Monday, January 27, 2014

Zul 'MacGyver' Malaysia dengan kereta 'Knight Rider' beliau.

Oleh: Harith Faruqi Sidek


Zulkifli Haron yang dikenali sebagai ‘MacGyver’ Malaysia mula dikenali ramai sekitar tahun 1988 apabila melengkapkan kereta Peugeot 404 beliau dengan beberapa aksesori diluar pasaran hasil inovasi beliau sendiri. Kereta Peugeot yang telah berusia 17 tahun itu kemudiannya mendapat jolokan ‘Knight Rider Malaysia’ kerana beberapa inovasi unik yang ada padanya. 

Antara ciri unik yang melengkapi kereta ini ialah enjinnya boleh dihidupkan dengan arahan suara, wiper akan berfungsi secara automatic apabila hujan, begitu juga jika tingkap terbuka ketika hujan, ia akan tertutup secara automatic. Selain daripada itu, kereta tersebut juga dilengkapi dengan sensor yang dapat mengawal kelajuan kereta bagi mengelakkan kemalangan selain alat keselamatan yang canggih pada ketika itu. Zulkifli Haron merupakan lulusan Institut Kemahiran Mara sebelum melanjutkan pelajaran ke Jepun, beliau kemudiannya menubuhkan syarikat Zull Design Autotronic Sdn Bhd yang beroperasi di Rawang, syarikat ini menghasilkan pelbagai inovasi mengikut permintaan pelanggan.

Rujukan:

Zulkifli Othman (4 Januari 1989), Cool Zul’s mechanical mania. The New Straits Times.

Zulkifli Othman (11 April1988), Zul starts racket to stop crime. The New Straits Times.

Zull Design Autotronic at: http://www.zulldesign.com.my/

Zull Design Youtube channel at: http://www.youtube.com/user/zulldesign11/videos

Wednesday, January 22, 2014

Kekacauan ketika 'Battle of the bands', kerajaan haramkan Konsert Rock.

Oleh: Harith Faruqi Sidek



Ekoran dari kekacauan yang berlaku sewaktu konsert 'Battle of the Bands' di Sungai Pinang,Pulau Pinang pada 3 September 1986. Kerajaan telah mengambil langkah drastik dengan mengumumkan pengharaman keatas sebarang konsert muzik rock berkuatkuasa serta merta. Keputusan ini diumumkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri pada ketika itu, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob. Semua pihak berkuasa termasuk PDRM diminta tidak lagi mengeluarkan sebarang permit bagi tujuan berkenaan sambil mendakwa muzik rock memberi pengaruh buruk kepada golongan belia. 

Menurut Ali Bakar, Promoter syarikat Boxoffice yang menganjurkan konsert berkenaan, konsert yang dihadiri kira-kira 5000 peminat itu sebahagian besarnya dari dua kelompok, iaitu dari Butterworth dan sebelah Pulau. Bibit kekacauan mula berlaku sewaktu kumpulan Rahim Maarof and The White steel memulakan persembahan, pada ketika itu peminat yang berada di barisan hadapan mula memanjat pentas. Tindakan tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati peminat yang berada di belakang lalu mereka mula membaling objek kearah pentas dan peminat yang berada di hadapan. Apabila kumpulan SYJ mengambil giliran di pentas, keadaan menjadi makin teruk apabila peminat yang berada di hadapan mula bertindakbalas, kekecohan ini berlarutan selama 10 minit sebelum pihak FRU campur tangan dan berjaya meredakan keadaan. Setelah keadaaan kembali tenang, konsert diteruskan dengan persembahan Ella & The Boys, Bloodshed dan Lefthanded. (NST, 4 September 1986).

Pengharaman ini kemudiannya ditarik balik dengan syarat semua konsert Rock diadakan didalam kawasan tertutup seperti dewan. Penggiat muzik ini terus berjuang sehingga konsert di ruang terbuka dibenarkan semula.

Sumber:

Ahmad Fauzi (8 September 1986). Rock lives against the odds in Klang, The New Straits Times, p.3

Fifi Lim (25 September 1986) Musician's battle to keep rock alive is partially won, The New Straits Times, p.3

Rock concert banned (8 September 1986). The New Straits Times, p.1

Yeap Soon Beng (4 September 1986), Teenagers go wild at rock concert: F.R.U men forced to control crowd. The New Straits Times, p.3

Sunday, January 19, 2014

Azizah: Ibu dari Malaysia catat rekod bunting paling lama di Britain.

Oleh: Harith Faruqi Sidek



Pada tahun 2011, Azizah yang berasal dari Malaysia telah mencatatkan rekod mengandung paling lama di Britain, iaitu selama 2 tahun atau 700 hari. Azizah yang dimaksudkan ialah seekor gajah betina yang dihadiahkan oleh kerajaan Malaysia kepada Zoo London pada tahun 1985. Azizah sebelum ini telah melahirkan dua ekor anak, iaitu Euan (lahir 2004) dan Donaldson (lahir 2008). Walau bagaimanapun, kelahiran ketiga ini juga mencatat rekod sebagai anak gajah yang paling kecil pernah lahir di Whipsnade Zoo, London.


Azizah atau sebelumnya dikenali dengan nama Layang-layang tiba di Zoo London pada 25 Oktober 1985, ketika itu Azizah baru berusia kira-kira setahun 8 bulan. Azizah pada asalnya diselamatkan ketika operasi pemindahan gajah di Jerangau, Terengganu. 


Sumber:

Layang-layang takes London in strides (12 Jun 1986). The New Straits Times.

Nicole Fabian-Weber (1 November 2011). Elephant Gives Birth After Record 2-Year Pregnancy. The Stir(Access athttp://thestir.cafemom.com/in_the_news/128187/elephant_gives_birth_after_record)

Oliver Pickup.(28 Oktober 2011) Elephant gives birth after a two year pregnancy - the longest ever recorded at a British zoo. Daily Mail (Access athttp://www.dailymail.co.uk/news/article-2054522/Elephant-gives-birth-year-pregnancy--longest-recorded-British-zoo.html)

http://www.elephant.se/database2.php?elephant_id=925

Perlawanan Persahabatan 1991: Malaysia 2 England 4.

Oleh: Harith Faruqi Sidek




12 June 1991, pasukan bolasepak England memenuhi jemputan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan di Stadium Merdeka. England yang pada ketika itu boleh dikatakan pasukan keempat terbaik dunia setelah tewas perlawanan penentuan tempat ketiga kepada Italy pada kejohanan Piala Dunia 1990. Pasukan negara tewas kepada England dengan empat (4) gol berbalas dua (2), keempat-empat gol pasukan England dijaringkan oleh Gary Lineker, yang juga merupakan bekas penjaring terbanyak Piala Dunia 1986 di Mexico. Kedua-dua gol pasukan negara dijaringkan oleh Matlan Marjan, pemain kelahiran Sabah yang ketika itu berusia 22 tahun. 

Sebagai rekod, Matlan Marjan merupakan pemain Malaysia pertama yang menjaringkan gol ketika bertemu pasukan utama England, sebelumnya Allahyarham Mokhtar Dahari berjaya menjaringkan gol ketika bertemu pasukan England B pada tahun 1978. Gary Lineker dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan sementara pemain negara yang mendapat perhatian dan pujian selain Matlan Marjan ialah Azizol Abu Haniffa, meskipun masuk sebagai pemain gantian, aksi pemain tengah itu sudah cukup menarik perhatian bekas pemain kebangsaan England, Trevor Brooking.


Sumber:
Husin Rahman. (13 Jun 1991). To the two goals star, the spoils. The New Straits Times.p.48.

Lazarus Rokk. (13 Jun 1991). Matlan Steals a bit of glory: Lineker's four-goals blast sinks Malaysia. The New Straits Times.p.48.

Penguatkuasaan Akta Hakcipta di Malaysia bermula.

Oleh: Harith Faruqi Sidek

1 Disember 1987, bermulanya penguatkuasaan Akta Hakcipta 1987 menggantikan Akta hakcipta 1969 yang dimansuhkan.


Sumber:

Sumber:
R.Nadeswaran. (2 Disember 1987) No more free music. The New Straits Times.p.1

Saintis atau Jurutera mulanya diramal menjadi Angkasawan pertama Malaysia.

Oleh: Harith Faruqi Sidek


Keratan akhbar The New Straits Times bertarikh 9April 1988.


Pada tahun 1988, Malaysia menerima tawaran daripada kerajaan Soviet Union (kini Russia) untuk menghantar calon angkawasan pertama negara menjalani latihan di negara itu. Setiausaha kedutaan Soviet Union di Malaysia, Gueorghui Lyssak meramalkan yang calon angkawan negara kelak adalah dikalangan saintis atau jurutera, ini adalah berdasarkan rekod calon angkasawan dari negara luar yang berlatih di Soviet Union adalah terdiri dari profesyen tersebut. 

Namun ramalan berkenaan ternyata meleset, kerana angkasawan pertama negara, Datuk Dr. Sheikh Muzaffar Shukor adalah seorang doktor perubatan. Malah calon angkawan kedua negara, Mejar Dr.Faiz Khaleed juga bukan saintis atau jurutera, sebaliknya Doktor Pergigian yang berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia. Walau bagaimanapun, terdapat seorang jurutera dikalangan 4 orang calon akhir program angkasawan negara, beliau ialah S. Vanajah, jurutera kualiti yang juga merupaka calon tunggal wanita bagi program ini. Sementara seorang lagi calon yang berada dalam saringan akhir ialah Mohammed Faiz Kamaludin yang merupakan seorang juruterbang. 

Sumber:
Malaysian Cosmonaut likely to be scientist or engineer. (9 April 1988), The New Straits Times,p.1

Kompleks PKNS Shah Alam: Suatu masa dahulu bangunan terpanjang di Asia Tenggara.

Oleh: Harith Faruqi Sidek



Kompleks PKNS Shah Alam merupakan mercu tanda bandaraya Shah Alam meskipun kian ditenggelami dengan kemunculan prasarana baru dan moden sekitarnya. Namun bangunan ini pernah mencatatkan sejarah sebagai bangunan terpanjang di Asia Tenggara. Pada tahun 1988, Subang Parade yang terletak tidak jauh dari Shah Alam pula mencatat rekod sebagai pusat membeli belah terpanjang di Asia Tenggara.

Kompleks PKNS Shah Alam hari ini (Sumber: Utusan Malaysia, 28 Oktober 2012)


Bagi penduduk Shah Alam, kompleks PKNS ini ibarat 'Wisma Yakin' di Kuala Lumpur atau 'Pekan Rabu' di Alor Setar untuk mendapatkan kelengkapan untuk menyambut lebaran atau persediaan untuk hari perkahwinan. Bagi saya yang pernah menjadi warga 'Shah Alam' ketika menjadi pelajar di SAMT Tengku Ampuan Jemaah (1989-1991) dan ITM ( 1996-2000 dan bergraduat sebagai UiTM), kompleks ini meninggalkan banyak kenangan...jika berkunjung kesini ketika itu, premis yang wajib dikunjungi ialah toko buku 'Marwilis' dan 'Gedung Harian'.

Sumber:


New Straits Times, 3 Jun 1986.

Peniaga mahu kompleks PKNS dipertahankan (28 Oktober 2012), Utusan Malaysia.

Tuesday, January 14, 2014

Final Piala Malaysia 1968: Rekod Jaringan terbesar.

Oleh: Harith Faruqi Sidek



Perlawanan akhir Piala Malaysia yang menyaksikan jaringan terbesar ialah pada tahun 1968 diantara Selangor dengan Pulau Pinang. Perlawanan akhir pada 13 Julai 1968 itu dimenangi oleh Pasukan Selangor dengan jaringan lapan (8) gol berbalas satu(1). Selangor pada ketika itu dibarisi oleh pemain bertaraf bintang seperti 'Raja Bola' Ghani Minhat, Ibrahim Mydin,Chow Kwai Lam, N.Thanabalan, M.Chandaran, Wong Choon Wah dan Zulkifli Norbit, sementara pasukan Pulau Pinang menyandarkan harapan kepada pemain seperti Syed Ahmad, Shukor Salleh, Shaharuddin Abdullah, Namat Abdullah dan Rahim Abdullah.

Perlawanan akhir berkenaan walau bagaimanapun menimbulkan beberapa kontroversi, antaranya dakwaan kononnya ada unsur-unsur mistik yang mempengaruhi perlawanan berkenaan, dan juga desakan agar FAM berbuat sesuatu keatas pasukan Selangor yang dilihat mempunyai jurang kekuatan yang besar berbanding pasukan negeri lain. Malah pemain selangor didakwa bermain lebih baik ketika mewakili pasukan negeri berbanding ketika beraksi dalam pasukan kebangsaan.

Sumber:

Norman Siebel (14 July 1968). Selangor show power to hit Penang 8-1 in final, The Straits Times.

Norman Siebel (15 July 1968). Cup fiasco is FAM's shame. The Straits Times.

Oh Kee Tiang (16 July 1968). Penang beaten under bomoh's spell: supporters' claim. The Straits Times.