Monday, July 16, 2012

"The Real Malay" : Perihal Orang Melayu menurut Frank Swettenham

Oleh : Harith Faruqi Sidek

Dalam karya beliau yang terkenal, " Malay Sketches", Frank Swettenham telah memberi gambaran tentang orang melayu dizamannya mengikut perspektif dan pengalaman peribadi beliau mungkin sejak tahun 1871,iaitu kali pertama beliau berada di Tanah Melayu. Pandangan Swettenham tentang orang melayu ini menjadi bicara utama dalam bab pertama naskah beliau, bab tersebut diberi tajuk " The Real Malay". Naskah " Malay Sketches" in dihasilkan pada tahun 1895, maka boleh disimpulkan bahawa orang melayu yang digambarkan dalam naskah ini adalah hasil pengalaman beliau hidup dalam alam melayu selama 24 tahun.

Swettenham memulakan bab ini dengan menganjurkan bahawa untuk memahami orang melayu, seseorang itu perlu tinggal di Tanah Melayu, bertutur bahasa melayu, hormat adat dan budaya orang melayu, meminati apa yang diminati oleh orang melayu, tahu gurau senda orang melayu, sedia membantu mereka tika dalam kesusahan serta berkongsi suka dan duka mereka. Jika semua ini berjaya dilakukan, maka nescaya seseorang itu telah berjaya memenangi hati serta kepercayaan dari orang melayu. Malah Swettenham ini mampu berbahasa melayu dengan baik, hinggakan beliau mampu menghasilkan kamus "Vocabulary of the English and Malay language", selain daripada itu, Swettenham juga dikenang sebagai diantara 40 orang bekas pegawai tinggi  British yang menentang pengenalan "Malayan Union".


Bentuk Fizikal Orang Melayu

Orang melayu mengikut Swettenham, mempunyai susuk badan yang rendah tapi sasa, berambut hitam lurus dengan kulit sawo matang serta berhidung kembang dengan bibir yang tebal. Orang melayu juga digambarkan mempunyai mata yang terang.


Keperibadian Orang Melayu

Orang Melayu pada amnya bersopan santun, beradab serta peramah. Namun begitu, orang melayu tidak sewenangnya mempercayai orang asing, malah bijak menyembunyikan kesangsian mereka dengan perawakan yang ramah. Swettenham juga menggambarkan orang melayu bijak berbicara, susun kata mereka disulami dengan jenaka malah amat gemar berseloroh. Orang melayu sangat cermat dan terang hati dalam menerima pelajaran. Malah jika ditambah dengan usaha dan keazaman yang tinggi, orang melayu mampu menghasilkan sesuatu yang lebih daripada apa yang mereka pelajari.

Dari sudut kebersihan diri, kebanyakkan orang melayu zaman itu mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan suka berhias serta berpakaian kemas. Orang melayu juga mempunyai sikap dimana mereka tidak boleh bertolak ansur jika difitnah, malah mereka sanggup bertumpahan darah demi menentang fitnah tersebut. Swettenham turut menyebut tentang sikap orang melayu yang memuliakan tetamu, ianya seakan  satu kewajipan bagi orang melayu, tidak kira tinggi atau rendah darjat mereka, kaya atau miskin kehidupan mereka.

Orang melayu mempunyai bakat bersukan, malah binatang sebesar gajah pun bisa ditangkap dan dijinakkan. Sebagai nelayan, orang melayu sangat berkemahiran hinggakan bermalam diatas bot sudah menjadi kelaziman.

Keperibadian Perempuan Melayu

Swettenham melihat wanita melayu sebagai bijak bertutur, pandai mengambil hati serta kuat berahsia. Wanita melayu juga peramah, walaupun adakalanya kuat cemburu. Tatkala mencapai usia 40 tahun, mereka mula memperlihatkan kecenderungan meminati barangan kemas dan pakaian yang cantik. Wanita melayu yang dewasa juga menunjukkan citarasa mereka pada barangan mewah seperti kenderaan ( khusunya  Kuda ). Malangnya citarasa pada kemewahan dan keindahan barangan ini tidak tergambar pada kediaman mereka yang tidak teratur.

Hal ehwal berumahtangga

Orang melayu lelaki yang kaya sering menggunakan kemampuan mereka dari segi kekayaan mahupun kekuasaan sebagai alasan untuk berkahwin lebih dari seorang. Walau bagaimanapun, setelah mereka berkahwin empat, lelaki melayu sering gagal menunaikan tanggungjawab mereka keatas para isteri mereka dengan seadilnya. Menurut Swettenham lagi, orang melayu sangat bijak dalam berfalsafah dalam soal hal ehwal rumahtangga.

Hidup Beragama

Orang melayu adalah muslim yang taat, malah sanggup diseksa demi mempertahankan kesucian agama islam. Walaupun begitu, mereka dilihat tidak terlalu taksub dalam beragama. Menurut Swettenham, orang melayu tidak minum minuman yang memabukkan serta jarang sangat terlibat dengan aktiviti menghisap ganja, walaupun pada zaman itu perbuatan menghisap ganja adalah sesuatu yang bisa dikalangan masyarakat biasa dan para pemimpin. Swettenham juga mengakui, ketaatan orang melayu dalam beragama menyebabkan kebanyakkan mubaligh kristian berputus ada dalam usaha mengkristiankan mereka pada zaman itu.


Sikap pada raja, bangsa dan Negara

Orang melayu dari kacamata Swettenham sangat bangga dan sayangkan negeri dan bangsa mereka. Orang melayu juga sangat memelihara adat dan budaya mereka, maka tidak hairanlah jika ada pepatah melayu Biar mati anak, jangan mati adat. Orang melayu juga sangat taatkan raja dan pemimpin. Adat memberi hadiah, sama ada dari raja kepada rakyat atau rakyat kepada pemerintah sudah menjadi budaya. Tetapi budaya ini dilihat mulai terhakis, namun dalam beberapa keraian, ianya masih diamalkan, seperti sewaktu istiadat pertabalan raja, upacara pelantikan pegawai tinggi, majlis perkahwinan, majlis berkhatan, upacara tindik telinga dan acara lain yang seumpamanya.

Sifat Buruk orang melayu

Dalam membicarakan perihal orang melayu, Swettenham tidak mengambil sikap populis dengan hanya menceritakan apa yang baik, sebaliknya beliau turut menyingkap sisi gelap masyarakat melayu pada zaman itu. Antara tabiat atau sifat buruk orang melayu pada zaman itu yang beliau temui adalah:

1) Orang Melayu suka meminjam wang, tetapi liat untuk membayar balik

2) Orang melayu suka mengambil tahu hal ehwal jiran tetangga dan mengumpat.

3) Suka mempercayai hal yang karut marut

4) Orang melayu suka berjudi, bersabung ayam dan perkara yang seumpamanya

5) Tidak mudah menerima sebarang perubahan

6) Orang melayu  adakalanya malas, malah perkara yang rutin juga dilalaikan.

7) Orang melayu tidak menghargai masa

8) Rumah Orang melayu pada zaman itu dilihat tidak kemas, malah kotor

9) Orang melayu zaman itu suka berdendam, dan jika dendam itu tidak dapat dibalas pada orang yang sepatutnya, sesiapa sahaja yang kebetulan berada berhampiran akan menjadi mangsa, tidak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda.

10) Orang melayu suka mengamok

11) Walaupun orang melayu suka berbudi, mereka sebenarnya mengharapkan balasan.

12) Orang melayu suka berpuak-puak

13) Orang melayu amat menitik beratkan soal darjat serta keturunan, terutama dalam soal  
      perkahwinan.

Sikap buruk ini walaupun tidak enak dibaca, ianya harus menjadi pengajaran kerana inilah apa yang dilihat oleh orang luar. Akan tetapi mungkin telah ada diantara sikap buruk tersebut yang sudah pun terhakis dari masyarakat melayu kini. Senarai "buruk" ini harus menjadi pengajaran bagi orang melayu zaman mutakhir dalam meningkatkan sahsiah mereka agar dipandang tinggi, jangan terlalu dibuai oleh syair dan gurindam akan keindahan bangsa melayu, tetapi harus tegar memperbaiki diri bila ditegur.


Khatimah

Namun apa yang digambarkan oleh Swettenham ini walau bagaimanapun terhad kepada penilaian peribadi beliau selama 24 tahun mengenali masyarakat melayu dan hanya masyarakat sekitar Singapura, Selangor dan Perak yang mungkin berada dalam pemerhatian beliau. Padangan ini adalah berdasarkan tempoh beliau berada di Tanah Melayu hingga naskah Malay Sketches terhasil, iaitu pada tahun 1895. Sewaktu menghasilkan naskah yang mengandungi 22 bab ini, umur Swettenham adalah pada sekitar 45 tahun dan masih berjawatan sebagai Residen British di Perak. Selain naskah "Malay Sketches"ini, Swettenham turut menghasilkan beberapa penulisan lain yang turut menceritakan perihal orang melayu. 

Frank Athelstane Swettenham (1850 - 1946)


Kulit hadapan naskah "Malay Sketches" karya Frank A. Swettenham

Halaman Prakata oleh Swettenham, juga kelihatan tarikh naskah ini dihasilkan

Bab "The Real Malay" yang dibicarakan dalam entri ini





Naskah "Malay Sketches" yang telah didigitasi oleh University of California, naskah digital ini boleh dicapai melalui http://archive.org/details/sketchesmalay00swetrich

Rujukan:

Swettenham A. Frank. 1895. Malay Sketches. London: John Lane.

Online Version, http://archive.org/details/sketchesmalay00swetrich

Encyclopedia of Malaysia. Frank Swettenham was one of some 40 former British empire officials who actually opposed the Malayan Union.at : http://malaysia.jbdirectory.com/Frank_Swettenham ( diakses pada 15 Julai 2012)

Zuraidah Ibrahim (Penterjemah). 2003. Perihal Orang Melayu. Penerbit Universiti Malaysia.

14 comments:

alfindani said...

Saya suka entri ini.

Harith Faruqi Sidek said...

Salam Alfindani,

Terima kasih kerana sudi singgah di Blog hamba ini.

Unknown said...

Sempoi..

Harith Faruqi Sidek said...

Thanks Yoe Yoeda..

Unknown said...

Kebanyakan yang anda tulis di sini bunyinya dari terjemahan saya - "Perihal Orang Melayu" UMP 2003, namun tidak ada satu pun rujukan dibuat - Dr Zubaidah Ibrahim-Bell.

Harith Faruqi Sidek said...

Salam Dr. Zubaidah,

Terima kasih atas teguran, lazimnya saya akan masukkan setiap rujukan yang digunakan, namun atas persamaan tersebut saya masukkan juga rujukan berkenaan.

H I S said...

Nice post...

Juga mohon share..

-cermin tua

King said...

Keep posting..

ahmadshaharudin said...

terbaik bro..

Unknown said...

uiss... pekerjahan apa tu buh?, siap dgn ritual2 lgi ni.. ini comfirm melibat toyol dan iblis.. mna bisa wang dtg dgn sendirinya hnya dgn pertapaan seperti itu, dari langit kali duit2 tu jatuhkan?.. isss, tak baik tw amalkan benda2 syirik ni.. kelak jiwa jua yg merana..

Mohamad Imran Ishak said...
This comment has been removed by the author.
Mohamad Imran Ishak said...
This comment has been removed by the author.
Unknown said...

Salam..For the youngsters good to know and very bad to follow some . Have a good day .

Nan Zul said...

terbaik..tuan