Tuesday, December 11, 2012

Shariff Babu : Sinonim dengan watak "Cetti" di layar perak.

Oleh : Harith Faruqi Sidek


Shariff  Babu membawa watak Cetti dalam filem "Do Re Mi" (1966)

Jika menonton filem Do Re Mi, antara adegan yang mencuit hati ialah, adegan Masdor dikejar peminta hutang, antaranya seorang cetti yang dilakonkan oleh seniman Shariff Babu, antara dialognya ialah "...itu pasai sekarang saya mari aci...ni berapa lama, pokok saya tarak tengok aci...bunga tarak nampak..itu akar sikit ada sangkut...ini akar pun putus aci...saya tulungkup (terlungkup)". Nama sebenar beliau ialah Shariff bin Babu, dilahirkan di Sungai Pinang, Pulau Pinang dalam tahun 1927. Beliau mendapat pendidikan sehingga darjah 5 di Sekolah Melayu Kampung Jawa, Pulau Pinang. Selepas meninggalkan alam persekolahan, Shariff terus dibawa ke dunia seni oleh keluarganya, beliau mendapat bimbingan bapa saudaranya, Pak Jab. 


Menjadi Seniman

Beliau banyak beraksi dalam filem-filem terbitan Merdeka Filem Studio yang turut membabitkan seniman Allahyarham Tan Sri  P. Ramlee, antaranya Do Re Mi, Nasib Do Re Mi, Enam Jahanam,  dan Anak Bapak. Watak yang kerap dibawa oleh beliau ialah sebagai Ceti atau samseng, Shariff Babu memang sinonim dengan watak-watak ini, malah kalau disebut 'ceti' maka wajah beliaulah yang menerpa difikiran. Diakhir penglibatan beliau dilayar perak, Shariff sempat berlakon bersama seniman Allahyarham Tan Sri Sudirman filem "Kami" pada tahun 1982, beliau membawakan watak Pak Du, lelaki budiman yang bebeza dengan watak yang lazimnya diberikan kepada beliau. Menerusi filem "Kami", Shariff Babu telah dicalonkan sebagai Pelakon Pembantu Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-3, namun anugerah itu tidak dimenanginya.



Shariff Babu sebagai salah seorang konco si Komeng  dalam filem " Nasib Do Re Mi" (1966)

Sekali lagi diberi watak Cetti dalam filem "Anak Bapak" (1968)
Shariff Babu memegang watak 'Mumbala', salah seorang penjahat  dalam filem Enam Jahanam (1969)

Shariff Babu sebagai "Pak Du" dalam filem "Kami"(1982).

Sebagai Ahli Muzik

Mungkin ramai yang tidak tahu, selain mewarnai layar perak dengan watak komedi, Shariff Babu juga merupakan seorang pemuzik, beliau merupakan seorang pemain gendang dan rebana dalam kumpulan muzik tradisional yang terkenal di Pulau Pinang, kumpulan Pak Jab Ronggeng yang juga merupakan bapa saudaranya. Selain daripada itu beliau juga pernah menyertai kumpulan muzik yang diketuai oleh pemuzik terkenal, Hamzah Dolmat. Penglibatan beliau dalam kumpulan muzik ini telah membawanya mengembara sambil membuat persembahan di luar negara, antaranya di London, Berlin, Manila, Sri Lanka, Indonesia dan Thailand (Berita Harian, 21 Mei 1985:6). Bakat seni muzik yang mengalir dalam tubuhnya itu dikatakan diwarisi dari bapanya, Pak Babu yang terkenal di pentas bangsawan, selain pakar bermain rebana.


Berkahwin dengan Mak Enon

Satu fakta menarik tentang Shariff Babu ialah, beliau merupakan salah seorang bekas suami kepada seniwati terkenal, Mak Enon, mereka mendirikan rumahtangga pada tahun 1952. Pada ketika itu,  Shariff Babu baru berusia 26 tahun, sementara Mak Enon pada ketika itu telah pun berusia 40 tahun. Rumahtangga mereka tidak kekal lama, mereka berpisah dan  Shariff terus menduda, sementara Mak Enom telah menemui jodoh baru.(Utusan Malaysia, 2 April 2000).

Seniwati Mak Enon,pernah mendirikan rumahtangga  bersama Shariff Babu pada tahun  1952  (Gambar : cinemamalaysia.com.my)


Dijemput ilahi

Shariff Babu menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari khamis, 16 Mei 1985 di Hospital Besar Kuala Lumpur akibat penyakit jantung, selain komplikasi beberapa penyakit lain seperti kencing manis, batuk kering dan darah tinggi ketika itu beliau berusia 58 tahun (Utusan Malaysia, 2 April 2000). Jenazahnya telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Allahyarham meninggalkan tiga orang anak, dua lelaki dan seorang perempuan.


- Al Fatihah -


Rujukan

Mengenang Artis Lama - Shariff Babu disangka anggota kongsi gelap. (2 April 2000). Utusan Malaysia

Pelakon 'Nasib Do Re Mi' meninggal dunia di hospital. (21 Mei 1985). Berita Harian, p.6

Zainuri Misfar. (17 Februari 2006). Mak Enon Sepi Seorang Primadona, Berita Harian, p. 4. 


1 comment:

Anonymous said...

tengok muka dia je pun aku dh gelak,belum dgr dia bercakap lg..watak ceti mmg sesuai sgt ngan dia..mmg tip-top & sebiji mcm ceti dia buat..hahaha..