Wednesday, August 15, 2012

Hubungan Cettiar dan Orang Melayu

Oleh : Harith Faruqi Sidek


Cettiar atau lebih dikenali dengan sebutan Ceti telah wujud sejak sekian lama di Tanah Melayu, imej stereotype yang mewakili cettiar ini ialah lelaki berketurunan India yang memakai kain putih sambil mengepit payung di celah ketiak. Malah imej inilah yang ditonjolkan dalam filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, iaitu “Anak Bapak” dan “Nasib Do Re Mi”.

Kemasyuran Tanah Melayu sebagai pusat perdagangan telah menarik ramai pedagang luar untuk masuk berdagang. Selain pedagang dari Arab dan Eropah, pedagang dari India juga menaruh minat untuk sama-sama meraih rezeki di Tanah Melayu. Menurut Azharudin Mohamed Dali ( 2009: 154), kedatangan kelompok cettiar ini telah berlaku dengan pesatnya mulai penghujung abad ke-18 dan abad ke-19. Golongan Cettiar ini dikatakan berasal daripada Madras, India dan sebelum bertapak di Tanah Melayu, cettiar terlebih dahulu berhijrah dan menjalankan aktiviti mereka di Thailand dan Myanmar (Azaharuddin, 2009:156).

Babak Cettiar menuntut hutang dari Harun dalam filem "Anak Bapak".

Cettiar sebagai Pemberi Hutang

Aktiviti utama golongan cettiar ini ialah sebagai peminjam wang, tetapi menurut Ummadevi Suppiah ( ms 1), golongan cettiar ini juga terlibat dalam aktivti perdagangan candu, insuran serta industri perlombongan bijih timah di Tanah Melayu. Dikatakan antara tahun 1870 – 1880an, komuniti cettiar ini telah membiayai sepenuhnya perdaganagn candu di Singapura dan Pulau Pinang. (Umadevi Suppiah: 2). Cettiar juga telah membuat inisiatif bagi memodenkan aktiviti peminjaman wang mereka dengan menerapkan kaedah perbankan, lalu mereka telah menubuhkan beberapa buah bank. Dalam laporan akhbar 'The Indian' pada 5 Julai 1937, sebuah bank milik golongan cettiar, iaitu The Indian Overseas Bank telah ditubuhkan di Pulau Pinang. Pada awal abad ke -20, golongan yang kerap menggunakan khidmat cettiar dalam mendapatkan pinjaman ialah para petani, pelombong dan peladang, tetapi ada juga pemilik perniagaan dan pembesar yang berurusan dengan cettiar, antaranya Tun Tan Cheng Lock yang telah meminjam wang sebanyak 10 juta daripada cettiar dalam tahun 1921 (Azharuddin, 2009:159). Kemampuan para cettiar memberi pinjaman bukanlah sesuatu yang aneh, kerana dikatakan sekitar tahun 1924, mereka mempunyai asset di Tanah Melayu yang dianggarkan bernilai 270 juta. Pada tahun 1929,  dana kewangan mereka di Tanah Melayu adalah sebanyak 280 juta rupee.(Azharuddin, 2009:161).


Orang Melayu dan hutang cettiar

Sepertimana pemerhatian Frank Swettenham dalam karyanya “The Real Malays”, sikap suka berhutang orang melayu telah menyebabkan mereka mempunyai hubungan langsung dengan golongan cettiar ini. Sikap suka berhutang ini ternyata antara penyumbang kepada suburnya aktiviti cettiar di Tanah Melayu.Menurut Kratoska (1975:9), sebab utama orang melayu berhutang dengan cettiar ialah kerana ingin mengadakan keraian majlis perkahwinan, membiayai kos pengkembumian, upacara berkhatan atau mengerjakan haji, tetapi ada juga membuat pinjaman bagi membiayai aktivi yang kurang berfaedah, umpamanya bagi melunaskan hutang judi. Faktor desakan hidup akibat kemerosotan ekonomi juga memaksa orang melayu menggunakan perkhidmatan cettiar, sebagaimana yang diceritakan oleh Mustapha Hassan dalam memoirnya 'Malay Nasionalism before UMNO- Memoirs of Mustapha Hassan'. Menurut Mustapha, keadaan ekonomi Malaysia sekitar tahun 1929 hingga 1933 adalah sangat tenat, harga komoditi utama tanah melayu seperti getah, timah dan balak jatuh menjunam, dan pada masa yang sama segala keperluan asas hidup seperti beras, ikan, daging, telur , kelapa dan lain-lain mengalami kenaikan yang mendadak, ini tidak setimpal dengan pendapatan yang diperolehi oleh orang melayu yang kebanyakkannya berkerja sebagai peladang getah. Akhirnya demi meneruskan kelangsungan hidup, mereka terpaksa mencagarkan tanah-tanah lot milik mereka kepada cettiar sebagai proses mendapatkan pinjaman wang.


Kerana hutang, tanah warisan tergadai

Tanah merupakan asset sangat berharga, namun pada sekitar abad ke-18, kebanyakkan tanah yang dimiliki oleh orang melayu masih berupa hutan tebal dan paya, malah didiami oleh binatang liar atau buas, tidak kurang pula yang mengaitkan tanah yang tidak diusahakan itu dengan  “penunggu” dan makhluk halus. Mungkin atas faktor inilah maka tanah ini kurang dilihat pentingnya berbanding wang ringgit dan harta benda fizikal yang lain.

Meskipun pada ketika itu harta orang melayu hanyalah tanah dan hasil tanaman yang dituai setahun sekali, mereka tetap akan menggunakanya sebagai cagaran dalam membuat pinjaman dengan cettiar. (Kratoska, 1975:9).  Sebagai syarat perjanjian pinjaman, peminjam akan mencagarkan bidang tanah milik mereka dan merekodkan transaksi berkenaan di Pejabat Tanah, ianya perlu dilakukan sebagai bukti sekiranya peminjam engkar atau lari dari tanggungjawab membayar hutang, maka cettiar ini mempunyai bukti bahawa tanah berkenaan telah jatuh milik kepada mereka, dan sekiranya dicabar, bukti transaksi berkenaan akan digunakan di Mahkamah kelak.

Pada tahun 1938, pendapatan tahunan petani adalah sekitar $120.27 sahaja, namun mereka sanggup berhutang dengan cettiar dengan jumlah yang lebih besar, iaitu diantara $100 hingga $1000, malah ada yang lebih lagi.( Kratoska, 1975:11). Kadar faedah yang dikenakan oleh cettiar keatas pinjaman yang diberikan adalah diantara 12% hingga 40%, dan kadar yang dikenakan ini berbeza diantara satu kawasan dengan kawasan yang lain, contohnya peminjam di kawasan Kuala Lumpur dan Ulu Langat dikenakan kadar faedah sebanyak 12% - 36%, dan kawasan yang berisiko  seperti Semenyih pula dikenakan kadar antara 10% - 40%.(Azharuddin, 2009:162). Meskipun berhadapan dengan kadar faedah yang tinggi, orang melayu tetap memilih cettiar kerana proses pinjaman yang segera malah adakalanya mereka dibenarkan membuat pinjaman melebihi nilai harta yang mereka cagarkan.


Menurut Azharuddin (2009:163), pada tahun 1930,  terdapat 2,301 ladang getah di Tanah Melayu, dan 242 buah daripadanya adalah milik cettiar. Pemilikan mereka keatas ladang-ladang tersebut adalah melalui kaedah urusniaga biasa serta ada juga yang diperolehi setelah pemilik ladang yang mencagarkan ladang tersebut gagal melunaskan hutang mereka pada cettiar.  

Selain Tanah, terdapat juga kes dimana penghutang kehilangan kediaman, sepertimana yang dikisahkan oleh Alijah Gordon dalam naskahnya “The Real Cry of Syed Syakh al-Hady”. Dalam karya tersebut, Syed Sheikh Al-Hadi telah membuat pinjaman daripada cettiar sebanyak $5ooo dengan kadar faedah 26%, selain turut mencagarkan rumah yang didiaminya. Malangnya, sebelum sempat melunaskan sepenuhnya hutang yang dibuat, Syed Sheikh Al-Hadi telah meninggal dunia, lalu rumah yang dicagarkan itu telah jatuh ke tangan cettiar yang memberi pinjaman. (Azharuddin, 2009:165)

Syed Sheikh Ahmad Al-Hady (sumber : wikipedia)


Tanah Orang Melayu di Pulau Pinang tergadai

Dalam laporan Berita Harian bertarikh 24 November 2011, wartawan Faridzwan Abdul Ghafar melaporkan bahawa di Pulau Pinang sahaja, sebanyak 252 lot tanah dengan anggaran bernilai RM2 billion milik orang melayu telah dirampas oleh cettiar. Kesemua tanah-tanah ini jatuh ke tangan cettiar kerana kegagalan melunaskan hutang, lebih malang lagi keturunan mereka terus tinggal di tanah berkenaan yang mereka sangkakan masih milik mereka, sedangkan ianya telah tergadai akibat hutang nenek moyang mereka berdekad yang lalu. Lebih memedihkan hati bila mengetahui ada tanah yang mencecah nilai RM350 juta dengan keluasan 72.8 hektar tergadai akibat kegagalan melunaskan hutang hanya hanya bernilai RM350. Laporan yang sama juga menyebut kawasan yang terlibat ialah disekitar perkampungan melayu di Bayan Lepas, Permatang Damar Laut, Teluk Kumbar, Balik Pulau, Teluk Bahang, Gertak Sanggul, Kampung Seronok dan Kampung Binjai.



Pengenalan Akta Rizab Melayu

Menurut Kratoska (1975: 17), meskipun pemindahan hak milik tanah orang melayu kepada bangsa asing berlaku dalam banyak situasi dan kaedah, tetapi yang paling ketara ialah kes tanah tergadai kepada cettiar atas kegagalan melunaskan hutang yang dipinjam. Melihatkan jumlah tanah milik orang melayu yang tergadai kepada cettiar adalah sangat tinggi, maka kerajaan British cuba mengawal fenomena ini dari menjadi buruk melalui jalan perundangan. Maka British telah memperkenalkan “Malay Reservation Enactment of 1913”, antara kandungan enakmen ini ialah larangan keatas sebarang proses penukaran hak milik tanah yang diwartakan kerajaan sebagai Rizab Melayu kepada orang asing serta peraturan lain yang menghadkan sesebuah tanah dicagarkan dengan sewenang-wenangnya. Walau bagaimanapun, pengenalan enakmen ini dilihat kurang berkesan, kerana jumlah tanah yang diwartakan adalah terlalu sedikit, contohnya di Daerah Klian, Parit Buntar Perak, tanah yang dimiliki oleh orang melayu termasuk sawah padi dan kawasan pertanian yang lain adalah seluas 50,000 ekar, dan dari jumlah tersebut, hanya 15, 739 ekar sahaja yang diwartakan sebagai rizab melayu. Paling membimbangkan ialah, di kawasan tersebut terdapat 11 cettiar yang beroperasi sejak 1908. (Kratoska, 1975: 18). Lebih malang lagi,  berlaku juga kes-kes tanah rizab ini dicagarkan juga oleh orang melayu kepada cettiar, ini adalah satu bentuk pengkhianatan oleh orang melayu keatas bangsanya sendiri.

Selain daripada itu, pada tahun 1930, British juga memperkenalkan kempen perbelanjaan berhemah melalui tayangan filem dan ceramah di kampung-kampung. Program yang berjaya menarik minat penduduk kampung ini antara lain menayangkan beberapa buah filem dokumentari, antaranya “Food First”, iaitu berkaitan bagaimana menghasilkan produk makanan yang berkualiti, “Saving of Haji Hassan” pula berkongsi maklumat bagaimana untuk menghasilkan tanaman getah dengan lebih baik dan filem yang bertujuan menambahbaik sahsiah diri masyarakat melayu pada ketika itu ialah “ Thrift and Extravagance”. Filem “ Thrift and Extravagance” ini berkisar tentang kisah watak utamanya yang bernama Mat dan Idris, kedua-dua lelaki melayu ini diceritakan mempunyai gaya hidup yang berlawanan, Mat  hidup dalam kesusahan akibat tabiatnya yang suka tidur lewat, suka berhutang dan meminjam wang dengan cettiar, sementara Idris lebih berjaya kerana tidak mengamalkan amalan hidup yang berlawanan dengan Mat.(Kratoska, 1975: 25-26).

Laporan  Paul H. Kratoska tentang fenomena hutang ceti dikalangan petani di Tanah Melayu, 1975.


Pendudukan Jepun hancurkan aktiviti cettiar

Pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada 1941 telah membawa igauan buruk kepada aktiviti ekonomi golongan cettiar, banyak asset serta kepentingan milik mereka diambil atau dirampas oleh tentera Jepun. Menurut Ummadevi Suppiah (ms 6), meskipun mereka dibayar pampasan bagi setiap ladang getah yang diambil oleh tentera jepun, jumlah pampasan yang diberikan adalah tidak setimpal dengan nilai ladang serta kerugian yang mereka alami atas kemusnahan tanaman akibat peperangan. Selain ladang-ladang getah, kawasan perlombongan milik mereka juga banyak yang telah dimusnahkan oleh tentera Jepun.



Khatimah

Kehadiran Cettiar di Tanah Melayu boleh diibaratkan seperti pisau bermata dua, satunya memudahkan peminjam dengan kelulusan segera dan nilai pinjaman yang besar, tetapi pada asa yang sama, syarat seperti kadar faedah yang tinggi telah memerangkap ramai peminjam yang majoritinya terdiri dari orang Melayu, lalu tergadailah segala tanah, rumah dan harta yang dicagarkan. Sikap suak berhutang orang melayu juga adalah faktor yang menyuburkan industri peminjam wang ini, malah kesan buruk turut dirasai apabila hutang yang gagal dilunaskan telah menyebabkan orang melayu hilang tanah dan harta.




Rujukan :

Azharuddin Mohd Dali. (2009). Cettiar di Tanah Melayu pada abad ke-20. Sejarah, no.17, 153 - 176.

Azrul Affandi Sobry. (2010, 11 Julai). 'Haram Jadah' menu enak, Berita Mingguan.

Faridzwan Abdul Ghafar. (2011, 24 November). Tanah Orang Melayu RM2b kini milik ceti, Berita Harian.

Johan Jaafar. (2008, 16 February). Why 'Penarik Beca' is well worth a revisit, New Straits Times.

John, J. G. (2010, 8 February ). Chettis different from Chettiars, New Strait Times.

Kratoska, P. H. (1975). The Chettiar and The Yeoman : British Cultural Categories and Rural Indebtedness in Malaya. Singapore: Institute of Southeast Asian Studies.

Suppiah, U. Pendudukan Jepun dan Kedudukan ekonomi komuniti Chettiar.  Retrieved from http://www.scribd.com/doc/48475829/Pendudukan-Jepun-Dan-Kedudukan-Ekonomi-Komuniti-Chettiar-Keb-USM-1945-57-Ummadevi-Suppi (Diakses pada 9 Ogos 2012)

189 comments: