Saturday, December 29, 2012

Imbasan zaman kanak-kanak di Museum of Childhood, Edinburgh.

Oleh : Harith Faruqi Sidek


Pintu masuk ke Museum of Childhood, Edinburgh.

Edinburgh adalah sebuah kota klasik di Scotland yang kaya dengan pemeliharaan warisan sejarah, malah tapak-tapak warisan yang ada di Edinburg telah diangkat menjadi ikon yang menarik para pelancong untuk melancong ke Edinburgh. Saya berkesempatan melawat kota ini sekitar akhir September 2010, pada ketika itu cuaca di Edinburgh tidak berapa mesra dengan pelacong, musim hujan pada ketika itu sedikit sebanyak menghadkan pergerakan para pelancong, termasuk saya sekeluarga. Tarikan utama di Edinburgh sudah pastinya sebuah kota lama yang dikenali sebangai 'Edinburgh Castle' yang didalamnya turut menempatkan muzium perang. Dek kerana kedudukannya di atas bukit, para pengunjung boleh menikmati pemandangan panorama indah sekitar Edinburgh dari puncak kota ini.

Plak perasmian 
Seusai melawat Edinburgh Castle, kami singgah di Childhood Museum, sebuah muzium yang memamerkan lebih dari 200,000 koleksi permainan kanak-kanak dari abad ke-19 lagi. Muzium ini adalah yang pertama seumpamanya di dunia, namun kini Malaysia juga sudah ada muzium sebegini di Pulau Pinang. Para pengunjung tidak dikenakan sebarang bayaran masuk, tetapi disediakan juga kotak derma untuk  pengunjung yang budiman.

Bagi generasi yang lahir dalam tahun 70an seperti saya, koleksi yang ada di muzium ini memang mengujakan, apatah lagi kenangan bersama kebanyakkan permainan yang dipamerkan itu masih tersemat diingatan. Berikut saya kongsikan beberapa koleksi yang dipamerkan,

Antara koleksi permainan elektronik terawal yang dipamerkan.

Koleksi anak patung dari zaman victoria yang nilainya pasti  lumayan  jika ditawarkan kepada pengumpul tegar.
Guli juga merupakan permainan kanak-kanak di eropah, sepertimana  juga di Malaysia.

Senapang angin dengan peluru gabus.
Peralatan sukan yang terawal, antaranya raket badminton,  raket tennis, but bola, kayu golf, bat kriket.

But bolasepak yang terawal, tidak pasti jenamanya.

Ziyad dan Zaheera mencuba permainan dari zaman silam yang asing bagi mereka.
Koleksi lengkap model kenderaan era 60an.
Model klasik kereta SAAB.
Model kereta Volvo klasik dan Renault
Zaheera mencuba permainan kuda kayu yang cukup popular suatu masa dahulu.
'Pistol letup', kalau di Malaysia permainan ini amat popular di hari lebaran. alternatif kepada bunga api.
Pistol Koboi...
Siapa masih ingat...model basikal BMX terawal di Malaysia dari jenama Raleigh.
Pengiktirafan akreditasi dari MLA untuk muzium ini.

Keseluruhannya lawatan ke muzium ini amat menghiburkan, tetapi timbul juga rasa kesal kerana tidak menyimpan permainan-permainan lama yang pernah menghiasi kehidupan kanak-kanak saya dahulu, jika tidak pastinya saya juga mampu memiliki sebuah muzium sendiri!.


Rujukan:

http://www.edinburghmuseums.org.uk/Venues/Museum-of-Childhood.

Friday, December 28, 2012

Tahun 1974 ...nilai Kuala Lumpur hanya RM3.5 Billion.


DYMM Almarhum Sultan Selangor sewaktu upacara penyerahan  rasmi  Kuala Lumpur kepada  Kerajaan Pusat.


Pada tanggal 1 Januari 1974, wilayah Kuala Lumpur telah  diserahkan kepada kerajaan Pusat dengan pampasan sebanyak RM3.5 Billion. Pembayaran pampasan ini dilakukan secara ansuran selama 15 tahun, ansuran terakhir diterima pada tahun 1989.  




Sumber:

Ghulam Jie M. Khan. (1997) Buku Rekod Malaysia, Ainna's Pubs: Kuala Lumpur.

Tuesday, December 18, 2012

Noor K.K: Popularkan loghat Perak dalam filem P.Ramlee

Oleh : Harith Faruqi Sidek

Noor K.K

Filem-filem komedi  arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee sememangnya sarat dengan adegan yang mencuit hati dan masih ‘laku’ dijadikan bahan hiburan sehingga ke hari ini. Antara filem komedi arahan beliau yang mendapat sambutan adalah ‘Nasib Do Re Mi’, banyak watak yang dicipta mempunyai line atau dialog yang terkesan, daripada watak utamanya, Do, Re dan Mi, hinggalah kepada watak pembantu seperti Komeng, Pak Maun dan ramai lagi. Namun antara babak yang digemari ramai tentunya adegan kedai kopi yang melibatkan watak seorang ‘pak lebai’ dan Re, lakonan A.R Tompel. Selain dialog lucu yang begitu mencuit hati, seperkara yang lebih menarik ialah mereka menggunakan dialek negeri Perak yang mungkin juga jarang-jarang didengar di layar perak pada ketika itu.

"Dimane kite berjumpe ni.....". antara dialog babak di warung kopi  bersama A.R Tompel. (Filem Nasib Do Re Mi)

Siapakah pelakon yang membawa watak ‘Pak Lebai’ berkenaan ?, generasi pasca 70an mungkin tidak mengenali beliau, termasuk saya. Lalu saya ajukan persoalan ini kepada saudara Mustafa A.R , seorang mantan wartawan hiburan  yang berpengalaman selama 30 tahun mengikuti arena hiburan tanahair, kini beliau adalah pengendali laman http://filemklasikmalaysia.blogspot.com. Menurut Mustafa A.R, pelakon tersebut bernama  Noor K.K, faktor ketelitian dan usaha Mustafa A.R memberi fakta dan maklumat berkaitan dunia perfileman klasik tanahair menyebabkan saya yakin bahawa maklumat yang beliau sampaikan itu adalah sahih. Perkara ini diperkuatkan lagi dengan wujudnya nama “Ustaz Noor KK” yang  disebut oleh kedua-dua pelakon dalam adegan di Warung Kopi itu. Semakan pada kredit filem 'Nasib Do Re Mi' juga mendapati   wujudnya nama Noor K.K (di eja sebagai Nor K.K) dalam senarai pelakon pembantu. Selain filem 'Nasib Do Re Mi', Noor K.K turut diberi peranan kecil dalam filem 'Do Re Mi' dan 'Keluarga 69'.

Kredit filem 'Nasib Do Re Mi' yang menyenaraikan Noor K.K (di eja sebagai Nor K.K) dalam filem tersebut.

"Die nak pekene ke saye, sebelum die pekene ke saye, saye pekene ke die  dulu....."...antara dialog Noor K.K dalam babak ini.- (Filem Nasib Do Re Mi)

Usaha mencari maklumat mengenai Noor K.K ini memang rumit dan sukar, apatah lagi beliau bukan nama besar di layar perak, malah bukan juga pelakon pembantu yang popular seperti HM Bushra, Shariff Dol atau Shariff Babu  yang telah saya usahakan penulisan mengenai mereka sebelum ini. Namun dengan sumber yang terhad ini, dapat juga saya temui maklumat bahawa beliau ini sebenarnya mempunyai nama besar dalam  seni Bangsawan, malah diiktiraf sebagai tokoh yang berjasa dalam memperjuangkan seni bangsawan tanahair, malah beliau juga telah bertanggungjawab mencungkil bakat beberapa orang anak seni yang kemudiannya menjadi nama besar.

Noor K.K muncul sebagai watak pembantu dalam filem 'Do Re Mi'.

Adegan yang melibat Noor K.K dalam filem 'Keluarga 69', dialog beliau dalam babak ini ialah " eh! siape tu? teruk benor , berbungkus-bangkeh..."- (Filem Keluarga 69)

Menurut Rahmah Bujang dalam naskahnya Sejarah Perkembangan Drama Bangsawan Di Tanah Melayu dan Singapura, Noor K.K yang dilahirkan sekitar tahun 1920an itu berkelulusan sekolah melayu dan merupakan penggiat seni bangsawan arus kedua, iaitu sekitar tahun 40an. Dalam persembahan bangsawan yang disetainya, Noor K.K kerap memegang watak Raja, namun diawal pembabitannya dalam pementasan bangsawan, beliau bersama adiknya, Zohor K.K terkenal sebagai pelakon aksi lasak, perkara ini dinyatakan oleh Seniman Rahman B. dalam biografi beliau (Zakaria Ariffin, 2005:21). Noor K.K kemudiannya beralih menjadi pengarah, selain aktif menulis skrip bangsawan, antara skripnya yang popular ialah ‘Jula Juli Bintang Tiga’ (Berita Harian, 11 Mei 1980: 7). Sekitar tahun 68/69, Noor K.K bersama kumpulan bangsawan pimpinannya, Sentosa Opera kerap menerima jemputan mengadakan persembahan di kaca t.v menerusi slot 'Pentas Bangsawan' selain turut muncul di corong radio menerusi segmen 'Bangsawan di udara' pada tahun sebelumnya.

Keratan maklumat berkenaan Noor K.K dari naskah Sejarah Perkembangan Drama Bangsawan Di Tanah Melayu dan Singapura. karya Rahmah Bujang.

Dalam temubual dengan wartawan A.Aziz Ismail (Berita Harian, 2 Oktober 1977: 7), pelakon veteran, A.R Badol mengakui bahawa Noor K.K lah orang yang bertanggungjawab membawanya ke dunia lakonan. Menurut Badol, sebelum dipelawa oleh Noor K.K untuk menyertai dunia bangsawan, beliau bekerja sebagai kondukter bas dengan syarikat Bas Kelang. Badol memang mengenali Noor K.K yang juga sahabat bapanya, A.R Tompel, maka mungkin atas faktor itu juga dia tidak menolak desakan Noor K.K agar menyertai rombongan Kebudayaan FELDA pada jun 1974, turut sama dalam kumpulan "Bangsawan Bergerak' ini ialah seniman Ahmad B, Yahya Sulong (Datuk), Karim Latiff, R.Jaafar, Rahman B. dan lain-lain. Noor K.K meninggal dunia pada tanggal 5 Mei 1980 pada usia 59 tahun.

Noor K.K bersama kumpulan 'Bangsawan Bergerak'  Felda pada tahun 1974. ( Sumber :  Zakaria Ariffin. (2005). Biografi Seniman Negara Rahman B.

Berita tentang berpulangnya ke rahmatullah, Allahyarham Noor K.K . ( Sumber : Berita Harian , 11 Mei 1980)


Rujukan


A. Aziz Ismail. (2 Oktober 1977). Kisah Badol, Berita Harian.p. 7

Harun Jaafar. (27 Julai 1999). Bangsawan Melayu perlu pembaharuan, Berita Harian.

Noor K.K Meninggal ( 11 Mei 1980), Berita Harian. P.7

Rahmah Bujang. (1975). Sejarah Perkembangan Drama Bangsawan Di Tanah Melayu dan Singapura. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tan Sooi Beng. (1993). Bangsawan : A Social and Stylistic History of Popular Malay Opera, Singapore: Oxford University Press.

Zainuri Misfar. (25 Mei2007 ). R. Jaafar pernah jadi penarik beca, polis, Berita Harian.p.3

Zakaria Ariffin. (2005). Biografi Seniman Negara Rahman B, Kuala Lumpur: Akademi Seni Kebangsaan.


Wednesday, December 12, 2012

Biografi Syed Mokhtar Albukhary : 25 Fakta Menarik.

Oleh: Harith Faruqi Sidek



Akhirnya sebuah biografi yang dinanti-nantikan oleh ramai rakyat Malaysia terhasil, kisah kehidupan seorang tokoh korporat yang  berjaya hingga  meletakkan dirinya sebagai antara yang terkaya di Malaysia. Buku setebal 209 mukasurat ini menceritakan kisah hidup beliau sejak dari zaman kanak-kanak serta pahit manis dunia korporat yang beliau ceburi.

Berikut adalah 25 fakta pilihan yang menarik mengikut kronologi mukasurat;

1) Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary mempunyai ingatan yang fotografik, beliau mampu mengingati alamat kesemua rumah-rumah beliau sejak kecil hingga dewasa, nombor pendaftaran semua kenderaan yang pernah beliau miliki serta setiap data urusniaga yang beliau jalankan. ( ms.vii)

2) Mendapat pendidikan sehingga tingkatan lima ( Sekolah Menengah St. Michael, Alor Setar), beliau terpaksa meninggalkan bangku sekolah akibat kemiskinan. (ms.vii)

3) Hanya memandu sebuah Proton Perdana model lama yang dibeli sebelum beliau menjadi pemilik syarikat Proton lagi. (ms.viii)

4) Syed Mokhtar Albukhary akan memandu balik ke Alor Setar setiap bulan untuk melawat ibunya, Sharifah Rokiah, walhal beliau lebih dari mampun untuk terbang dengan pesawat mewah, atau sekurang-kurangnya menggunakan pemandu peribadi (ms.viii)

5) Amat menggemari teh dengan susu segar selain kek buah yang telah menjadi kegemaran beliau sejak kecil (ms. 2)

6) Tidak pernah menjadi ahli mana-mana kelab eksklusif sepertimana kelaziman mana-mana tokoh korporat yang berjaya. (ms.3)

7) Sewaktu tinggal bersama bapa saudaranya di Johor, mereka berdua kerap berjalan kaki dari Johor Bahru ke Woodlands, Singapura untuk membeli laici dalam tin yang dianggap barangan mewah bagi mereka pada ketika itu. (ms.14)

8) Pernah 'hanyut' seketika dalam dunia hedonistik ketika berusia awal 20an, namun beliau cepat sedar dan kembali ke pangkal jalan. (ms.22)

9) Pernah belajar ilmu perakaunan di Institut Goon, Kuala Lumpur., tetapi tidak menamatkan pengajian tersebut. (ms.23)

10) Pertama kali mengadakan sidang media adalah selepas menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1529H pada tahun 2008. Beliau bersetuju mengadakan sidang media tersebut hanyalah kerana ingin memberi penghormatan kepada bondanya semata-mata. (ms. 28)

11) Bapanya, Syed Nor pernah berpesan kepada Syed Mokhtar, " Tak Mengapa jika tidak berwang, tetapi jangan sekali-kali memalukan keluarga" . (ms 30)

Petikan teks di mukasurat 30 tentang pesanan Syed Nor kepada anaknya, Syed Mokhtar.

12) Syarikat pertama yang dimiliki beliau ialah Syarikat Kenderaan Sentosa (SKS) iaitu syarikat yang menawarkan pengangkutan menggunakan lori, ia ditubuhkan pada tahun 1972. (ms. 40)

13) Menggemari kemeja dari jenama Van Heusen, tetapi tidak gemar memakai tali leher. (ms. 52)

14) Memulakan perniagaan beras dengan menubuhkan syarikat Shah Enterprise pada tahun 1975, syarikat ini kemudiannya dinamakan semula sebagai Al-Bukhary Sdn. Bhd pada tahun 1976. (ms. 52)

15) Pernah mendapat kontrak dari Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk membekalkan 120,000 pasang kasut keselamatan bagi Angkatan Tentera Malaysia. ( ms.70)

16) Menjadi jutawan pada usia 30 tahun (ms.72)

17) Menaja purata 50 orang jemaah haji dari kalangan miskin tegar setiap tahun. (ms. 72)

18) Menjadi amalan mendermakan sebahagian pendapatannya kepada keluarga miskin tanpa mengira kaum hingga ke hari ini. (ms. 119)

19) Menubuhkan Universiti Antarabangsa Albukhary yang terletak di Kompleks Ilmu Sharifah Rokiah, wakaf yang dinamakan sempena ibunya. (ms.121)

20) Krisis ekonomi Asia 1997 telah menyebabkan asetnya susut daripada 3 billion kepada 600 juta (ms.127)

21) Beliau seorang yang sentimental, pejabat pertamanya di Teluk Wanjah, Alor Setar masih dikekalkan dalam keadaan asal, termasuk perabot asal yang telah digunakan sejak tahun 1975 , begitu juga dengan lori beras terawal, kereta dan penimbang beras milik syarikatnya, semuanya masih disimpan. (sisipan bergambar)

22) Setiap tahun beliau akan ke Mekah untuk menunaikan Umrah. (ms.171)

23) Membahagikan masa antara urusan keluarga dan perniagaan, pertemuan atau mesyuarat dengan rakan niaga dan para profesional yang terlibat dalam urus niaga beliau akan diadakan diantara jam 10 malam hingga ke 3 pagi setiap hari. (ms. 184)

24) Berkahwin pada usia 41 tahun,sementara isterinya Puan Sri Sharifah Zarah pada ketika itu berusia 24 tahun.( ms. 185).

25) Tidak suka tidur dibilik yang berhawa dingin, namun setelah berumah tangga, beliau berkompromi dalam soal ini. (ms.187)

Untuk mengetahui banyak lagi fakta menarik selain 25 yang diatas,  naskah yang diusahakan oleh Premilla Mohanlall ini perlu dibaca. Buku ini boleh didapati dari toko-toko buku MPH atau selainnya dengan harga pasaran RM19.90.



Rujukan:

Premilla Mohanlall. (2012). Biografi Syed Mokhtar Albukhary. Petaling Jaya: pVm Communications.

Tuesday, December 11, 2012

Shariff Babu : Sinonim dengan watak "Cetti" di layar perak.

Oleh : Harith Faruqi Sidek


Shariff  Babu membawa watak Cetti dalam filem "Do Re Mi" (1966)

Jika menonton filem Do Re Mi, antara adegan yang mencuit hati ialah, adegan Masdor dikejar peminta hutang, antaranya seorang cetti yang dilakonkan oleh seniman Shariff Babu, antara dialognya ialah "...itu pasai sekarang saya mari aci...ni berapa lama, pokok saya tarak tengok aci...bunga tarak nampak..itu akar sikit ada sangkut...ini akar pun putus aci...saya tulungkup (terlungkup)". Nama sebenar beliau ialah Shariff bin Babu, dilahirkan di Sungai Pinang, Pulau Pinang dalam tahun 1927. Beliau mendapat pendidikan sehingga darjah 5 di Sekolah Melayu Kampung Jawa, Pulau Pinang. Selepas meninggalkan alam persekolahan, Shariff terus dibawa ke dunia seni oleh keluarganya, beliau mendapat bimbingan bapa saudaranya, Pak Jab. 


Menjadi Seniman

Beliau banyak beraksi dalam filem-filem terbitan Merdeka Filem Studio yang turut membabitkan seniman Allahyarham Tan Sri  P. Ramlee, antaranya Do Re Mi, Nasib Do Re Mi, Enam Jahanam,  dan Anak Bapak. Watak yang kerap dibawa oleh beliau ialah sebagai Ceti atau samseng, Shariff Babu memang sinonim dengan watak-watak ini, malah kalau disebut 'ceti' maka wajah beliaulah yang menerpa difikiran. Diakhir penglibatan beliau dilayar perak, Shariff sempat berlakon bersama seniman Allahyarham Tan Sri Sudirman filem "Kami" pada tahun 1982, beliau membawakan watak Pak Du, lelaki budiman yang bebeza dengan watak yang lazimnya diberikan kepada beliau. Menerusi filem "Kami", Shariff Babu telah dicalonkan sebagai Pelakon Pembantu Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-3, namun anugerah itu tidak dimenanginya.



Shariff Babu sebagai salah seorang konco si Komeng  dalam filem " Nasib Do Re Mi" (1966)

Sekali lagi diberi watak Cetti dalam filem "Anak Bapak" (1968)
Shariff Babu memegang watak 'Mumbala', salah seorang penjahat  dalam filem Enam Jahanam (1969)

Shariff Babu sebagai "Pak Du" dalam filem "Kami"(1982).

Sebagai Ahli Muzik

Mungkin ramai yang tidak tahu, selain mewarnai layar perak dengan watak komedi, Shariff Babu juga merupakan seorang pemuzik, beliau merupakan seorang pemain gendang dan rebana dalam kumpulan muzik tradisional yang terkenal di Pulau Pinang, kumpulan Pak Jab Ronggeng yang juga merupakan bapa saudaranya. Selain daripada itu beliau juga pernah menyertai kumpulan muzik yang diketuai oleh pemuzik terkenal, Hamzah Dolmat. Penglibatan beliau dalam kumpulan muzik ini telah membawanya mengembara sambil membuat persembahan di luar negara, antaranya di London, Berlin, Manila, Sri Lanka, Indonesia dan Thailand (Berita Harian, 21 Mei 1985:6). Bakat seni muzik yang mengalir dalam tubuhnya itu dikatakan diwarisi dari bapanya, Pak Babu yang terkenal di pentas bangsawan, selain pakar bermain rebana.


Berkahwin dengan Mak Enon

Satu fakta menarik tentang Shariff Babu ialah, beliau merupakan salah seorang bekas suami kepada seniwati terkenal, Mak Enon, mereka mendirikan rumahtangga pada tahun 1952. Pada ketika itu,  Shariff Babu baru berusia 26 tahun, sementara Mak Enon pada ketika itu telah pun berusia 40 tahun. Rumahtangga mereka tidak kekal lama, mereka berpisah dan  Shariff terus menduda, sementara Mak Enom telah menemui jodoh baru.(Utusan Malaysia, 2 April 2000).

Seniwati Mak Enon,pernah mendirikan rumahtangga  bersama Shariff Babu pada tahun  1952  (Gambar : cinemamalaysia.com.my)


Dijemput ilahi

Shariff Babu menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari khamis, 16 Mei 1985 di Hospital Besar Kuala Lumpur akibat penyakit jantung, selain komplikasi beberapa penyakit lain seperti kencing manis, batuk kering dan darah tinggi ketika itu beliau berusia 58 tahun (Utusan Malaysia, 2 April 2000). Jenazahnya telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Allahyarham meninggalkan tiga orang anak, dua lelaki dan seorang perempuan.


- Al Fatihah -


Rujukan

Mengenang Artis Lama - Shariff Babu disangka anggota kongsi gelap. (2 April 2000). Utusan Malaysia

Pelakon 'Nasib Do Re Mi' meninggal dunia di hospital. (21 Mei 1985). Berita Harian, p.6

Zainuri Misfar. (17 Februari 2006). Mak Enon Sepi Seorang Primadona, Berita Harian, p. 4. 


Sunday, December 09, 2012

Yap Ah Loy, Raja Laut, Thamboosamy Pillai dan Loke Yew : Tokoh disebalik nama Jalan.

Oleh Harith Faruqi Sidek


Jika diperhatikan pada peta ibukota Kuala Lumpur, pelbagai nama tokoh-tokoh yang diabadikan sebagai nama jalan dan lorong-lorong, malah bangunan dan penempatan juga. Tokoh-tokoh  ini datangnya dari pelbagai latar belakang, sama ada politik, seni, sosial dan sebagainya. Penulisan ini melihat kepada latar belakang beberapa orang pemimpin masyarakat yang nama mereka diabadikan di jalan-jalan di ibukota.


1. Yap Ah Loy (1837 - 1885)

Kapitan Yap Ah Loy bersama pengikutnya pada lewat 1884,  pada ketika ini  beliau sedang  menderita sakit  bronkitis, ianya jelas tergambar dengan susuk tubuh yang susut.
Nama sebenar beliau ialah Yap Tet Loy, dilahirkan di Kwangtung, China pada tahun 1837. Beliau adalah dari keturunan Hakka dan mendirikan rumahtangga pada tahun 1856 dengan seorang gadis dari Melaka, Kok Kang Keown. Pasangan ini dikurniai dengan dua orang cahayamata lelaki, Yap Hon Chin dan Yap Loong Hin.

Yap Ah Loy datang ke Tanah Melayu pada tahun 1854 dan menetap di Melaka dan bekerja sebagai pembantu kedai. Beliau kemudiannya berhijrah ke Lukut dan bekerja sebagai buruh di sebuah lombong timah. Selain bekerja sebgai buruh, Yap Ah Loy turut terlibat dalam perniagaan khinzir. Dengan fizikal yang tegap dan gagah, Yah Ah Loy mempunyai reputasi sebagai seorang yang digeruni, selain daya kepimpinan yang tinggi. Oleh yang demikian, pada tahun 1860, beliau telah dipilih sebagai Kapitan, atau ketua bagi masyarakat cina dari kalangan pelombong bijih timah di Sungai Ujong, beliau menggantikan kapitan sebelumnya yang mati dibunuh akibat persengketaan dengan sekumpulan pelombong bijih yang lain.

Apabila Kuala Lumpur diterokai dan perusahaan bijih timah mula berkembang, Yap Ah Loy telah dipelawa oleh Liu Ngim Kong, seorang pemimpin masyarakat cina di Kuala Lumpur untuk membantunya dalam perusahaan lombong bijih disana. Yap Ah Loy kemudianya telah membuka lombongnya sendiri dan bertambah maju hingga menjadi kaya raya. Yap Ah Loy kemudiannya melabur dengan memajukan beberapa kawasan di Kuala Lumpur, termasuk pembinaan tokong Sze Yeh. Setelah kematian Liu Ngim Kong, atas permintaan mendiang sendiri, Yap Ah Loi telah diangkat sebagai Kapitan bagi masyarakat cina di Kuala Lumpur, pelantikan ini turut mendapat restu dari Sultan Abdul Samad, Raja Abdullah dari Klang dan Sutan Puasa, pemimpin kaum melayu yang paling berpengaruh di Kuala Lumpur pada ketika itu. Pada tahun 1869, Yap Ah Loy dimasyurkan secara rasmi sebagai Kapitan dalam satu majlis yang turut dihadiri oleh Raja Mahdi, Raja Asal dan Sutan Puasa. Dalam upacara pemasyuran itu, Yap Ah Loy telah mengenakan pakaian tradisi melayu lengkap dengan destar sepertimana lazimnya dipakai oleh Raja-raja melayu, sementara pengisytiharan dilakukan dalam bahasa ibunda beliau. Walau bagaimana pun, sewaktu pemasyuran semula sebagai Kapitan pada 1873, iaitu selepas tamatnya perang Klang, Yap Ah Loy mengenakan pakaian tradisi masyarakat cina.

Sumbangan Kapitan Yap Ah Loy pada pembangunan Kuala Lumpur tidak boleh dinafikan, sewaktu Kuala Lumpur dilanda banjir besar, semua pengusaha lombong mengalami kerugian akibat kerosakan pada mesin dan bangunan. Yap Ah Loy sendiri turut sama terjejas, beliau terpaksa meminjam sejumlah besar wang  bagi membiayai kos pembaikan agar dapat meneruskan perusahaanya. Malah beliau hampir muflis akibat dari hutang yang besar  itu, namun nasibnya baik apabila harga timah naik dua kali ganda pada tahun 1879, lalu dalam tempoh setahun segala hutang piutang dapat beliau langsaikan. Yap Ah Loy kemudiannya membiayai pembinaan jalan, rumah sakit, sekolah jenis kebangsaan (c) dan perusahaan batu-bata yang menjadi kegunaan untuk pembinaan bangunan di Kuala Lumpur pada ketika itu, kawasan perusahaan ini kemudiannya dikenali sebagai Brickfields Road.

Pada akhir 1884, Yap Ah Loy telah diserang bronkitis dan jangkitan kuman pada paru-paru, namun beliau hanya bertahan dengan rawatan tradisional cina yang berasaskan herba. Biarpun menunjukkan tanda-tanda akan sembuh, beliau akhirnya meninggal dunia pada 15 April 1885, sebagai tanda penghormatan, seluruh pejabat kerajaan ditutup pada hari pengkebumian beliau.

Jalan Yap Ah Loy, Kuala Lumpur


2) Raja Laut (1850 -1915)

Raja Laut (dalam bulatan) bersama pemimpin kanan kerajaan , disebelah kanan beliau  ialah  pemangku Residen Selangor, J.P Rodgers. Gambar ini diambil pada pertengahan tahun 1884.

Raja Laut adalah putera kedua Sultan Muhammad, beliau dilahirkan pada tahun 1850, mendapat gelaran Raja Laut kerana dikatakan dilahirkan ketika bondanya berada di perairan sekitar Lukut. Beliau kemudianya dijadikan anak angkat oleh Raja Juma'at lalu menjadi saudara tiri kepada putera kandung Raja Juma'at, iaitu Raja Bot. Raja Laut adalah pengasas kepada Kuala Lumpur Sanitary Board sewaktu ianya ditubuhkan pada 1890. Selain daripada itu, Raja Laut juga bertanggungjawab menubuhkan sekolah melayu pertama di Kuala Lumpur, dimana beliau turut menyekolahkan putera beliau di sekolah berkenaan.

Pada tahun 1898, Raja Laut telah dimasyurkan sebagai Raja Muda Selangor, selepas Raja Sulaiman dinobatkan sebagai Sultan Selangor, Raja Laut menggunakan gelaran ini sehingga tahun 1903. Raja Laut mengahwini Raja Daing Chahaya dan dikurniai seorang putera, iaitu Raja Alang. Keluarga diraja ini tinggal di sebuah rumah dikawasan 'Batu Road' pada ketika itu, sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 1915 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan 'Kampong Gonggang', iaitu nama asal jalan Ampang. Nama Raja Laut diabadikan sebagai nama sebuah jalan yang bersambung dengan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur


3) K. Thamboosamy Pillai (1850 - 1902)

K. Thamboosamy Pillai

K. Thamboosamy Pillai merupakan ketua bagi masyarakat india di Kuala Lumpur selama tiga dekad, beliau dilahirkan di Singapura dan mendapat pendidikan di Raffles Institution. K. Thamboosamy memulakan kerjaya sebagai seorang kerani di firma guaman Rodyk dan Davidson, beliau kemudiannya mengikuti majikannya, Guthrie Davidson ke Selangor, selepas majikannya itu dilantik sebagai Residen Selangor yang pertama. K.Thamboosamy kemudian dilantik menjalankan tugas-tugas pengurusan pejabat di Pejabat Perbendahaan Negeri Selangor yang beribu pejabat di Klang. Pada tahun 1889, beliau bersara dari perkhidmatan awam dengan jawatan terakhirnya sebagai Ketua Kerani, dan sebagai tanda penghargaan, Residen British pada masa itu, William Maxwell telah melantik beliau sebagai pengurus bagi sebuah syarikat perlombongan, New Rawang Tin Mining Company.

Beliau telah berjaya memajukan syarikat berkenaan, malah beliau sendiri menjadi antara tokoh yang dihormati pada ketika itu. K. Thamboosamy merupakan ahli Selangor Turf Club, malah turut memiliki koleksi kudanya sendiri. Selain aktiviti perlombongan, K. Thamboosamy turut membina kekayaan melalui aktiviti hartanah dan binaan, malah beliau sering mengadakan keraian mewah di rumahnya, di Batu Road. 
K. Thamboosamy Pillai juga diiktiraf sebagai tokoh disebalik pembukaan kuil Hindu di Batu Caves, malah sebuah tugu menyerupai beliau turut dibina di kuil berkenaan.

K. Thamboosamy meninggal dunia di Singapura pada tahun 1902, memandangkan pada ketika itu tiada perkhidmatan keretapi atau jalan darat yang baik, maka atas inisiatif Sir Frank Swettenham, mendiang dibawa pulang ke Kuala Lumpur dengan menggunakan kapal layar khas yang dikhaskan untuk kegunaan  Gobenor British.

Jalan Thamboosamy, Kuala Lumpur



4) Loke Yew (1845 - 1917)

Wong Loke Yew

Wong Loke Yew,atau lebih dikenali dengan nama Loke Yew dilahirkan di wilayah Kwangtung, China, beliau datang  dari keluarga peladang. Pada tahun 1858, sewaktu berusia 13 tahun, beliau belayar ke Singapura dean bekerja sebagai pembantu kedai. Loke Yew kemudiannya berhijrah ke Larut dan menjadi buruh lombong disana. Perang larut yang tercetus telah mendatangkan punca rezeki buat beliau, pihak British telah melantiknya sebagai pembekal makanan kepada pasukan tentera British. Loke Yew kemudiannya berhijrah ke Selangor, dan membuka lombong bijihnya sendiri, selain terlibat dalam bidang hartanah. Loke Yew turut membantu kerajaan negeri Selangor dalam hal pembinaan jalan, malah beliau kemudiannya dianugerahkan konsesi jalan-jalan yang terlibat.

Loke Yew turut membuka ladang getah, dan hasil perniagaanya yang perlbagai dan maju, Loke Yew telah berjaya menjadi jutawan. Kekayaan yang dibina turut dikongsikan untuk kemajuan masyarakat, beliau banyak menyumbang kepada aktiviti kemasyarakatan terutamanya yang bersangkutan dengan pendidikan, malah beliau adalah salah seorang pengasas Victoria Institution, Kuala Lumpur selain turut menyumbang dana bagi pembinaan padang sekolah Methodist Boy's School.Di atas sifat murah hati yang ada pada Loke Yew itu,  Hong Kong University telah menganugerahkan beliau ijazah kehormat. Sepertimana tokoh-tokoh sezaman dengannya, Loke Yew turut mendiami kawasan Batu Road, beliau meninggal dunia pada tahun 1917.

Jalan Yoke Lew, Kuala Lumpur


Rujukan :

Batu Caves Magnificent Hindu Batu Caves Temple. at: http://www.malaysian-explorer.com/batuCaves.html ( diakses pada 8 Disember 2012)


Community Leaders in Early Kuala Lumpur. (1972). Malaysia in History, XIV(2), 9-14.
( 121 - Koleksi Khas Shaharom Husain, PTSL UKM )

Wikipedia.org