Monday, September 17, 2012

Sejarah Pembukaan Daerah Selama

Oleh: Harith Faruqi Sidek


Daerah Selama merupakan kawasan yang bersejarah serta penting dalam korpus sejarah negeri Perak. Menurut Nordin Hussin (1992: 29), daerah ini telah dibuka oleh Panglima Karim bin Raja Ahmad pada tahun 1874 dengan bantuan tokoh terkenal negeri perak pada era tersebut, iaitu Ngah Ibrahim. Menurut catatan Ngah Ibrahim, Selama telah dibuka dalam bulan Muharram tahun 1921 dengan kos operasi sebanyak 96,2280.00[1]

Peta Perak tahun 1877 (Sumber: Gullick, J.M, 1953: 6)

Panglima Karim dikatakan berasal dari Rawa, Sumatera dan pernah menjadi peniaga di Pulau Pinang sebelum berhijrah ke Selama. Asal kedatangan beliau ke Selama adalah apabila seorang pembesar negeri, Long Jaafar telah melantik beliau sebagai kerani gudang[2] milik pembesar tersebut di Larut.

Walaubagaimana pun, terdapat versi lain dalam sejarah pembukaan Daerah Selama ini, menurut J.M Gullick (1953:44), Selama telah dibuka pada tahun 1874 oleh Che Karim yang merupakan pembesar berketurunan Rawa dengan pekenan Sultan Abdullah selepas berlakunya Perjanjian Pangkor. Che Karim juga  dikatakan telah diberi kuasa oleh Sultan Abdullah untuk membuka lombong bijih timah di Selama. 

Selain terkenal dengan aktiviti perlombongan bijih timah, Daerah Selama juga terkait namanya dengan isu perebutan kuasa dikalangan pembesar negeri Perak, Sultan Abdullah dan Menteri Larut, Ngah Ibrahim, selain persengketaan diantara kongsi gelap Ghee Hind dan Hai San yang mencetuskan Perang Larut.


Rujukan:

Gullick, J.M. (1953). Captain Speedy of Larut. Singapore: JMBRAS.

Nordin Hussin. (1992). Larut, Matang dan Selama: Suatu Sorotan Sejarah . Malaysia dari Segi Sejarah (20), 28 - 37.



[1] Kos ini termasuk sumbangan dari Menteri Larut, wang yang dipinjam dari penduduk Bagan Tiang, pekedai di Kedai Mesjid Melayu, pinjaman dari peniaga cina serta hasil gadaian barangan peribadi milik Panglima Karim sendiri…( Nordin Hussin, 1992: 30).
[2] Antara tugasan Kerani Gudang ialah menimbang bijih Timah, mencatat pas perjalanan perahu di Larut dna menguruskan pembayaran gaji kepada pekerja…(Nordin Hussin, 1992: 30).

No comments: