Monday, November 29, 2010

Menunai cita-cita dan Impian di Kota Liverpool

Pengkisahan semula pengalaman saya mengikuti program sarjana bermula dengan tekad mendalami ilmu dalam disiplin pengurusan rekod dan pentadbiran arkib, khususnya arkib universiti. Sekitar bulan disember 2008, setelah disahkan layak mengikuti pengajian peringkat sarjana ke luar Negara, saya mulai “merisik” beberapa universiti luar negara, khususnya, university di dalam gugusan United Kingdom, antaranya Northumbria University (Newcastle), Manchester Metropolitan University, John Moores University (Liverpool) serta University of Liverpool. Alhamdulillah saya menerima tawaran tempat pengajian dari setiap university berkenaan, namun akhirnya saya tekad memilih University of Liverpool, kerana di Institusi inilah sebuah impian saya yang tersemat sejak dibangku sekolah lagi bakal direaliasikan, selain menunai cita-cita utama, iaitu mendakap ijazah di peringkat sarjana. Impian yang saya maksudkan itu ialah, menjejakkan kaki serta menyaksikan secara nyata pasukan bolasepak kegemaran saya, Liverpool FC beraksi di Stadium Anfield, selain peluang membuat penyelidikan di The National Archives serta merasai pengalaman berada di The British Library, kerana didalam modul pengajian di University of Liverpool, dalam semester kedua para pelajar perlu menjalankan penyelidikan di kedua-dua institusi berkenaan. Secara peribadi, dengan melalui ketiga-tiga pengalaman itu, maka saya telah menyempurnakan “rukun” sebagai seorang peminat pasukan bolasepak Liverpool, seorang arkivis serta seorang pustakawan.

Saya mendaftar pengajian di LUCAS (Liverpool Centre for Archives Studies), dibawah School of History, University of Liverpool. Apa yang menarik, kursus sepanjang 12 bulan itu hanya dikendalikan oleh dua orang pensyarah sahaja, Margaret Procter dan Dr. Alex Buchanan. Sewaktu ditemuduga melalui telefon, sangkaan saya Dr. Alex lebih berumur dari Margaret, namun realiti adalah sebaliknya. Bagi pengambilan sesi 2009/2010, hanya terdapat dua orang sahaja pelajar luar Negara, saya serta Father Wilson Piyapillay, seorang teman dari dari wilayah Kerala, India. Father Wilson merupakan seorang Paderi Katholik yang bertugas sebagai Pengarah Arkib Gereja di wilayah Kerala, India. Pengalaman bersahabat dengan Paderi ini juga menarik, mungkin akan saya kisahkan dalam waktu dan kesempatan mendatang. Berbalik kepada kisah di Liverpool, saya menetap di kediaman University, iaitu di Philharmonic Court dengan kadar sewa sebanyak 445 pound sebulan, termasuk air dan internet. Kediaman ini hanya terletak kira-kira seratus meter sahaja dari tempat pengajian saya dan yang paling membahagiakan ialah, Perpustakaan university, Sydney Jones Library juga terletak hanya bersebelahan dengan bangunan LUCAS.

Hari pertama mengikuti kelas merupakan pengalaman yang baru bagi saya, sangkaan saya suasana pembelajaran disini pastinya tidak jauh seperti di Malaysia, al-maklum saja, sistem di Malaysia kebanyakkannya adalah warisan inggeris juga, tetapi saya silap, disini segalanya harus ada interaksi dua hala, perbicangan dalam kumpulan, persembahan tugasan dan tugasasan kursus yang dinilai seperti tidak mengizinkan kami berasa selesa dan alpa. Ungkapan yang saya gunakan bagi menggambarkan pandangan saya tentang perjalanan kursus bila ada teman dan pensyarah yang bertanya ialah segalanya “Too fast, too furious”. Kursus MARM yang saya lalui dibahagikan kepada dua peringkat, peringkat Diploma dan Sarjana, jika para pelajar memilih untuk meneruskan ke peringkat Sarjana, maka mereka diperlukan menyiapkan disertasi. Cadangan penyelidikan saya pada awalnya adalah berkaitan dengan pemeliharaan bahan perpustakaan, namun sewaktu menyemak senarai tajuk disertasi yang lepas, saya dapati sahabat saya, Saudara Zailan Endin, mantan pustakawan di University Malaya telah pun menulis disertasi yang hamper sama judulnya, lalu saya fikir ada baiknya saya pilih subjek kajian yang lain. Saya mengangkat persoalan isu dan cabaran institutional repositori di perpustakaan UKM sebagai tajuk disertasi, syukur dipanjatkan buat yang maha esa, tajuk ini disenangi dan diperakui oleh penyelia saya, Margaret Procter.

Selain terkenal dengan tradisi bolasepak yang hebat, Liverpool juga sinonim dengan kumpulan pop The Beatles, maka tidak hairanlah terdapat banyak monumen serta symbol aprisiasi masyarakat Liverpool terhadap dua ikon ini, umpamanya muzium, galeri, tugu serta cenderamata. Liverpool suatu masa dahulu adalah sebuah kota yang mempunyai pelabuhan yang sibuk, maka tidak hairanlah populasinya terdiri dari masyarakat dari pelbagai keturunanan. Aktiviti pelabuhan ini jugalah yang menjadi punca dimana ramai bekas kelasi dari keturunan melayu berhijrah ke Liverpool, namun bilangan bekas kelasi ini semakin berkurangan, yang masih tinggal pun sudah diusia senja, sekitar 70an dan 80an. Saya sempat bertemu dengan tiga orang melayu awal Liverpool, secara kebetulan, salah seorang daripadanya bersaudara dengan bekas bendahari UKM, Encik Omar Ahmad. Menjalani kehidupan sebagai seorang muslim tidaklah terlalu mencabar, kerana komuniti muslim di Liverpool agak besar, asimilasi kaum pendatang dari timur tengah, afrika dan asia cukup untuk menyalakan syiar islam di bumi Liverpool. Soal bekalan makanan halal tidak menjadi soal, banyak premis menjual makanan halal, begitu juga dengan makanan lazim di Malaysia, seperti kicap bilal, belacan, makanan segera magi, Brahim’s dan banyak lagi, semuanya boleh didapati di Chinatown, dua kedai yang popular ialah Hondo dan Chung Wah. Barangan asasi selainnya boleh didapati di ASDA, iaitu rangkaian hyper market yang terkenal di UK, barangan asasi disini memang murah, dengan 20 GBP, anda sudah boleh memenuhkan troli, asalkan mentaliti “Kali duit Malaysia” ditinggalkan di KLIA.

Sepertimana kebanyakkan pelajar kelamin di Liverpool, kenderaan persendirian adalah satu keperluan, terutama bagi mengharungi musim sejuk, tak sampai hati rasanya membiarkan anak-anak digigit kedinginan meredah salji ke sekolah. Urusan jual beli kenderaan di UK amat mudah, dimana-mana anda boleh berurusan, tidak perlu salinan slip gaji 3 bulan terkini, tidak perlu salinan kad pengenalan serta tak perlu pinjaman bank. Saya membeli sebuah kenderaan terpakai jenis Ford Mondeo keluaran tahun 1999 dengan harga 600 GBP, melalui penjual yang ditemui dari laman iklan niaga atas talian, Gumtree. Bila sudah berkereta, perlu ada GPS, atau disebut juga SATNAV (Satellite Navigator), Alhamdulillah selama hamper sebelas bulan saya menggunakan kenderaan ini, ia tidak pernah meragam atau merajuk, sebelum pulang ke tanahair, kenderaan ini saya jual kepada seorang sahabat.

Biasanya kalau ditanya kepada sesiapa sahaja yang pernah bermastautin di UK, “Carboot sale” pastinya menjadi agenda tetap hujung minggu, kerana disitu jualan barangan terpakai dengan harga murah boleh didapati. “Carboot sale” memang menjadi hiburan hujung minggu kami sewaktu di Liverpool, anak-anak gembira memiliki mainan berkualiti dari jenama terkenal dengan harga serendah 20 pence, si Ibu pula memburu peralatan dapur serta elektrik yang masih berfungi dengan baik, sementara saya lebih suka “beli saja apa yang pelik dan mahal kalau di Malaysia”. Jika anda bernasib baik, sepasang kasut jenama Clarks baru boleh dibeli dengan harga 2 – 5 GBP sahaja, maka atas itulah saya sudah ada stok kasut raya untuk sepuluh tahun akan datang. baru-baru ini sewaktu berkunjung ke toko kasut “Timberland”, saya dapati kasut yang saya beli dengan harga 5 GBP, sebenarnya bernilai RM599!.

Masyarakat asal Liverpool dikenali sebagai “Scouser”, dengan telo percakapan yang berbeza dari kebanyakkan penutur tempatan di England, lazimnya sebutan perkataan itu adalah seperti mana ejaanya, umpamanya :

Perkataan Inggeris

Sebutan Scouser

Pack

Pak

Girl

Gil

Bus

Bus (seperti Bush)

Lunch

Lunch (seperti Luncai)

Black

Blak

Come here

Kum ya

Button

Bat en

Perkataan “Thank You” jarang digunakan disini, sebaliknya digantikan dengan “Cheers” atau “Ta-ra”. Masyarakat tempatan di Liverpool juga amat ramah, malah jika berkomunikasi dengan golongan wanita yang agak veteran, mereka akan menggunakan perkataan “Love”, contohnya “ Are you alright Love?” atau “Excuse me, Love”, tapi jangan haraplah ungkapan “love” itu datangnya dari mulut gadis-gadis tinggi lampai pipi merah berhidung mancung. Sementara kaum veteran lelaki gemar menggunakan perkataan “Son”, seperti “you alright, son”, bagi yang sebaya umur atau dalam kumpulan umur yang hampir, perkataan “mate” pasti digunakan, umpamanya “Cheers mate” atau “Excuse me, mate”.

Tempoh pengajian selama 12 bulan telah menyebabkan saya dua kali menyambut hari raya aidilfitri di rantauan, sambutannya sederhana, tetapi amat bermakna. Paling menarik ialah takbir raya, masjid di Liverpool diuruskan oleh masyarakan immigrant dari timur tengah, lalu amalan sepertimana di timur tengah menjadi terapan di Liverpool, khutbahnya dalam bahasa arab, begitu juga dengan alunan takbir rayanya yang jauh lari dari irama takbir yang “dilagukan” oleh masyarakat Malaysia. Oleh kerana masyarakat islam yang agak besar, maka solat raya diadakan dalam tiga sessi, jam 9, 10 dan 11 pagi. Kaedah bayaran zakat juga berlainan, jika Malaysia kita sempurnakan akad dengan sang amil yang dilantik majlis agama, tetapi di Liverpool wang zakat sekadar dimasukkan kedalam kotak atau tong yang telah disediakan oleh pihak pengurusan masjid. Bagi membiayai aktiviti keagamaan dan penyelenggaraan masjid, pihak masjid akan mengadakan kutipan derma ihklas tiap kali selepas solat jumaat, maka akan kedengaranlah petugas melaungkan ayat “ Donation for the mosque, jazakallahu khair” berulang-ulang.

Bercerita pula tentang musim sejuk di Liverpool, tahun 2010 mencatat detik menarik, kerana salji yang turun adalah luar biasa lebatnya. Mengikut pengalaman rakan-rakan yang terdahulu berada di Liverpool, tahun-tahun sebelumnya amat jarang salji turun di Liverpool, jika ada pun ibarat “renyai-renyai” sahaja. Salji yang lebat melewati jangkaan pihak berkuasa, lalu masalah penyelenggaraan timbul, seperti keputusan bekalan “Grit” (sejenis garam yang ditabur diatas jalan bagi mencairkan salji), grit inilah juga yang menyebabkan karat di badan kereta jika tidah rajin dicuci, sebab itu kebanyakkan kereta yang melewati usia 10 tahun, pasti ada kesan karat di bahagian pelindung tayar atau bawah kereta, maka bagi mereka yang berniat membawa pulang kereta dari UK, pastikan kereta anda itu bebas karat. Salji ini sebenarnya tidaklah membawa banyak kesukaran, tetapi yang bahayanya bila ia bertukar menjadi ais, ibaratnya anda berjalan diatas lapangan “Ice-Scating”, aksi manusia tergelincir dan jatuh adalah pemandangan biasa, akibatnya masa 2 minit dari rumah ke sekolah dalam musim luruh menjadi sekitar 10 minit, pemanduan kereta juga harus berhati-hati, kerana jika salah pertimbangan menekan brek dan minyak, kereta akan hilang kawalan akibat permukaan jalan yang licin berais.

Tanggal 29 September 2010 yang meninggalkan bumi Liverpool, jika sewaktu mula-mula berada di Liverpool, rasa rindu pada tanahair seringkali menggamit perasaan, namun bila tiba saat berangkat pulang, sayu juga mahu meninggalkan kehidupan di rantauan, lebih-lebih lagi bila memikirkan banyak perkara yang dirancang belum terlaksana. Pendek kata pengalaman belajar di rantauan memerlukan hati yang cekal dan tabah, mahu tidak mahu segala rintangan dan cabangan yang dating perlu kita redah, sepertimana senikata lagu “You’ll Never Walk Alone”,

When you walk through a storm
Hold your head up high
And don't be afraid of the dark.

At the end of the storm
There's a golden sky
And the sweet silver
Song of a lark.

Walk on through the wind
Walk on through the rain
Though your dreams
Be tossed and blown.

Walk on
Walk on

With hope in your hearts
And you'll never walk alone
You'll never walk alone.

Walk on
Walk on

Lagu inilah yang meniup semangat pasukan Liverpool FC tiap kali berhadapan dengan lawan. Lagu ini juga digunakan sebagai penaik semangat oleh pasukan Celtic FC (Scotland) dan Borussia Dortmund (Jerman). Sekian dahulu catatan saya, insyaallah coretan seterusnya pada keluaran akan datang.

2 comments:

indica said...

catatan yg menarik yob..elok masuk buletin pertadi etc. Tambah gambar2 lagi...

Anonymous said...

X dpt g dpt bc info pun jd la