Friday, November 28, 2008

Wednesday, November 26, 2008

Merayau-rayau...

Hujung minggu lepas dalam perjalanan untuk makan kenduri saudara Azhari Sahamir, kami sekeluarga sempat mencecah kaki ke Sunway Pyramid dan jirannya Subang Parade, almaklum saja, dah lama rasanya kami tak kesana....berikut adalah momen-momen yang sempat dirakam..



Tuesday, November 18, 2008

Matlamat Tidak Menghalalkan Cara



Nampaknya isu mahu berbogel sekumpulan aktivis mendapat perhatian meluas rakyat jelata. Isu ini bersambut dari satu pejabat ke pajabat yang lain, dari penguasa agama sehingga ke penguasa undang-undang. Pokoknya rata-rata rakyat malaysia boleh dikatakan tidak tergamak melihat sekumpulan manusia terjerit terlompat dihadapan bangunan SUK tanpa seurat benang dibadan mereka. Mereka ini seolah sepakat bahawasanya dengan memecat pakaian, maka segala matlamat akan tercapai

Mungkinkah ini hanya gimik politik? Atau sebagai satu tindakan terdesak lantaran ada hajat yang tidak dipenuhi. Apakah kumpulan ini benar-benar berani mahu bertelanjang? Atau hanya gertakan yang disengajakan demi menarik perhatian media.

Jika tindakan berbogel ini adalah jalan paling efektif bagi menunjukan rasa tidak puas hati maka bayangkan hampir seluruh rakyat Malaysia akan berbogel sebagai tanda tidak puas hati atas kenaikan harga minyak dan barang. Bayangkan stesen-stesen minyak dipenuhi oleh manusia bertelanjang bulat kerana tidak puas hati dengan kenaikan minyak, atau kedai-kedai runcit penuh dengan makcik-makcik yang tidak berbaju kerana tidak puas hati dengan harga beras dan barang keperluan asas lain yang tinggi.

Mungkin lebih menarik lagi jika sekumpulan artis terkenal tanahair ”berpakat” untuk berbogel kerana membantah penganugerahan pingat kebesaran kepada seorang artis terkenal dari mumbai. Atau mumgkin akan ada wakil rakyat yang berbogel dalam dewan parlimen kerana tidak puashati dengan tindakan lawan mereka. Senario ini besar kemungkinan tidak akan menjadi kenyataan, kerana majoriti rakyat malaysia selain dari kumpulan terbabit masih rasional dan punya maruah yang tidak boleh ditolak ganti dengan sebarang perkara.

Memang lucu jika difikirkan dan dibayangkan walaupun agak geli geleman jugak. Memang tidak dinafikan bahawa mereka ada memasang niat yang murni, mahu memperjuangkan nasib masyarakat dalam kelompok miskin, mereka mahu membela nasib golongan yang didakwa tertindas atas tindak tanduk kerajaan negeri, namun dalam usaha kearah itu, sepatutnya mereka ini lebih rasional dan memilih jalan yang tidak menyimpang dengan moral dan norma hidup sebagai seorang insan yang bertamadun, matlamat tidak menghalalkan cara, lalu berfikir sematangnya, setiap masalah terhidang pelbagai jalan penyelesaianya, tinggal lagi terpulang kepada kita mahu memilih jalan yang mana.

Friday, November 14, 2008

Antara ”Penjenamaan semula”, ”Meremajakan” dan ”Mematangkan”



Selepas PRU ke-12 yang bagai tsunami besar, ditengah kekagetan parti-parti yang terkena tempelaknya, muncul 3 konsep yang dilihat sebagai penawar kepada kerosakan yang dialami akibat bedilan ”tsunami” yang lepas. Anda parti mahukan ”Penjenamaan Semula”, ada yang mahukan evolusi imbas kembali kearah keremajaan dan ada juga suara-suara kecil yang menyebut mahukan proses Mematangkan parti.

Apa maksud ”penjenamaan semula”? Penjenamaa menurut Kamus Dewan Edisi ketiga membawa maksud ”Pemberian Jenama ( nama tertentu) kepada sesuatu barang yang dihasilkan.”. Lantas penjenamaa semula itu mengikut fahaman biasa adalah memberi nama baru kepada produk yang sama atau nama baru kepada produk yang telah mengalami penambahbaikan. Ini bermakna parti berkenaan mempunyai dua pilihan, sama ada strukturnya dalam status quo, tapi ditempel dengan nama baru, atau rombakan dilakukan pada struktur beserta dengan nama baru. Sehingga kini tidak jelas kelihatan kedua-duanya berlaku, namun ”Tiang Serinya” tetap teguh berdiri walaupun ada ”keretakan”. Persoalannya, runtuhkah ”mahligai” ini, andai tiang seri tersebut ditukar?, terpulang pada bijak pandai politik membuat telahan dan analisa.

Meremajakan menurut kitab yang sama membawa erti menjadikan muda, memudakan ~ pegawai negeri menggantikan pegawai-pegawai tua dengan pegawai-pegawai muda. Definasi kepada konsep ini yang dipilih oleh sebuah parti berteraskan kaum yang utama ini perlu dibuat dengan berhati-hati. Adakah proses meremajakan itu merujuk kepada semua aspek dalam parti? Perlembagaan, struktur kepimpinan, budaya atau pemimpin utama itu sendiri. Adakah sebuah parti yang usianya melewati separuh abad perlu kembali seperti waktu usianya belasan tahun? jika diimbas kembali detik lampau itu, andai parti ini mampu berlagak seperti waktu itu, nescaya parti ini akan mampu kembali ”relevan” dalam ketika perkara 152 perlembagaan sering dicuit dan dijentik oleh mereka-mereka yang tidak sepatutnya. Namun keraguannya amat besar, sehingga kini tidak kelihatan riak-riak kearah mengembalikan dekad gemilang itu akan berlaku, malah sikap ”remaja ” itu lebih terarah kepada perkara yang merosakkan parit, umpamanya ahli-ahli yang umpama ”berdarah muda” dengan mencari penyelesaian melalui ”buku lima” dan ”kerusi”.

Adakah proses meremajakan ini dapat direalisasikan sepertimana pandangan seorang sarjana dari univesiti tertua tanahair, beliau dengan tegas mengatakan andai proses meremajakan parti ini mahu dilaksanakan, maka satu generasi pemimpin harus meninggalkan struktur utama parti. Generasi peminpin ”veteran” ini harus diganti dengan satu generasi muda yang faham aspirasi parti dan mempunyai nilai insaniah yang tinggi. Mungkin dari kalangan generasi yang sewaktu mudanya terpengaruh dengan video ”sajak kematian” yang cukup ”panas” hari ini.

”Mematangkan” pula membawa erti kesempurnaan dan kedewasaan pemikiran. Proses ini persis seorang datuk yang telah melewati usia bersara wajib dikatakan tidak matang lalu dia dituntut supaya memperbaiki akalnya. Adakah parti ini tidak matang ? dari sudut mana ianya tidak matang? dengan rekod tidak pernah kalah, parti ini perlu dimatangkan lagi?. Atau matang itu merujuk kepada saf kepimpinan parti dari segelap lapisan, senario ini umpama polemik ”Kesatuan Kaum Tua” dan ”Kesatuan Kaum Muda”. Adakah implementasi konsep ini bererti pemimpin ”veteran” harus didahulukan dalam segala hal, atau adanya asimilasi usia kepimpinan, seperti mana saranan mantan pemimpin parti ini yang kini berjenama ”Kuda Kepang”.

Dunia politik amat luas, satu huruf boleh membawa persepsi dan interpretasi yang pelbagai mengikut kehendak, persoalannya sama ada interpretasi ini dibuat dan dinilai dengan mata hati atau mata budi. Apapun coretan ini hasil dari buah fikiran dan penakulan akal seorang insan yang tidak sezarah pun mempunyai pengalaman berpolitik, hanya sekadar seorang ”window shopper” sahaja.

Monday, November 10, 2008

Siapa yang takut?


Antara isi berita minggu lalu yang menarik perhatian Pakyob ialah isu tayangan video “Sajak Kematian” yang ditayangkan kepada murid-murid sekolah rendah. Hasil maklum balas dari ibubapa melihatkan ada selisih pendapat mengenainya, ada yang bersetuju, ada yang tidak bersetuju dan ada juga yang mahu melihat dari pelbagai factor lain sebelum menjatuhkan pandangan akhir.

Pak Yob tercuit dengan alasan dari kalangan yang tidak bersetuju, mereka menyalahkan pelbagai factor seperti usia muda yang mungkin menerima tayangan itu dari perspektif yang salah serta kebimbangan bahawa ianya akan memberi kesan psikologi yang negatif kepada anak-anak. Peristiwa ini mengingatkan Pak Yob suatu ketika dahulu dimana “sajak kematian” serta seabrang aktiviti pementasan / pentomin yang berkait denganya pernah berada ditengah polemik yang hampir sama, lagu "selimut putih" turut menerima nasib yang sama.

Memang bila mendengar sahaja lagu “sajak kematian” pasti sedikit sebanyak akan lahir rasa insaf dan takut kepada kematian, tidakkah mengingati kematian itu satu tuntutan. Salahkah anak-anak diingatkan tentang azab kubur serta azab yang akan mereka alami seandainya memilih jalan hidup yang cuai dari ajaran islam. Bukankah jika mahu melentur buluh biar dari rebungnya?

Pak Yob sebenarnya hairan juga, sekarang ini di kaca tv dna layer perak bersepah cerita-cerita fiksyen tentang gangguan makhluk halus, berduyun-duyun ibubapa serta anak-anak mereka memenuhi perut panggung. Tiada siapa mempersoalkan tentang psikologi kanak-kanak, tiada siapa menghubungi media massa untuk melahirkan rasa tidak puas hati. Apakah cerita hantu itu perkara yang hakiki sementara azab kubur serta kematian itu bukan satu kepastian?

Malam tadi siaran berita menayang betapa seorang timbalan menteri “yang berkaitan” menentang idea tayangan video tersebut, alasannya bimbang murid-murid takut pada perkara yang lain, lalu mesej utamanya tidak terkesan. Lalu apa pula mesej filem-filem seram yang berlambak-lambak itu? Apa guna guru-guru yang membimbing sesi tayangan video tersebut? adakah mereka langsung tidak membuat penerangan tenatang pengisian video tersebut kepada murid-murid berkenaan?, Mungkin golongan guru patut respon pada perkara ini.

Adakah tazkirah mengenai mengingati kematian serta azab kubur hanya terhad di masjid-masjid, itupun sekadar lisan sahaja, tidak boleh digambarkan dalam bentuk seakannya?. Hairan juga Pak Yob dengan karenah "orang melayu" ni, adakah ini kesan betapa islam itu tidak "syumul" di bumi malaysia? islam hanya terhad kepada sembahyang lima waktu dan puasa dibulan ramadhan sahaja? atau lebih parah lagi terhad kepada sembahyang jumaat sekali seminggu, campur sembahyang raya dua kali setahun?.


Pak Yob pun bukanlah warak, lantas atas kekurangan itu sumbangan dari sistem pendidikan negara amat diperlukan dalam melengkapi anak-anak yang mungkin tidak mendapat didikan agama dengan sempurna di rumah. Janganlah bersikap umpama ketam mengajar anaknya berjalan, lupakah kita dengan 5 warisan yang akan membantu kita dialam sana kelak? mungkin alim ulama dalam kementerian pendidikan perlu campur tangan dengan meletakkan islam sebagai asas membuat keputusan.


Soalnya siapa yang takut? apa yang ditakut? mungkin "si tua" yang takut kerana bimbang anaknya itu nanti akan tahu kemungkaran yang dilakukannya, takut andai si anak bertanyakan "kenapa ayah dengan mak tak pernah sembahyang?" atau " kat rumah kita ni arah kiblat kat mana ayah?"....atau si tua sendiri tidak bersedia untuk bertaubat lalu meninggalkan amal dunianya yang "kotor" dan tiada sinar keislaman?....beristighfarlah...




Thursday, November 06, 2008

Sama tapi tak serupa.



Dua sejarah yang hampir sama dicipta oleh dua tokoh dalam kepakaran yang berbeza, dunia politik dan dunia permotoran. Minggu lalu Lewis Hamilton dinobatkan sebagai Juara Perlumbaan F1 dunia bagi tahun 2008, lebih manis lagi, beliau merupakan juara termuda bagi kejohanan tersebut, usia beliau diangka 24 sewaktu secara rasminya diumumkan sebagai juara dunia. Seorang lagi tokoh yang dimaksudkan ialah, Senator Barack Obama,semalam secara rasminya tokoh ini dipilih secara majoriti sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke44, pada usianya yang ke 47, beliau merupakan presiden kedua termuda dalam sejarah amerika, selepas Mendiang John F. Kennedy yang memegang jawatan tersebut pada usia 43 tahun.


Namun disebalik perbezaan arena dan pentas, keduanya mencatat sejarah sebagai warga kulit hitam pertama yang mendapat kemasyuran tersebut. Hamilton sebagai juara kulit hitam pertama dalam sejarah F1, sementara Obama merupakan Presiden kulit Hitam Amerika Syarikat yang pertama. Namun dalam pendakian ke puncak kemasyuran tersebut, keduanya melalui rintangan yang payah dan besar, namun pasti yang lebih dikesali ialah cemuhan dan bahana pro-perkauman yang masih wujud dalam masyarakat yang kononnya bertamaddun.