Tuesday, August 07, 2012

Sejarah Masjid India, Kuala Lumpur

Bangunan Masjid India, Kuala Lumpur ( Sumber : masjidindia.com)
Oleh : Harith Faruqi Sidek

Sejarah Masjid India bermula sejak tahun 1863 lagi,  kewujudannya juga hadir dalam lakaran peta Kuala Lumpur yang diterbitkan pada tahun 1889 oleh Kuala Lumpur Land Office. Masjid ini dibina diatas sebidang tanah yang telah dianugerahkan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Alaeddin Sulaiman Shah kepada seorang peniaga berketurunan India Muslim yang terkenal di ibukota pada ketika itu,  Mohamad Kassim. Mohammad Kassim telah memanfaatkan tanah kurnia itu dengan membina sebuah masjid dengan dana hasil sumbangan  peniaga-peniaga india muslim disekitar Kuala Lumpur, khususnya di sekitar Batu Road (sekarang Jalan Tunku Abdul Rahman). Bangunan asal masjid ini dibina dengan menggunakan kayu, sebelum ianya digantikan dengan binaan batu yang lebih kukuh.


Ruang solat Masjid India, Kuala Lumpur ( Sumber : masjidindia.com)

Masjid India sepertimana yang ada kini telah dirasmikan pada 30 Ogos 1974, upacara perasmian ini telah disempurnakan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Dengan pertambahan komuniti india muslim di sekitar lembah kelang, masjid ini terpaksa dinaiktaraf beberapa kali bagi tujuan menampung jemaah serta aktiviti yang dianjurkan oleh pengurusan masjid. Dianggarkan lebih kurang 3,500 orang jemaah akan mendirikan solat fardhu jumaat di masjid ini, dan Khatib akan menyampaikan khutbah dalam bahasa Tamil. Masjid india turut mencatatkan sejarah uniknya yang tersendiri iaitu ianya kekal sebagai masjid yang tertua di Kuala Lumpur.




Sumber:

Masjid India Kuala Lumpur, (http://masjidindia.com/), diakses pada 7 Ogos 2012.

Chin Kon Yit. (2003). Landmarks of Selangor. Kuala Lumpur : Jugra Publications.
(NA1525.6.S4C48 42 - Koleksi Khas, PTSL)

No comments: