Thursday, July 04, 2013

Ishak Osman,kakitangan UKM jadi penduduk terawal Bandar Baru Bangi.

Oleh: Harith Faruqi Sidek

Encik Ishak Osman

Bandar Baru Bangi mula dibuka secara rasmi kira-kira 40 tahun yang lalu, ianya dibangunkan sejajar dengan pembangunan kampus tetap Universiti Kebangsaan Malaysia yang ditubuhkan pada 18 Mei 1970 dan beroperasi di kampus sementara di Lembah Pantai, UKM kemudiannya berpindah ke kampus tetap di Bangi mulai tahun 1977. Bandar Baru Bangi asalnya merupakan kawasan ladang kelapa sawit yang dikenali sebagai West Country Estate. Kawasan ini kemudiannya telah diambil alih oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor untuk dibangunkan. Bandar Baru Bangi boleh diibaratkan sebagai 'adik' kepada Bangi lama yang telah dibuka lebih awal, iaitu kira-kira 96 tahun lalu.


Penduduk Awal

Sewaktu UKM dibangunkan, tapak kampus ini didiami oleh suku kaum asal dari keturunan Temuan, suku kaum ini dipercayai telah wujud lebih lama dari tarikh penerokaan kawasan Bangi lama. Namun, apabila Bandar Baru Bangi dibuka, kumpulan penduduk terawal yang berhijrah secara tetap ke Bandar Baru Bangi adalah dikalangan kakitangan terawal UKM. Dikalangan kumpulan ini, yang pertama berhijrah ke Bandar Baru Bangi ialah Encik Ishak Osman.Mengikut catatan dalam buku log pekerja UKM, Encik Ishak Osman merupakan kakitangan UKM yang kelima terawal didaftarkan, iaitu dengan nombor pekerja 0005 dan jawatan hakiki sebagai Tukang Kayu di Unit Pembangunan.

Nama Encik Ishak Osman (No. Pekerja 0005) dalam buku daftar pekerja Universiti Kebangsaan Malaysia.


Pengalaman sebagai 'orang Bandar Baru Bangi' yang terawal.

Dalam laporan News Straits Times bertarikh 22 Disember 1987, Ishak Osman telah berkongsi pengalaman beliau sewaktu mula-mula menjejak kaki di Bandar Baru Bangi. Menurut beliau, sebelum berpindah masuk ke kediaman yang terletak di jalan1/2C, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi pada pada 1 Disember 1977, beliau sekeluarga tinggal di Kampung Kerinchi.

Jalan 1/2C yang terletak di Seksyen 1, Bandar Baru Bangi

Tanda jalan 1/2C, kawasan perumahan terawal di Bandar Baru Bangi.

Perkara pertama yang beliau lakukan setelah berpindah ialah menaiki basikal disekitar kawasan kediamannya dengan harapan akan bertemu dengan penduduk lain, malangnya tidak seorang pun yang beliau temui. Suasana persekitaran yang pada ketika itu masih dipenuhi hutan belantara serta tanpa kemudahan elektrik menyebabkan beliau sangat gusar memikirkan keselamatan dirinya sekeluarga.

Menurut Ishak lagi, beliau akan memastikan setiap tingkap dan pintu rumahnya dikunci rapi seawal jam 7 malam lagi, ini kerana pada ketika itu suasana sudah mulai gelap dan beliau bimbang akan keselamatan keluarganya. Perkara ini berlarutan selama seminggu, sebelum penduduk lain mulai beransur pindah ke kawasan tersebut. Meskipun begitu, bekalan elektrik masih belum dibekalkan oleh pemaju, lalu penduduk disitu terpaksa menggunakan lampu kerosin untuk tempoh beberapa bulan sehinggalah mereka mendapat bekalan elektrik pada sekitar bulan mac 1978.

Pengangkutan awam merupakan satu lagi masalah asas yang dihadapi oleh para penduduk awal di Bandar Baru Bangi, kebanyakkan mereka tidak mempunyai kenderaan sendiri, lalu terpaksa berjalan kaki berbatu-batu jauhnya untuk sampai ke perhentian bas bagi meneruskan perjalanan menghantar anak ke sekolah dan ketempat kerja.

Sebagai menghargai serta mengiktiraf beliau sebagai penduduk terawal Bandar Baru Bangi, Ishak Osman telah diberi penghargaan oleh Menteri Besar Selangor pada ketika itu, Datuk Muhammad bin Muhammad Taib sewaktu perayaan ulangtahun ke-10 Bandar Baru Bangi pada 21 Disember 1987.

Perancangan pembangunan 'Bandar Universiti' oleh PKNS yang diiklankan pada tahun 1983. (NST,16 Jun 1983)


Rujukan:

Elusive Dreams. The News Straits Times. 26 Oktober 1987,p.2.

First Man to Settle in. The News Straits Times. 22 Disember 1987,p.2.

Harith Faruqi Sidek. Sejarah Penubuhan UKM: Pencarian Kakitangan Perintis. Buletin ILHAM. Bil.13/2013.p.9

Sunday, June 30, 2013

Tolak tawaran Cardiff City, Ghani Minhat terlepas rekod sebagai melayu pertama bermain dalam Liga Inggeris.

Oleh: Harith Faruqi Sidek

Allahyarham Abdul Ghani Minhat (1935-2012)


Sejarah Cardiff City dalam peta bolasepak negara bukan bermula pada tahun 2010 apabila kelab dari Wales itu dibeli oleh jutawan Malaysia,Tan Sri Vincent Tan. Sebaliknya nama Cardiff City telah muncul didada akhbar di Malaya pada tahun 1962, iaitu apabila kelab tersebut yang baru tersingkir dari divisyen satu inggeris itu dikatakan cuba memancing ‘Raja Bola’ Abdul Ghani Minhat dan pemain kebangsaan Singapura, Quah Kim Swee untuk menyertai pasukan itu bagi musim 62/63. Pengurus Cardiff City pada ketika itu, Bill Jones dikatakan telah menulis surat kepada wakil kelab berkenaan di Singapura agar menghubungi Ghani Minhat dan memaklumkan kepada lagenda bolasepak negara itu bahawasanya beliau boleh bermain di Cardiff seberapa lama yang beliau inginkan. (The Straits Times, 29 May 1962, Page 17).

 

Bill Jones mahukan Ghani Minhat di Cardiff City ( The Straits Times, 29 Mei 1962)

Pemain Singapura yang turut dikaitkan dengan Cardiff City, Quah Kim Swee walau bagaimanapun telah awal-awal lagi menyatakan tidak berminat dengan tawaran kelab inggeris itu. Menurut laporan The Straits Times bertarikh 17 Januari 1962, pemain singapura itu yakin beliau tidak akan mampu bermain dengan baik di England kerana keadaan persekitaran yang berbeza, malah gaji sebanyak 170 pound seminggu yang ditawarkan oleh Cardiff City juga dikatakan tidaklah semewah mana jika mengambil kira kos kehidupan di England kelak.

 


Sementara Ghani Minhat yang pada ketika itu berusia 27 tahun pula menafikan mengetahui akan tawaran daripada Cardiff City keatasnya,  sebaliknya berita berkaitan perkara itu hanya diketahuinya  melalui laporan akhbar sahaja. Cardiff City dikatakan telah membuat tawaran kepada Ghani Minhat sebanyak dua kali, iaitu pada 17 Januari 1962 dan 29 Mei 1962. ( Berita Harian, 5 November 1985). Disebabkan tiada tawaran rasmi yang sampai kepada beliau, maka Ghani Minhat secara tidak langsung menolak ‘tawaran’ untuk menyertai Cardiff City. 


Tawaran kali pertama yang tidak rasmi ? ( The Starits Times, 18 Januari 1962)

Meskipun peluang beraksi dalam liga inggeris tidak menjadi kenyataan, Ghani Minhat bersama seorang lagi bintang bolasepak negara, Robert Choe tetap ke England untuk bersama kelab West Ham United pada tahun berkenaan, tetapi sebagai program latihan dan lawatan sambil belajar selama enam minggu, sebelum itu mereka akan berada di Jerman selama dua bulan bersama  kelab Eintracht Frankfurt untuk tujuan yang sama.


Ghani dan Robert Choe di Jerman (The Straits Times, 1 November 1962)

Rujukan:

A blackboard lesson in german for Ghani and Robert. The straits times, 1 november 1962, page 18


A gamble Ghani and Kirn Swee should not take. The straits times, 19 january 1962, page 19


Anugerah yg sungguh dibanggakan. Berita Harian, 5 november 1983, page 9


Cardiff chief wants Ghani for new season. The straits times, 29 may 1962, page 17


Cardiff keen on Quah, Ghani . The straits times, 17 january 1962, page 17


Ghani in london: 3 weeks wasted. The straits times, 18 january 1963, page 23


No offer yet to Ghani. The straits times, 18 january 1962, page 19


Warm welcome for Ghani and Choe. The straits times, 13 february 1963, page 14

Friday, June 21, 2013

A.V Bapat : Dari Bombay ke Kuala Lumpur, sentuhan seninya merentasi zaman.

Oleh: Harith Faruqi Sidek

A.V Bapat  (Sumber: The New Straits Times Annual, 1981)

Jika menonton beberapa filem Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, dipenghujung kredit filem-filem berkenaan akan muncul satu nama yang agak unik, iaitu A,V Bapat. Siapa A.V Bapat?, insan yang  mempunyai sejarah kerjaya dalam bidang seni yang menarik serta merentasi zaman. Nama sebenar beliau ialah Achyut Vishny Bapat, berasal dari India dan mula berjinak –jinak dalam seni kreatif sejak berusia 10 tahun lagi. Perjalanan beliau dalam dunia seni bermula apabila beliau bekerja sebagai pelukis papan tanda di Bombay dengan bayaran 10 rupee sehari, kemudiannya beliau mendapat tawaran bekerja sebagai pereka set dan pelukis Backdrop dengan sebuah syarikat yang banyak terlibat dalam dunia perfileman, iaitu Natya Nishan Company. Syarikat ini telah memberi peluang kepada beliau untuk mengembangkan bakat sebagai Pengarah seni, pereka set dan pelakon yang dikenali, malah beliau berpeluang bekerja dengan penerbita filem terkenal di India pada ketika itu, iaitu Raj Kapoor dan V. Shantaran.

Dari India, A.V Bapat merantau pula ke Indonesia untuk mengembangkan bakat beliau dalam industri filem di sana, namun beliau hanya sempat terlibat dalam tiga buah filem sahaja di Indonesia, kemelut politik yang berlaku di negara itu menyebabkan beliau ‘angkat kaki’ lalu sampai di Singapura pada tahun 1952. Atas pengalaman beliau yang luas dan reputasi yang baik, Shaw Brothers telah menawarkan jawatan sebagai Jurumekap artis  dan pereka dengan MFP (Malay Film Production).Kehadiran warga asing seperti beliau dalam industri perfileman melayu bukanlah sesuatu yang asing, kerana pada ketika itu memang terdapat  ramai tenaga produksi seperti jurukamera, jururakam bunyi, juruteknik dan penyunting  yang berasal dari China, Hong Kong dan India. Menurut laporan Jamil Sulong (Berita Harian, 31 Ogos 2007), jawatan tertinggi yang pernah diberikan kepada anak watan pada ketika itu ialah sebagai Pelukis dan Pengarah Seni, iaitu Pak Haniff ( bapa kepada Pengarah, Hussin Hanif), namun jawatan ini kemudiannya turut dipindahkan kepada karyawan dari India seperti JA Anthony dan kemudiannya AV Bapat sendiri.

Sebagai Pereka Bangunan dan Juruhias bagi filem 'Ibu Mertuaku' tahun 1962.

Sebagai Pengarah Seni bagi filem 'Antara Dua Darjat' tahun 1960.

Sebagai Pereka Set dan Juruhias bagi filem 'Gerak Kilat' tahun 1966.

Di MFP, AV Bapat berpeluang bergandingan dengan lagenda filem melayu, Allahyarham P.Ramlee dan ramai lagi, antara filem yang menyaksikan sentuhan kreatif beliau ialah Pontianak, Batu Derhaka, Tiga Abdul, Madu Tiga, Nujum Pak Belalang, Sumpah Orang Minyak dan Labu-Labi. Meskipun berasal dari India, AV Bapat mempunyai hubungan baik dengan kebanyakan pelakon di Jalan Ampas, apatah lagi beliau hidup berjiran dengan mereka di Kuaters Boon Teck Road, antara yang berjiran dengan beliau pada ketika itu ialah Jins Shamsuddin, Hashimah Yon, Ahmad Mahmud,Wak Mustarjo, Datuk Ahmad Daud / Saadiah, Haji Mahadi, Aziz Jaafar/ Normadiah, Malek Sutan Mudo dan ramai lagi

Sebagai Pereka Set bagi filem 'Tiga Abdul' tahun 1964.

Sebagai Pengarah Seni bagi filem 'Labu Labi' tahun 1962.

Sebagai Pengarah Set bagi filem 'Madu Tiga' tahun 1964.

Peranan sebagai Pereka Set dalam filem 'Nujum Pak Belalang' tahun 1959.

Sebagai Juru Solek Artis bagi filem 'Sumpah Orang Minyak' tahun 1956.

Setelah MFP ditutup pada tahun 1967, A.V Bapat membawa diri ke Kuala Lumpur dan nasib beliau agak baik kerana menerima tawaran bekerja di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai Pereka Seni, selepas meninggalkan RTM, beliau menyertai Filem Negara, Shaw Brothers dan Perfima. AV Bapat turut terlibat dalam pembikinan beberapa buah filem, antaranya ‘Permintaan Terakhir’ dan ‘Adik Manja’. Di samping kesibukan terlibat dalam kerja dibelakang tabir, A.V Bapat sempat juga berlakon dalam filem ‘Matinya Seorang Patriot’. 

Muncul di layar Perak dalam filem 'Matinya Seorang Patriot' pada tahun 1984
Aksi AV Bapat dalam filem 'Matinya Seorang Patriot'

Rujukan:

Ahmad Daud terkenang syawal di Jalan Ampas ( 29 Januari 1997), Berita Harian.

Aishah Ali. A Glorious chapter in the Malay film industry, The New Straits Times Annual, 1981, p. 36-41.

Azian Adnan. Nostalgia Jalan Ampas ( 1 Februari 1998), Berita Harian.

Jamil Sulong. Seni tempatan terus dibela ( 31 Ogos 2007), Berita Harian.

Man behind the masks ( 5 Disember 1980), The Straits Times, p.6

Pelakon Komedi lelaki sukar dapat pasangan ( 2 Jun 1998), Berita Harian.


Personalities from our local studios, (14 September 1959), The Singapore Press, p.7

Wednesday, June 12, 2013

Filem ‘A Town Like Alice’ cetus perkenalan pertama kumpulan 'Pakcik Liverpool' dengan 'Cikgu Kirkby' dari Malaya.

Oleh : Harith Faruqi Sidek


Kisah Pakcik-pakcik pelayar dari Malaya di Liverpool sudah banyak diceritakan, begitu juga dengan kisah kumpulan Guru-guru dari Malaya yang menuntut di Kolej Latihan Perguruan Malaya ( juga dikenali sebagai Maktab Kirkby) di Kirkby,Liverpool. Menurut Tim Burnell (2007 : 416), kedua-dua kelompok rakyat Malaya (bekas kelasi dan Guru) di Liverpool ini pada awalnya tidak mengetahui kewujudan antara satu sama lain. Perkara yang sama diakui oleh Zainal Arshad Zainal Abidin yang merupakan bekas pelajar kolej berkenaan atau lebih dikenali sebagai “Kirkbyites”, menurut beliau, jika tidak kerana 12 orang pelajar yang dipilih membintangi filem “ A Town Like Alice”, belum tentu mereka tahu adanya kelompok masyarakat melayu lain di Liverpool. 

Perkara ini bukanlah sesuatu yang pelik jika mengambil kira suasana tahun 50an itu yang masih kekurangan dari segi kemudahan perhubungan, tambahan pula jarak diantara pelabuhan Liverpool dengan Kirkby adalah kira-kira 10 kilometer. Didalam filem berkenaan, para pelajar dan bekas kelasi tersebut bergabung menjayakan watak penduduk kampong berketurunan melayu yang melatari filem berkenaan, penggambaran diadakan di Pinewood Studio yang terletak di pinggir kota London.


Filem A Town Like Alice

Filem ini merupakan adaptasi dari sebuah novel 'A Town Like Alice' yang agak popular karya Nevil Shute. Naskah yang dihasilkan pada tahun 1950 ini mengisahkan Jean Paget, seorang wanita Inggeris yang berkhidmat di Malaya bersama Kuala Perak Plantation Company yang beribu pejabat di Kuala Lumpur mulai tahun 1939, beliau kemudiannya menjadi tahanan perang ketika Jepun datang menjajah Tanah Melayu. Setelah perang tamat, Jean tinggal bersama komuniti melayu di sebuah kampung bernama Kuala Telang, beliau bersama beberapa orang wanita inggeris yang juga merupakan bekas tahanan perang telah turut sama mengamalkan kehidupan kampung seperti bersawah, disamping turut membuka sekolah untuk anak-anak melayu di Kampung tersebut. Tiga tahun berada di Kampung Kuala Telang, beliau kembali ke England, sebelum kembali semula ke Malaya dengan hasrat ingin membina telaga di tengah-tengah Kampung Kuala Telang, ianya kerana pengalaman beliau sendiri yang terpaksa mengangkut air dari sungai yang jaraknya agak jauh setiap hari untuk kegunaan harian. Selain daripada itu, telaga ini juga sebagai simbol terima kasih kepada penduduk kampung yang banyak membantu beliau ketika perang Jepun dahulu.


Poster filem 'A Town Like Alice' keluaran 1956.



Pak Sunny bin Hassan dapat watak pembantu

Antara pakcik-pakcik pelayar yang mendapat watak pembantu ialah Pakcik Sunny bin Hassan, beliau berasal dari Singapura. Pak Sunny dikatakan antara kumpulan terawal seramai 100 orang kelasi dari Tanah Melayu yang menjadi kelasi kepada kapal yang berlayar ke England (The Straits Times, 19 August 1957: 2). Kumpulan ini tiba di England yang ketika itu sedang berada dalam kancah peperangan dunia pertama, kapal yang mereka naiki telah terkena peluru lalu tersadai di Lautan Ireland.

Pak Sunny kemudiannya menuju ke Liverpool pada tahun 1931 dan telah bertemu jodoh dengan wanita inggeris yang juga anak tempatan Liverpool, mereka mempunyai tiga orang anak angkat. Selain berlakon, Pak Sunny bekerja sebagai tukang cat di pelabuhan Cardiff,Wales. Dalam filem 'A Town like Alice' ini, Pak Sunny memegang watak sebagai Mat Amin, seorang Ketua Kampung di Kuala Telang.Selain filem ini, Pak Sunny turut membintangi sebuah lagi filem British yang diadaptasi dari novel yang bertajuk 'Wisdom's Way' pada tahun 1957, dalam filem ini beliau memegang watak Haji Amyan.


Pak Sunny bersama keluarga.. ( The Singapore Free Press, 20 Ogos 1957)


Kredit dalam filem 'A Town like Alice' yang memaparkan nama Pak Sunny yang dieja sebagai Sanny bin Hussan.

Pak Aman Majid pelakon tambahan



Berbeza dengan Pak Sunny, nama Pak Aman atau lebih dikenali sebagai Pak Man Tokyo tidak muncul dalam kredit filem ini, mungkin kerana watak yang dibawanya iaitu sebagai salah seorang dari orang kampung di Kuala Telang. Seperti mana laporan Zaharah Othman ( NST, 27 Mei 2007), Pak Aman merupakan bekas Presiden Kelab Melayu London dan beliau juga kerap muncul sebagai pelakon tambahan dalam berberapa drama bersiri Britain, antaranya melakonkan watak pemabuk disamping pelawak terkenal Benny Hill dan actor Roger Moore dalam siri penyiasatan “The Saint”, beliau juga memeran watak tambahan sebagai tentera Jepun dalam filem  The Devil Never Sleeps selain watak orang kampong dalam filem A Town Like Alice. Selain daripada itu, Edwina Carroll, seorang pelakon kelahiran burma juga membintangi filem ini dengan membawa watak Fatima, rakan baik Jean sewaktu di kampung Telang.


Guru-guru Maktab Kirby turut berlakon sama

Guru-guru dari Malaya yang terpilih untuk membintangi filem pula datang dari kelompok yang memang aktif dalam kegiatan kesenian, mereka yang terpilih membintangi filem ini ialah kumpulan penari yang terdiri dari Kelsombee Hashim, Siti Rohani Ismail, Jameah Haji Majid, Ramlah Ahmad, Ruslan Ahmad, Tengku Adnan Tengku Mahmud, Abdul Latif Shamsuddin dan Mustapha Haji Tahir. Sementara empat lagi yang terpilih ialah pemain muzik, iaitu Zainal Arshad Zainal Abidin, Mohamed Nor Che' Noh, Ali Mohamad dan Ridzuan Mohd Ali, kumpulan ini turut membawa bersama alat muzik yang akan mereka mainkan dalam filem ini iaitu  arkodian, gitar, drum dan gong.Kumpulan ini terlibat dalam satu babak yang menggambarkan suasana tarian ronggeng, maka tidak hairanlah mengapa sumbangan kumpulan ini diperlukan.


Edwina Carroll, Virginia McKenna dan Kelsombee Hashim iaitu guru Maktab Kirkby yang terpilih membintangi filem 'A Town like Alice'. (The Straits Times, 19 Oktober 1955,p.4)

Penggambaran di Pulau Pinang, Johor dan Singapura.

Produser filem 'A Town like Alice' Joseph Janni telah memilih beberapa lokasi bagi menggambarkan suasana di Malaya pada ketika itu, Pulau Pinang, Kedah, Ipoh, Johor Bahru dan kawasan sekitar Seletar,Tampines road dan Jurong di Singapura telah dipilih. Pemilihan pelakon telah dibuat secara terbuka dan mendapat sambutan dari penduduk sekitar Malaya, khususnya dari Singapura. Memandangkan filem ini melibatkan watak orang-orang inggeris di Malaya, maka selain rakyat tempatan, orang-orang inggeris yang berada di negara ini turut ditawarkan untuk membintangi filem ini. Namun yang menariknya, pemegang watak utama filem ini, iaitu Virginia McKenna tidak terlibat langsung dalam penggambaran di Malaya, sebaliknya penerbit menggunakan 'stand-in' bagi watak Jean Paget yang dipegang oleh McKenna, pelakon berkenaan ialah Betty Ashley Cooper, seorang model kelahiran Australia yang telah tinggal di Johor Bahru selama tiga tahun. Keseluruhan kos filem ini menelan belanja sebanyak 2 juta. Penggambaran selebihnya diadakan di Pinewood Studio, London.


Babak di Kampung Telang


Salah satu babak yang melibatkan watak tentera Jepun.

Koleksi Perpustakaan UKM

Dalam koleksi perpustakaan UKM, memang terdapat novel serta filem 'A Town Like Alice', malangnya, filem yang terdapat dalam koleksi perpustakaan adalah filem versi 1981 dan ianya dalam bentuk VHS.


Filem 'A Town Like Alice' keluaran 1981 dalam koleksi Perpustakaan UKM.
Novel 'A Town Like Alice', novel ini boleh dirujuk di Koleksi Asia Tenggara, Perpustakaan Tun Seri Lanang, no. panggilan Kat PR 6027.O54 .T6 1958.


Babak pertemuan Jean Paget dan Mat Amin Taib, mungkin disinilah Pak Sunny muncul di layar perak buat kali pertama.

Rujukan:

295 girls wait for these 3 men (14 January 1955). The Straits Times.p.5

Bunnell, T. (2007) ‘Post-maritime transnationalization: Malay seafarers in Liverpool’, Global Networks 7 (4): 412-429.

Film unit delayed by weather ( 4 August 1955). The Straits Times.p.8

Hundreds apply for a part in Rank's Alice : tuesday is selection day (6 January 1955)

Johor Bahru girl lands film role (14 July 1955), The Straits Times.p.5


Kirkby teachers star in a film ( 19 Oktober 1955), The Straits Times. P.4

Part for a beauty queen in 'Alice' (22 July 1955), The Straits Times.

Shute, Nevil . A Town Like Alice. London: Heinemann Educational Books. 1950.

So Alice Through a looking glass, ( 6 Julai 1955), The Straits Times. P.7

Sunny bin Hassan gets film role, ( 19 Ogos 1957), The Straits Times. P.2

Sunny’s a star…(20 Ogos 1957), The Singapore Free Press. P.2

Two new films may be 'shot' in Penang (24 February 1953), The Straits Times.

Virginia McKenna ( of Malaya) found – She’s Betty (of Australia), (13 Julai 1955), The Straits Times. P.1

Wanted: 20 women to appear in $2 mil. Film ( 4 januari 1955). The Straits Times. P.5

Zaharah Othman, Adventure of the Pak Cik Sailors ( 27 Mei 2007).  The New Straits Time.