Wednesday, August 28, 2013

Nasir Jalil: lagenda bolasepak Terengganu lulusan Universiti Riyadh.

Oleh: Harith Faruqi Sidek

Nasir Jalil (Sumber: Berita Harian, 6 November 1978)

Kehadiran pemain bolasepak dalam liga tempatan dari kalangan graduan universiti bukanlah sesuatu yang asing pada masa kini, apatah lagi dengan kewujudan pertandingan di peringkat univesiti seperti Liga IPT. Sebelumnya para pemain bolasepak mendapat tawaran dari universiti yang menawarkan kursus Sains Sukan bagi tujuan mempromosi dan memperkasa program pengajian tersebut yang dipelopori oleh UiTM. Nama seperti K.Reuben dan Amiridzwan Taj yang bermain untuk pasukan kebangsaan dan ATM misalannya lahir dari liga IPT sewaktu  mewakili universiti masing-masing iaitu UKM dan UiTM.

Nasir Jalil dan rakan-rakan dari Madrasah Al-Junied yang turut mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah. ( Sumber : Berita Harian, 6 November 1978)

Senario ini agak janggal bagi arena bolasepak tahun-tahun sebelumnya, jika adapun sekitar tahun 90an baru ada nama seperti Zulfatah Zulkarnain, graduan USM yang mewakili pasukan Kedah, kemudiannya muncul nama seperti Haris Safwan dan Farid Dewan yang juga merupakan graduan dari universiti tempatan. Namun dalam era 70an-80an, ada Nasir Jalil, pemain kebangsaan Singapura yang turut mencipta nama dengan pasukan Terengganu, beliau merupakan graduan dari sebuah universiti dari timur tengah, iaitu Universiti Imam Muhammad bin Saud, yang terletak di Riyadh, Arab Saudi. Nasir Jalil yang terkenal dengan jolokan 'Kuda liar' dek kelincahan dan gaya permainan yang tidak kenal penat itu melanjutkan pelajaran dalam bidang Bahasa Arab dan Agama Islam selama 5 tahun mulai tahun 1978. Sebelumnya beliau memang mempunyai latar belakang pendidikan agama melalui persekolahan beliau di Madrasah Al-Junied Al-Islami di Singapura. Pembelajaran beliau di Universiti Riyadh itu adalah dibawah tanggungan biasiswa yang ditawarkan oleh universiti berkenaan.

Ayam Tambatan skuad penyu dari seberang tambak...Nasir Jalil dan Ahmad Paijan ( Sumber: Berita Harian, 13 Mac 1986)
Selepas tamat pengajian, beliau kembali menyarung jersi bolasepak dengan menyertai pasukan kebangsaan Singapura sebelum berhijrah ke Terengganu pada tahun 1982, selain bermain bolasepak, beliau turut menjadi guru agama di sana sehinggalah mendapat taraf penduduk tetap dan kemudiannya kerakyatan Malaysia pada tahun 1988. Kegemilangan beliau bersama pasukan Terengganu meletakkan beliau sebaris dengan bintang Terengganu yang sezaman dengannnya, iaitu Ahmad Paijan, Raimi Jamil, Norhalis Shafik (juga merupakan sepupu Nasir), Zulkifli Hamzah, Adang Abdullah dan ramai lagi.


 
Aksi Nasir Jalil dalam perlawanan menentang Perlis dalam pertandingan Piala Emas Raja-Raja yang pernah ditayangkan di RTM1 (Kredit haaasuddoh)

Di kalangan penyokong Terengganu, Nasir Jalil terkenal dengan gelaran 'Ustaz', biarpun dengan imej berambut panjang sewaktu diawal penampilan beliau dengan skuad penyu itu. Nasir Jalil meninggal dunia pada 8 Jun 2011 di Terengganu akibat penyakit barah otak yang dihidapinya sejak tahun 2004 lagi, ketika itu beliau berusia 55 tahun. Allahyarham Nasir Jalil meninggalkan seorang isteri dan 6 orang anak.


Rujukan:


Cemuhan tak patahkan azam mereka untuk belajar. Berita Harian, 6 November 1978 from NewspaperSG.

Nasir kembali sertai skuad kebangsaan. Berita Harian, 1 Januari 1980 from NewspaperSG.

Nasir undur dari skuad kebangsaan, Berita Harian 10 April 1981from NewspaperSG.

 Sazali Abdul Aziz. Ex-lion Nasir dies, The New Paper, 8 Jun 2011.

Yusoff Rahman. Melayu S'pura mahu Nasir pula, Berita Harian, 19 Julai 1979 from NewspaperSG.



Thursday, August 22, 2013

Lagu Negeri dan 'Negaraku' di Pawagam: Suatu masa dahulu

Oleh: Harith Faruqi Sidek

Antara keratan akhbar tentang isu lagu negeri dan kebangsaan di pawagam.

Selepas merdeka, lagu kebangsaan serta lagu negeri pernah dimainkan di Pawagam setiap kali selepas tayangan. Namun ianya menimbulkan polemik kerana kebanyakan penonton tidak menunjukkan tanda hormat ketika kedua lagu tersebut dimainkan, kerana pada ketika itu mereka sudah sibuk mencari pintu keluar pawagam. Begitu juga dengan sikap pemilik pawagam yang tidak mengendahkan kualiti audio lagu yang dimainkan, ada yang sudah begitu teruk kualitinya hingga tidak jelas senikatanya.

Namun lain pula di Kelantan, lagu negeri dimainkan sebelum tayangan sambil layar menayangkan imej Sultan dan pemimpin negeri. Undang-undang berkaitan memainkan lagu kebangsaan di tempat awam termasuk pawagam juga memperuntukkan hukuman sehingga RM100 atau penjara selama sebulan bagi mereka yang tidak berdiri hormat ketika lagu kebangsaan dimainkan (TST, 9 march 1968).

Berdasarkan pengalaman ini, cadangan Menteri Komunikasi dan Multimedia agar lagu Negaraku dimainkan sebelum tayangan mulai 28 Ogos hingga 3 September 2013 sempena sambutan Hari Kemerdekaan adalah tepat dan bersesuaian.

Rujukan :


The Straits Times, 22 February 1958
The Straits Times, 5 April 1958
The Straits Times, 29 May 1958
The Straits Times, 30 July 1960
The Straits Times, 26 March 1965
The Straits Times, 27 March 1965
The Straits Times, 17 October 1966
The Straits Times, 29 July 1967
The Straits Times, 9 March 1968

Wednesday, August 21, 2013

Lebaran kini tanpa 'Pohon Seri Budi'.

Oleh: Harith Faruqi Sidek

Lakaran 'Pohon Seri Budi'  ( Sumber: BH, 10 November 1970)

Sesuatu yang telah 'hilang' di zaman ini...'Pohon Seri Budi' itulah nama pohon yang suatu masa dahulu menghiasi ruang tamu kediaman orang melayu sepanjang syawal. Pohon hiasan ini merupakan pokok atau ranting kayu yang dihiasi dengan kad-kad Ucapan Hari Raya yang diterima. Mungkin bagi memastikan kad raya mencukupi untuk menghiasi pohon ini, maka setiap kiriman kad akan disertakan pantun berikut;

Pecak Kaca, Pecah Gelas,
Sudah Baca, Harap Balas

dengan harapan, setiap kiriman kad akan dibalas kembali oleh penerima.
 
Dari ruang rumah, hiasan ini kemudiannya menghiasi pula pejabat-pejabat dan pusat membeli belah.
Namun mulai akhir 90an, pohon hiasan  ini mulai lenyap sedikit demi sedikit, ianya sejajar dengan perkembangan kad elektronik serta kiriman ucapan di persada maya melalui media sosial terutamanya Facebook.

Azah Aziz ( Sumber: www.perdana.org.my )
Keterangan mengenai 'Pohon Seri Budi' ini muncul dalam Berita Harian di ruang Dewan Wanita kelolaan tokoh budayawan Azah Aziz, namun tidak pasti adakah beliau juga yang mengilhamkan nama pohon hiasan ini.

 
Rujukan

Pohon Seri Budi, Berita Harian, 10 November 1970.

Monday, August 05, 2013

Terima Kasih Dr. Baghwan Singh: Derma tertinggi untuk Universiti Kebangsaan.

Oleh : Harith Faruqi Sidek


Universiti Kebangsaan Malaysia lahir dari aspirasi rakyat yang mahukan sebuah institusi pengajian tinggi dengan semangat kebangsaan. Pembangunan awal UKM juga diatas dana sumbangan rakyat yang terdiri dari persatuan, agensi, kerajaan negeri dan orang perseorangan.

Tun Abdullah Salleh. Pendaftar UKM yang pertama.

Menurut Pendaftar UKM pada ketika itu, Encik Abdullah Salleh (Allahyarham Tun), derma tertinggi yang diterima dari individu ialah sebanyak RM10,010, insan budiman tersebut ialah Dr. Baghwan Singh, seorang ahli kajikuman di Pusat Penyelidikan Perubatan Kuala Lumpur. Seperti yang kita maklum, dalam tahun 1970an, nilai 1,000 yang dihulurkan setiap bukan itu bukanlah satu jumlah yang kecil. Perkara ini membuktikan bahawa UKM tertubuh atas aspirasi kolektif rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum.

Keratan Akhbar Berita Harian, 6 Julai 1970.

Rujukan:


Hamidon Bahari. $100 tiap bulan dari doktor untok UK, 6 Julai 1970.

Sunday, August 04, 2013

Kisah 'Bedak Nyonya' Sam Fong Hoi Tong: menghiasi wajah wanita turun temurun.

Oleh:  Harith Faruqi Sidek


Bedak Sam Fong 

Sam Fong Hoi Tong Face Powder atau ‘bedak nyonya’ adalah bahan kosmetik yang sangat popular zaman berzaman, tentu ramai yang ingat dengan bedak muka berbuku yang diletakkan dalam bekas empat segi berwarna kuning, diluarnya dihiasi dengan paparan wajah wanita cina. Bedak ini telah diasaskan pada tahun 1889 oleh Chan Chow Tong yang berasal dari wilayah Canton, China dan mula dikilangkan secara meluas melalui kilangnya di Kowloon, Hong Kong.

versi yang mempunyai tulisan Hoi Tong Talcum Powder untuk dieksport ke eropah (NSUT, 23 Oktober 1988

 Menurut laporan akhbar New Sunday Times bertarikh 23 Oktober 1988, ‘bedak nyonya’ ini telah memasuki pasaran negara sejak perang dunia kedua lagi (NSUT, 23 Oktober 1988). Di Malaysia, ianya  dikeluarkan oleh syarikat Sam Fong (M) Sdn. Bhd mulai tahun 1965.  Pada zaman kegemilangannya sekitar tahun 80an, syarikat ini mengeluarkan kira-kira 12,000 unit ‘bedak nyonya’ sebulan, dan ianya juga dieksport ke luar negara seperti Sri Lanka, timur tengah dan eropah.


Rujukan:

Azman Ahmad. Powder Power. New Sunday Times, 23 Oktober 1988.

Face on/off. Today, 10 Jun 2005.

More Cosmetics from Hong Kong due soon. The Straits Times, 6 March 1959