan apa yang hang tulis...he..he...
man: sorilah tercuit DBP sikit,
Masyarakat masih tidak berbangga dengan bahasa sendiri. Melihat bahasa berasaskan persepsi, yang kerap kali tersasar hakikatnya.
Post a Comment