Wednesday, December 31, 2008

Bersengkang mata....


Jam di "studio" menghampiri pukul 3.35 pagi


Mata "dibeliakkan" dengan bantuan segelas White Coffee segera.



Kerja..kerja..kerja......

Tuesday, December 30, 2008

Sarapan@Bangi Kopitiam


Dua biji Telur separuh masak untuk ziyad...


Nasi lemak rendang ayam dan white cofee ais...



Gambar dengan satu pengertian yang amat berharga. Integrasi kaum sebenarnya tidak memerlukan modal besar dan berjuta, tetapi hanya dengan secangkir kopi dan sepiring roti bakar sahaja hasrat itu mampu juga dizahirkan.

Monday, December 29, 2008

Renung Sejenak : Buku Terlaris

Pada hening pagi ni Pak Yob baru selesai menyunting data pengindeksan judul-judul akhbar, tugasan yang terpaksa dibawa pulang lantaran kesibukan dalam waktu pejabat. Dalam proses menyunting ini, setiap lembaran perlu dibaca, lantas terfikir pula dalam benak ini, agaknya penerbitan apakah yang paling laris dalam sejarah.

Idea yang terpancul ini ibarat gatal yang makin digaru semakin asyik, lalu Pak Yob membuat sedikit penyelidikan santai untuk mendapatkan maklumat, lalu berikut adalah antara maklumat yang dapat Pak Yob kumpulkan dalam tempoh yang tersingkat.

Bahan bacaan yang paling terlaris mengikut urutan adalah seperti berikut:

1) Al-Quran

Al-Quran yang menjadi ilham penghidupan orang islam merupakan bahan bacaan yang terlaris di dunia sejak ianya diturunkan secara beransur-ansur dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun, 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.Jumlah penerbitannya tidak dapat dipastikan, tapi bayangkan kalau Pak Yob sahaja sejak kecil rasanya pernah memiliki lebih sepuluh naskah rasanya, tetapi yang tinggal kini ada dua naskah, satu naskah yang sama seperti yang terdapat di masjid dan surau dan satu lagi adalah yang merupakan hantaran sewaktu kahwin dulu,


Al-Quran

2) Kitab Injil / Bible

Kitab injil yang dipercayai diterbitkan sekitar tahun 1451 sehingga kini telah mencecah 6 billion naskah dalam versi terjemahan 2 ribu bahasa dan dialek.


The Bible / Kitab Injil


3) Buku "Quotation from Chairman Mao

Buku ini dikenali juga sebagai "The Little Red Book", mula diterbitkan pada sekitar tahun 1966, bilangan penerbitannya kini telah mencapai sekitar 900 juta naskah. Buku ini menghimpunkan buah fikiran serta ungkapan pemimpin komunis di China, mendiang Mao Tse Tung. Bahan ini telah diwajibkan keatas semua rakyat china mulai tahun 1966 sehingga 1971.
Buku ini menginatkan Pak Yob pada satu watak pelajar dari China dalam drama "Mind Your Language", watak tersebut selalu sahaja merujuk pada kitab merah itu bila mengajukan sebarang pendapat kepada gurunya, Mr. Brown.



Buku merah kecil yang menjadi pedoman buat pengikut komunis di China.


4) Buku "The American Spelling Book".

Buku ini diilhamkan oleh Noah Webster dan diterbitkan pada tahun 1783. Maklumat penerbitannya adalah sekitar 90 juta dan merupakan antara buku yang terlaris di Amerika Syarikat dalam abad ke-19.



The American Spelling Book

5) Guiness Book of World Records

Buku berasaskan fakta menakjubkan dan pencapaian pelik ini telah dicetak sebanyak 90 juta naskah. Buku ini mula diterbitkan dalam tahun 1955 dan mempunyai versi dalam pelbagai bahasa.


Buku yang diilhamkan oleh Mark C. young.

6) World Almanac

Buku yang menghimpunkan pelbagai fakta ini telah diterbitkan sebanyak 73.5 juta naskah muali tahun 1868. Buku ini pertama kali Pak Yob baca adalah sewaktu berusia sekitar 10 tahun di rumah datuk di Pengkalan Hulu, Perak. Antara fakta yang menarik perhatian Pak Yob ialah senarai juara tinju kelas heavyweight dunia.



The World Almanac

7) Buku "A Message to Garcia".

Buku karya Elbert Hubbard ini telah dicetak sebanyak 40 juta naskah. Bahan ini berkisar tentang isu buruh dan majikan.


buku " A Message to Garcia".


8) Novel The Valley of Dolls

karya fiksyen ilham Jacqueline Susann ini telah diterbitkan pada tahun 1966, novel ini membawa tema keganasan, seks dan gejala dadah.



naskah karya Jacqueline Susann


Agaknya di Malaysia buku apa yang paling laris?, adakah buku fiksyen novel remaja yang "meliuk- lentuk" judulnya itu?, tapi pada Pak Yob buku yang terlaris di Malaysia ialah buku tiga lima.


buku 555 yang sangat masyur sejak berzaman kini tampil dengan transformasi yang lebih segar.

Thursday, December 25, 2008

saja nak merapu....

Tangani nasib Bahasa Melayu dengan sewajarnya.

Malam tadi sempat Pak Yob mengikuti satu sesi diskusi tentang isu Bahasa Melayu yang semakin hilang daya saing dan dicabar "ketuanannya". Panelis yang terdiri dari pejuang bahasa adalah Prof. Datuk Dr. Latif Abu Bakar (GAPENA) dan Prof. Datuk Dr. Zainal Kling (UPSI).

Yang menarik perhatian Pak Yob adalah kenyataan Datuk Dr. Latif yang mengatakan sikap "mengada-ngada" orang melayu sendiri yang menyebabkan bahasa melayu dipinggirkan, sebagai contoh agenda yang mengangkat bahasa inggeris sebagai bahasa penghantar di IPTA serta pelaksanaan syarat wajib penggunaan bahasa inggeris dalam beberapa aspek pentadbiran seperti mengadakan mesyuarat dalam bahasa inggeris dan selainnya.

Memang ada benar apa yang dikatakan, sampai bila-bila pun bahasa melayu akan terhalang kemajuannya jika daftar istilahnya dalam bidang sains dan matematik dibekukan dek penggunaan tunggal bahasa inggeris bagi bidang ini. Soal bahasa rasanya bukan penghalang besar kemajuan dalam bidang ini, perkasakan sahaja aktiviti penterjemahan, DBP rasanya cukup berkeupayaan untuk menjuarai aktiviti ini.

Selain pernah "dimalukan" oleh seorang ahli parlimen sebelah utara dalam parlimen suatu ketika dahulu, Prof. Ungku Aziz juga pernah "mencubit" DBP dengan label "mandul" kerana sikap sepi mereka dalam isu pemerkasaan bahasa melayu. Soalnya siapa yang memandulkan DBP itu? adakah DBP "dikembiri" tanpa kerelaan? ini jelas dengan dakwaan Prof. Datuk Dr. Zainal Kling bahawa DBP sebenarnya telah "diseleweng" oleh mereka yang mempunyai kuasa untuk "menghalalkan" agenda yang bertentangan dengan prinsip dan misi tertubuhnya DBP.

Pak Yob tidak bersetuju menyalahkan DBP secara total, DBP bukanlah agensi yang boleh menguatkuasakan pelaksanaan undang-undang keatas pesalah bahasa. Situasi mereka berbeza dengan senario andainya BPR yang memandang sepi kepada pesalah rasuah, kerana BPR ada kuasa penguatkuasaan undang-undang, tetapi tidak bagi DBP.Apa yang berlaku, DBP sebenarnya berada dalam situasi ditelan mati bapak, diluah mati emak, siapalah mereka untuk melawan kuasa yang jauh lebih besar. Namun selain itu, pujian dan syabas harus diberi juga kepada DBP kerana berterusan melaksanakan aktiviti seperti bulan bahasa dan lain-lain aktiviti memperkasakan bahasa melayu, mungkin dengan aktiviti-aktiviti ini maka sedikit sebanyak ianya dapat mencuci noda lain yang dilakukan biarpun noda dan dosa itu dilakukan tanpa kerelaan mereka.

Pak Yob tidak menentang penggunaan bahasa inggeris, tetapi pelaksanaan dan kaedah memasyarakatkan bahasa ini harus melalui jalan yang berbeza dengan jalan yang berbeza dari bahasa melayu, apa yang berlaku sekarang umpama penggunaan sebuah lebuhraya, lalu diletakkan bahasa inggeris dan bahasa melayu dalam laluan yang sama tetapi dengan bahasa inggeris diberi keutamaan demi keutamaan, akhirnya kita akan melihat laluan itu akan dikuasai oleh bahasa inggeri, lalu untuk meneruskan survivalnya bahasa melayu mungkin terpaksa melalui jalan lama atau jalan kampung yang memakan masa yang lama serta berhadapan dengan pelbagai rintangan, untung nasib bahasa melayu akan terus kekal kalau nasib tidak baik, bahasa melayu mungkin "terkandas" dimana-mana dan akhirnya akan lenyap, senyap dan sunyi.

Bahasa Inggeris itu penting, ini tidak dinafikan, tetapi kehadirannya dalam masyarakat bukan sebagai pengganti kepada bahasa melayu, ianya harus berfungsi sebagai bahasa ilmu dalam skalanya tersendiri. Sebagai contoh, bahasa bahasa penghantar kekal dalam bahasa melayu, tetapi penggunaan bahan rujukan dalam bahasa inggeris harus hadir dalam proses pengajaran dan pembelajaran itu. Di IPT sebagai contoh bahasa melayu diberi status utama dalam landskap pengajaran dan pendidikan, tetapi subjek bahasa inggeris juga harus ada dalam setiap bidang pengajian dengan modul yang berkesan, bukan pisahkan terus dengan alasan sudah adanya bidang TESL dan TOEFL. Memasyarakatkan bahasa inggeris juga boleh dilaksanakan melalui program ko-kurikulum pelajar, sebagai contoh di UKM sudah diperkenalkan program "speaking zone" di kolej-kolej kediaman pelajar.

Pak Yob rasa polemik bahasa ini tidak akan lenyap selagi mereka yang ada kuasa tidak berusaha kearah memperkasakannya dan memuaskan hati para pejuang bahasa melayu seperti GAPENA umpamanya. Bukan mahu menunding jadi kepada sesiapa, tetapi ini adalah agenda nasional, lalu tanggungjawabnya terletak dibahu semua. Janganlah biarpun dengan kekuatan sebagai penutur kelima terbanyak di dunia, bahasa melayu terus dilesukan. Tanggungjawab menerusan survival bahasa melayu bagi Pak Yob harus bermula dari rumah, tak salah mengajar anak kecil berbahasa inggeris tetapi harus seimbang, sebagai contoh jika ibu berbahasa inggeris, bapa harus berbahasa melayu.

Wednesday, December 24, 2008

Jangan Kerana Nyamuk Habis Kelambu Dibakar


Lamaku menunggu....


Semalam Pak Yob berurusan dengan sebuah institusi perbankan yang besar dalam negara kita, mungkin ditakdirkan agak malang sedikit hari itu, Pak Yob terpaksa menunggu agak lama sebelum peluang berurusan itu tiba.

Sebenarnya sehari sebelumnya Pak Yob telah dikecwakan dengan "maaf la encik, hari ni sistem off-line"...tidak mengapalah, Pak Yob tak sedikit pun marah pada institusi berkenaan kerana dah memang fitnah sistem ni...dimana-mana pun pasti ada hari offnya. Di tempat kerja Pak Yob pun ada berlaku hal off line ini jadi kita sama-sama maklum betapa resah dan gelisahnya pada pekerja mahupun pelanggan yang terlibat. Kita yang nak menerangkan alasan "off-line" pun berat apatah lagi yang menerima alasan itu.

setelah lama menunggu maka peluang Pak Yob pun hadir, alhamdulillah urusan itu dapat berjalan tanpa gangguan off-line lagi. Cuma mungkin lazim ada beberapa perkara yang tidak menyedapkan mata dan hati pelanggan berlaku, umpamanya kakitangan yang memberi maklumat yang tidak membantu, prosedur menunggu giliran yang tidak sistematik sampai ada yang lama menunggu baru tahu yang ada prosedur yang perlu diikuti, akhirnya yang datang kemudian yang dapat berurusan dahulu.

Keadaan ini membawa Pak Yob terkenang beberapa minggu lalu di saluran radio bernama, ada seorang pemanggil yang "menghentam sepuasnya kakitangan kerajaan yang dikatakan dimanjakan dan diberi pelbagai keistimewaan yang langsung tidak setimpal dengan budaya kerja mereka. Pak Yob faham dan maklum kerana adanya kakitangan yang memang tidak efisien dalam agensi kerajaan, tetapi Pak Yob rasa "angin" juga dengan pemanggil yang seolah pukul rata semua kakitangan kerajaan sebegitu.

Mungkin si pemanggil terlupa nak menggunakan perkataan "segelintir" atau sengaja bersikap "marahkan nyamuk kelambu dibakar". Mungkinkah dia lupa ada dikalangan kakitangan kerajaan yang berkerja lebih dasyat dari rakan sejawatan mereka dari agensi swasta dan diberi imbuhan jauh lebih kecil? tahukah dia bahawa agensi kerajaan mempunyai pelbagai alat ukurtara, penunjuk prestasi dan sebagainya bagi menjamin kualiti kerja yang memuaskan hati pelanggan?. Pak Yob tak nafikan ada yang membawa lumpur, tapi untuk menyalahkan secara total itu tidak wajar dan "boleh mendatangkan marah..." (seperti kata Abdul wahab Ulam Raja..)

Pengalaman di Bank semalam cukup membuktikan bukan agensi kerajaan sahaja yang adakalanya mengalami "hiccups", tetapi agensi selainnya juga adakala "terpeleot" jugak kan.

Saturday, December 20, 2008

Sudah Tukar Kaa?


Judul entri ni Pak Yob pinjam dari tagline si Ravi (Pi Mai Pi Mai Tang Tu)...tapi ia signifikan pada sebuah hotel di Seremban, rasanya setiap tahun nama hotel ni berubah. Sejak Pak Yob bekerja di UKM ni..rasanya dah tiga kali ia bertukar nama.

Hotel yang dulunya dibawah jenama rangkaian Hilton, pernah dijenamakan dengan Royale Adelphi...dan kini ia dikenali dengan The Royale Bintang.




Penggemar Kopitiam

OldTown White Coffee


Kopitiam Kawan



Station Kopitiam

Rasanya tentu ramai antara kita yang gemar menjamu selera di kopitiam. Pak Yob mungkin merupakan antara berjuta rakyat malaysia yang menjadi pelanggan tegar pelbagai rangkaian restoran kopitiam di Malaysia. Menyingkap kembali sejarah kopitiam bersumberkan wikipedia, Kopitiam atau kopi tiam adalah kedai kopi dan sarapan tradisional yang terdapat di Malaysia dan Singapura. Perkataan "kopitiam" merupakan gabungan perkataan "kopi" dari bahasa Melayu dengan perkataan bahasa Hokkien bagi kedai (店; POJ: tiàm). Dalam erti kata lain, "kopitiam" bermaksud "kedai kopi". Sajian kopitiam biasanya terdiri daripada satu tawaran yang ringkas: beraneka pilihan makanan yang mengandungi telur, roti bakar dan kaya, serta minuman seperti kopi, teh, dan Milo

Apa bezanya kopitiam dengan warung-warung kopi di kampung-kampung yang telah berzaman membina legasi, kenapa agaknya istilah "kopitiam" begitu komersil berbanding kedai kopi atau warung kopi? mungkinkah sebutannya yang agak menarik?. Kalau kita sedar, starbuck dan coffee bean yang agak berprestij itu juga adalah dari keluarga kedai kopi juga.
Apa menariknya kopitiam ini selain namanya itu?, pada Pak Yob yang menarik pastinya "signature" menu mereka. Setiap kopitiam pasti mempunyai hidangan istimewa yang menjadi identiti mereka, lalu tidak boleh kita andaikan semua kopitiam itu sama saja menunya.

Kopitiam yang Pak Yob gemar ialah "Bangi Kopitiam" ( dipunyai oleh Kid, bekas gitaris Search)dan "Old Town White Coffee". Ada juga kopitiam lain yang pernah Pak Yob "masuk" seperti "Kopitiam Kawan" (milik Ezzah Aziz Fawzy), kopitiam ini sesuai bagi penggemar makanan sihat kerana manunya bebas msg. Terkini baru tadi Pak Yob menjamu selera di Station Kopitiam di Seremban.

facebook mania


Kebelakangan ini Pak Yob agak asyik dengan "Facebook", terima kasih juga pada saudara Azlan yang memperkenalkan medium ini. Facebook ini dah lama Pak Yob dengar, tapi tak pernah tergerak hati nak jengah operasinya, ada juga kawan-kawan yang bertanya, ada tak facebook? lazimnya jawapan Pak Yob ialah "aku dah terlalu tua untuk itu....." (Pak Yob ingat facebook ni untuk budak-budak remaja je, macam friendster), kini barulah PAk Yob tahu, kenapa dahi mereka yang bertanya dahulu berkerut bila Pak Yob balas dengan jawapan itu.

Rupanya facebook ini umpama blog juga..cuma tak sesuai nak menceceh panjang, ringkas dan akan lebih bermakna dan menarik jika "meriah" dengan foto peribadi. Hampir dua minggu rasanya Pak Yob dah buka akaun Facebook ini, ramai juga teman-teman lama sewaktu di UiTM dulu bersua kembali, walaupun di alam maya. Setakat entri ini ditulis, 22 orang sahabat lama telah mendaftar, namun yang aktif masih kecil jumlahnya. Alangkah baiknya jika maklumat ini sampai kepada semua sahabat UiTM, Pak Yob masih menantikan kemunculan Abang Aji, Piyan E.T, Gombal, Bob Jeon, Zubir, Kutty, Romi , Si Mac, Mat Lem, Ad Ulo, Raksaksa Bela, Rosman, Zaki dan ramai lagi. Buat sahabat yang telah mendaftar, terima kasih atas komitmen sebagai tanda sayang anda pada persahabatan kita.

Buat teman-teman facebook, terima kasih akuan terima anda, semoga persahabatan kita akan kekal abadi. Sekali lagi Pak Yob berikan kredit pada saudara Azlan Hamzah atau lebih dikenali sebagai Lan Lecturer dikalangan kami batch LS20 Dis96, anda telah menyumbang sesuatu yang besar dan bermakna dalam menyatukan kembali ukhuwwah antara kita semua.

Sunday, December 14, 2008

PakYob@PD

Ira...

Yad menari "Shuffle"?

Lagenda Abang Ais Krim kekal berzaman

Apa yang penting kerjasama...finishing belakang kira dulu..

Guoman@night

Jejak tanpa tapak

Stesen kerja.....

Saranan buat Saudara Lan Togel

Nampaknya Lan togel terus berkokok di dada akhbar, kali beliau tampil dengan inovasi terbaru untuk memurnikan lagi aksi togel itu kelak, iaitu dengan melakukannya ala gerila, tak pernah pula Pak Yob tengok gerila bertogel?, ini kali pertama dalam sejarah kalau ianya berlaku.

Memandangkan saudara ini sangat ghairah untuk bertogel, maka Pak Yob ada beberapa cadangan selain aksi ala gerila itu, rasanya kalau cadangan ini dapat dilaksanakan, nama saudara bukan sahaja akan masyur di seluruh Malaysia, tetapi juga dimata dunia.

Berikut adalah cadangan Pak Yob.

1) Berenang Merentasi Selat Inggeris secara togel
Apa kata saudara dan kawan-kawan berenang merentasi selat inggeris scara togel, jika berjaya ianya merupakan satu pencapaian terbaru negara, malah mengatasi catatan Datuk Malek yang berenang dengan "Seluar Kecik" dan "serkup". Nescaya jika berenang tanpa seurat benang, pasti ianya lebih pantas bukan?.

2) Berlayar mengelilingi dunia dengan kapal layar secara togel
Kalau saudara ada peruntukan yang besar, maka rancangan ini boleh dilaksanakan, jika berjaya, senang-senang sahaja rekod Datuk Azhar saudara pecahkan.

3) Mendaki gunung Everest secara togel
Aksi ini memerlukan daya tahan yang tinggi, tapi apalah sangat cabaran ini buat saudara, yakin boleh!

4) Terjunan Payung Terjun di Kutub Utara secara togel
Kalau saudara dapat yakinkan rakan-rakan lain untuk turut serta, acara ini pastinya akan lebih meriah dan membuka mata dunia.

5) Menghadiri kenduri kendara jiran tetangga sahabat handai dalam keadaan togel
Aksi ini ibarat persediaan awal atau "warming up" sebelum melaksanakan aksi yang lebih besar.

Rasanya takat ini sahaja dulu cadangan PakYob, mungkin akan ada cadangan selainnya dari rakan-rakan. Memandangkan saudara sangat bersemangat dan beriya-iaya sangat maka atas rasa kekaguman itu Pak Yob hadirkan 5 cadangan diatas.

Selamat Maju Jaya buat Saudara Lan Togel.


Guoman Hotel
Port Dickson

Thursday, December 11, 2008

DAULAT TUANKU, Hari Keputeraan Sultan Selangor



DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ
IBNI ALMARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ
D.K.,D.M.N.,D.K.(Terengganu).,D.K.(Kelantan).,D.K.(Perak).,
D.K.(Perlis).,D.K.(NegeriSembilan).,D.K.(Kedah).,S.P.M.S.,S.S.I.S.,S.P.M.J.

Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan
Serta Segala Daerah Takluknya
Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor ke 9 pada 22 November 2001 bersamaan dengan 6 Ramadhan Tahun 1422 Hijrah. Pemasyhuran Baginda adalah berikutan kemangkatan Padukan Ayahanda Baginda Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada 21 November 2001. Baginda kemudiannya ditabal dan dimahkotakan dengan penuh Adat Istiadat Diraja di Balairung Seri,Istana Alam Shah, Klang dalam Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan pada 8 Mac 2003 bersamaan dengan 5 Muharram 1424 Hijrah.

Baginda adalah putera sulong D.Y.M.M. Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj dan Y.M.M Paduka Bonda Raja Selangor, Raja Saidatul Ihsan binti Tengku Badar Shah. Baginda diputerakan di Istana Jemaah, Klang yang kini dikenali sebagai Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang pada 24 Disember 1945. Pada September 1960 ketika Baginda berusia 15 tahun, Baginda telah diisytiharkan sebagai Raja Muda Selangor. Istiadat Mengangkat Sumpah dan Menjunjung Duli sebagai Raja Muda ke 8 telah diadakan pada tahun 1970 di Istana Alam Shah.

Baginda telah dikurniakan dengan dua orang Puteri iaitu Y.A.M Tengku Zerafina dan Y.A.M Tengku Zatashah, dan seorang Putera, D.Y.T.M. Tengku Amir Shah, Raja Muda Selangor.

Baginda telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Raja Muda, Kuala Lumpur dan St.John Institution, Kuala Lumpur dari tahun 1954 hingga 1959. Pada tahun 1960, Baginda melanjutkan pelajaran ke Perth, Australia hingga tahun 1964 dan meneruskan pelajaran Baginda di England hingga ke tahun 1968. Pada tahun yang sama Baginda kembali ke tanah air dan berkhidmat di dalam Pentadbiran Kerajaan di mana perkhidmatan pertama Baginda di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Baginda juga pernah berkhidmat di Pejabat Daerah Kuala Lumpur dan Jabatan Polis Diraja, Kuala Lumpur yang membolehkan Baginda memperolehi pengalaman dan pengetahuan yang begitu kuas di dalam bidang pentadbiran.

Baginda telah dilantik buat pertama kalinya sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Raja pada 23 Februari hingga 20 September 1969 semasa Paduka Ayahanda Baginda berangkat ke England. Baginda telah beberapa kali dilantik sebagai Pemangku Raja Selangor dari masa ke semasa, dari tahun 1972 hingga tahun 1997. Pada 24 April 1999, Baginda telah dilantik sebagai Pemangku Raja Selangor sekali lagi apabila Paduka Ayahanda Baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-11.

Baginda telah membuat beberapa lawatan rasmi ke Daerah-daerah untuk melihat pembangunan dan juga masalah-masalah setempat yang dihadapi oleh rakyat Baginda dan beramah mesra dengan mereka. Baginda juga telah beberapa kali merasmikan Mesyuarat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada tahun 1972, 1974, 1989, 1997, 2000, 2001, 2002, 2003, 2004 dan 2005.

Baginda telah dianugerahkan Darjah Kerabat (Yang Amat Dihormati) Selangor pada tahun 1973 dan Darjah Kebesaran Pertama, Seri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J.) pada tahun 1975. Baginda juga telah dianugerahkan Darjah-Darjah Kerabat dari Negeri Terengganu, Kelantan, Perak, Perlis, Negeri Sembilan dan Kedah.

Baginda adalah pemegang pertama Darjah Kebesaran Dato' Setia - Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S) yang Baginda zahirkan pada tahun 2002. Baginda telah dianugerahkan Darjah Kebesaran-Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N.) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semasa Pertabalan dan Kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia sebagai Sultan Selangor ke 9 pada 8 Mac 2003.

Dalam bidang ketenteraan, Baginda telah ditauliahkan sebagai Mejar Kehormat Tentera Darat (Wataniah) Malaysia pada tahun 1974 dan Komander Kehormat Sukarelawan Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia pada tahun 1998. Pada tahun 2002, Baginda telah dilantik sebagai Kepten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia.

Baginda amat berminat di dalam aktiviti sukan termasuk sukan lasak seperti mendaki gunung, memandu kereta antik jarak jauh dan belayar mengelilingi dunia dengan kapal S.Y.JUGRA. Baginda mendapat pengiktirafan sebagai Putera Inspirasi dan banyak lagi pengiktirafan yang dianugerahkan kepada Baginda berkaitan dengan "maritime". Baginda dilantik sebagai Penaung kepada Persatuan-Persatuan Sukan dan Seni.

Hobi Baginda adalah membaca, belayar, fotografi, mengumpul setem serta sampul surat Hari Pertama, mengumpul "vintage cars" dan mengumpul senjata tradisi orang-orang Melayu. Pada 9 November 1998, Baginda telah berjaya melancarkan buku pertama Baginda iaitu "Peking to Paris". Pada tahun 1976, Baginda telah dilantik sebagai "Honorary Member Of The Philatelic Society" di Malaysia. Yayasan Antarabangsa Rotary telah menganugerahkan "Paul Harris Fellow" kepada Baginda. Pada tahun 1998, Baginda telah menerima anugerah tertinggi dari Persatuan Pengakap Malaysia iaitu "Pingat Semangat Padi". Pada tahun 1989, Baginda telah dilantik sebagai "Honorary Life Commodore" oleh Pelayaran Diraja Selangor "Royal Selangor Yacht Club". Baginda berminat di dalam bidang seni dan telah mengumpul banyak lukisan-lukisan tempatan dan Baginda telah dilantik sebagai Pengerusi Galeri Shah Alam pada tahun 1991. Pada tahun yang sama juga Baginda telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Seni Selangor Darul Ehsan. Pada 11 Mei 2000, Baginda telah dilantik sebagai "Fellow of The Chartered Institute Of Transport". Pada 25 Mei 2000, Baginda telah dilantik sebagai "Pro Canselor" UiTM dan pada 31 Mac 2001, Baginda telah dianugerahkan Darjah Kehormat Doktor Pentadbiran Awam. Pada 1 April 2002 Baginda telah dilantik sebagai Canselor Universiti Putra Malaysia.

Pencapaian tertinggi di dalam kegiatan sukan lasak ialah apabila nama Baginda telah terukir di dalam "Malaysia Book of Records" sebagai "The First To Sail Around The World" dan "The First To Complete Peking-Paris Motor Challenge"pada tahun 1998.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor adalah seorang insan yang peka di dalam perkembangan semasa. Baginda selalu memberi idea yang bernas di dalam mengatasi masalah-masalah kemanusiaan. Di dalam bidang agama pula Baginda sering bertitah di masjid-masjid menasihatkan rakyat jelata agar benar-benar mengikut ajaran Islam dengan penuh keyakinan. Baginda adalah seorang Raja yang berjiwa rakyat dan menitikberatkan kemajuan rakyat Baginda dalam semua bidang termasuklah ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Tuesday, December 02, 2008

Hari Keluarga 2008.....


Sabtu lepas Pak Yob dengan Ziyad joint Hari Keluarga....asalnya memang daftar sekeluarga, kebetulan pada hari yang sama Mak Yong kena bertugas di Kenduri Bos besar dia, maka kami berdua sahajalah yang dapat hadir...zaheera? nanny dia tolong jaga. Selain diberi portfolia kecil yang memaksa Pak Yob joint jugak event ini ialah sebab nak bagi pengalaman naik bas kat ziyad...asyik "berlakon" jadi geng bas sekolah je. Maka Ziyad pun pontenglah kelas Smart Reader dia....apa nak buat..setiap pengalaman itu juga merupakan proses pembelajaran jugak kan.





Ziyad dapat hadiah untuk pertandingan mewarna..
walaupun hanya kepala beruang saja yang ada kaler.



Upah setelah "penat" mewarna....Air Batu Campur...ngamuk mummy dia
bila tau ziyad makan ABC...he..he..