Bangunan Stadhouse (Stadhuys) yang menempatkan Perpustakaan Awam terawal di Melaka. (Sumber : TST, 17 May 1936). |
Penubuhan Negeri-negeri Selat
adalah kesan daripada perjanjian Inggeris – Belanda pada 1824, ianya
menyaksikan pentadbiran negeri-negeri di Tanah Melayu dibahagi diantara dua
kuasa penjajah tersebut. Negeri-negeri di utara di bawah pentadbiran Inggeris,
sementara negeri di Selatan terletak dibawah pentadbiran Belanda. Perjanjian
tersebut juga melihatkan Belanda menyerahkan Melaka kepada Inggeris sebagai
pertukaran dengan Bangkahulu di Sumatera yang asalnya milik Inggeris, selain daripada
itu, Belanda juga bersetuju mengiktiraf kuasa autonomi inggeris keatas
Singapura.
Kesan kedatangan inggeris ke
negeri-negeri selat dapat dilihat sehingga ke hari ini, selain nama-nama
inggeris yang diabadikan di penempatan dan bangunan, mereka turut meninggalkan
jejak yang memberi kesan kepada tradisi keilmuan di Tanah Melayu. Institusi Perpustakaan
adalah lambang perkembangan dan pembudayaan ilmu, maka agak menarik bila
institusi ini mula dikesan wujud sejak Tanah Melayu berada dibawah pentadbiran
Inggeris. Dalam tempoh pentadbiran negeri-negeri selat mulai 1826 hingga 1946,
beberapa perpustakaan telah diwujudkan, termasuk perpustakaan sekolah, namun
yang akan dikongsikan dalam penulisan ini ialah mengenai tertubuhnya
perpustakaan awam yang pertama di Melaka.
Perpustakaan Melaka dikatakan
telah ditubuhkan sekitar bulan November 1881 dengan inisiatif sebuah
jawatankuasa yang diketuai oleh C.J Irving. Pada peringkat awal, perpustakaan
ini ditempatkan di sebuah rumah rehat sebelum dipindahkan ke bangunan Stadthuys
atau disebut juga sebagai Stadthouse. Kos pembangunan yang diperolehi dari
hasil sumbangan adalah sekitar $598 (The Straits Times, 17 Mei 1936:10). Tetapi
laporan Straits Times Overland Journal bertarikh 12 November 1881 melaporkan
rentetan tertubuhnya Perpustakaan Awam Melaka bermula dengan satu mesyuarat
yang diadakan pada hari sabtu, 11 november 1881 di Court House yang khusus bagi
membincangkan cadangan menubuhkan sebuah perpustakaan di negeri itu, iaitu sepertimana
perpustakaan yang lebih awal wujud di Singapura dan Pulau Pinang. Mesyuarat
yang dipengerusikan oleh Pemangku Residen Councillor, D.F.A Harvey itu telah
sebulat suara menerima usul penubuhan Perpustakaan Awam Melaka yang dibaca oleh
C.W. Rodyk dan disokong oleh W. Rodyk. Mesyuarat tersebut juga bersetuju bahawa
panduan dan peraturan perpustakaan yang akan digunapakai kelak adalah diambil
atau diubahsuai daripada yang sedang dilaksanakan di Raffles’s Library,
Singapura. Selain dana awam yang telah terkumpul sebanyak $611, mesyuarat juga
memohon jawatankuasa penubuhan perpustakaan melaka yang akan diwujudkan memohon
bantuan kewangan tambahan selain ruang di mana-mana bangunan kerajaan untuk
menempatkan perpustakaan tersebut kelak. Ahli jawatankuasa penubuhan
Perpustakaan Melaka yang telah dilantik dalam mesyuarat tersebut ialah:
President : D.F.A Hervey
(Pemangku Residen Councillor di Melaka)
Bendahari : J.K Birch (Mejistret
jabatan Polis Melaka)
Setiausaha: C.W Rodyk (Pengetua
Sekolah Tinggi Melaka)
Ahli: J.H Verge
Tan
Tek Guan
A.J
Collier
Lee
Keng Liat
A.A
De Wind
Lee
Teck Joo
W.Rodyk
Americo
De Souza
B.
Gastelow
Agak menarik juga bila mendapati
terdapat nama rakyat tempatan dalam mesyuarat penubuhan tersebut, selain Tan
Tek Guan dan Lee Keng Liat yang terpilih menganggotai Jawatankuasa Penubuhan
Perpustakaan Melaka, nama Yeo Kim tee turut dilaporkan dalam laporan akhbar
tersebut. Perpustakaan ini dipercayai yang ketiga wujud di Malaya, iaitu
selepas Perpustakaan Pulau Pinang dan Raffles Library di Singapura yang
ditubuhkan pada 1817 dan 1874.
Mulai disember 1881, perpustakaan
ini telah mempunyai koleksi bahan bacaannya yang terawal, bahan tersebut ialah
majalah Chatterbox, Every Boy’s Magazine, Every Girl’s Magazine, Family Herald,
Fun and Almanack, Gentleman’s Magazine, Good Words and Christian Number dan
Myra’s Journal. Kebanyakkan bahan ini dilbekalkan oleh pembekal luar Negara,
khususnya dari United Kingdom.
Contoh Majalah "Chatterbox" (Sumber : library.unt.edu) |
Jawatan tertinggi dalam struktur
organisasi Perpustakaan Melaka ialah Presiden, ianya disandang oleh Charles
John Irving, beliau merupakan bekas pegawai di Colonial Office Land and
Emigration Department, Resident Councillor di Melaka sebelum bersara sebagai
Resident Councillor di Pulau Pinang. Perpustakaan Melaka tertubuh adalah hasil
inisiatif beliau sewaktu masih memegang jawatan sebagai Resident Councillor di
Melaka, pada masa itu juga beliau diamanahkan jawatan Presiden kepada
jawatankuasa Perpustakaan. Kakitangan terawal perpustakaan ini ialah Norman
Symons, beliau dilantik menjalankan tugas sebagai seorang pustakawan dengan
gaji $20 sebulan. Jawatankuasa perpustakaan kemudiannya melantik dua orang peon
(pembantu pejabat) dengan gaji $6 sebulan.
Akibat masalah belanjawan yang
terhad, jawatankuasa perpustakaan Melaka terpaksa merombak semula perjawatan,
mereka telah menamatkan khidmat Norman Symons selaku pustakwan, tempat beliau
digantikan dengan seorang kerani yang menerima gaji sebanyak $10 sebulan,
sementara seorang peon turut diberhentikan , tetapi kemudianya digantikan
dengan membuat pengambilan baru dengan tawaran gaji permulaan yang lebih rendah
iaitu $2 sebulan.
Laporan mesyuarat agung
jawatankuasa perpustakaan pada januari 1887 menunjukkan perpustakaan Melaka
telah mempunyai koleksi buku sebanyak 1,129 naskah, sementara rekod pengunjung
pula adalah melebihi 200 orang sebulan. Sementara bacaan popular adalah akhbar
The Straits Times dan The Singapore Free Press. Perpustakaan Melaka juga telah
mempunyai keahlian berdaftar seramai 40 orang yang kebanyakkannya terdiri dari
pegawai tinggi British, antaranya Pendaftar Mahkamah Melaka, Charles Eugene
Velge dan Seorang peguam terkemuka, R.W Braddell, dan yang menariknya terdapat
dua nama rakyat tempatan yang tercatat dalam rekod keahlian tersebut, mereka
ialah Lee Tek Joo dan Lee Tek Guan.
Diantara tokoh era colonial yang
pernah menganggotai Jawatankuasa Perpustakaan Melaka ialah Sir Ernest W. Birch,
beliau adalah anak kepada J.W.W Birch, Residen British yang mati dibunuh di
Perak. E.W Birch pernah berkhidmat sebagai Residen British di Labuan, Gabenor
British di Borneo Utara dan Residen di Negeri Sembilan. Beliau menyertai
Jawatankuasa Perpustakaan Melaka pada mac 1888. Selain Birch, tokoh lain yang
turut menganggotai Jawatankuasa Perpustakaan Melaka ialah Dr. G.W Freer (Pakar
Bedah di Melaka, kemudiannya menjadi Pengarah Hospital Pulau Pinang dan pada
1905 dilantik menjadi Pengetua Pertama Kolej Perubatan King Edward VII,
Singapura), E.C Broadrick (Presiden Perbandaran Singapura) dan J. Howell
(Pengetua Sekolah Tinggi Melaka).
Sewaktu dibawah Rev. Frank
Haines, Perpustakaan Melaka telah cuba memperkenalkan waktu pembukaan baru yang
lebih panjang. Sepanjang waktu percubaan, Perpustakaan telah dibuka mulai jam 6
pagi sehingga 7 malam dari isnin hingga jumaat dan 10 pagi hingga 5 petang pada
hari ahad. Namun waktu percubaan ini ternyata tidak berkesan dan lebih sulit
lagi dari sudut pengurusan, lalu ianya ditolak oleh jawatankuasa. Pada tahun
1901, akibat belajawan yang semakin susut, Pengurusan terpaksa memberhentikan
seorang Peon yang juga merupakan kakitangan mereka yang terawal. Peon tersebut
telah diberi gratuiti sebanyak $25 bagi menghargai perkhidmatannya selama 20
tahun di Perpustakaan Melaka.
Pada tahun 1902, Perpustakaan
Melaka telah membuat perancangan penjimatan iaitu dengan membeli buku terpakai
dari Raffles Library di Singapura dengan harga $1.25 senaskah. Raffles Library
juga telah memperkenalkan perkhidmatan pinjaman antara perpustakaan dengan
bayaran sebanyak $5 untuk 30 volume bagi setiap penghantaran.
Perpustakaan Melaka dikatakan
berada dalam tempoh perkhidmatan terbaiknya diantara tahun 1927 hingga 1930
dengan beberapa penambahbaikan dari segi frasarana. Perpustakaan mula membuat
perolehan judul-judul buku fiksyen dan non-fiksyen yang terkenal, Ruang bacaan
juga telah dilengkapi dengan kipas angin selain memperkenalkan koleksi remaja
dengan bantuan dana kerajaan sebanyak $600. Kad indeks pengarang juga telah
diperkenalkan oleh H.W Haworth dan telah digunapakai mulai pada tahun 1930.
Menjelang tahun 1936, koleksi
Perpustakaan Melaka telah mencapai 6000 naskah, antara bahan yang menarik ialah
memoir Sir Stamford Raffles, buku karangan Sir Stamford Raffles tentang sejarah
negeri Jawa, Sejarah Sumatra oleh Mardsen dan Anecdotal History of Singapore
oleh Buckley. Perpustakaan Melaka juga telah dipindahkan ke dua buah bilik yang
agak besar ditingkat atas bangunan Stadhouse (Stadhuys) dengan pemandangan yang mengadap
sungai dan binaan Air Pancut Queen Victoria. Disebelah Perpustakaan, adalah
bilik yang dikhusukan untuk Persatuan Sejarah Negeri Melaka, ianya umpama
galeri yang menempatkan banyak khazanah bersejarah negeri Melaka. Berdasarkan
gambaran yang dilaporkan dalam artikel tersebut, Ruang yang pernah menjadi
Perpustakaan Melaka itu kini dipercayai adalah ruang yang sama dimana beberapa
muzium dan galeri yang ditempatkan di bangunan Stadthuys kini. Perpustakaan itu
kemudiannya telah dinamakan sebagai Henry Gurney Memorial Library.
Bangunan Stadhuys kini.... ( Sumber : http://www.cuti.my) |
Rujukan:
________ ( 12 November 1881). Library for Malacca, Straits Times Overland Journal. p. 3
A.L Hoops. (17 May 1936). History of Malacca Library. The Straits Times. P.10