Sunday, May 19, 2013

Pembunuh Sir Henry Gurney : Siu Mah ditumpaskan selepas 8 tahun hidup dalam buruan.

Oleh : Harith Faruqi Sidek

Siu Mah ( Sumber :The Straits Times, 10 Mac 1959)

Peristiwa serang hendap yang meragut nyawa Sir Henry Lovell Goldsworth Gurney, Pesuruhjaya Tinggi British pada 6 Oktober 1951 merupakan kemuncak pemberontakan komunis di Tanah Melayu. Kejadian berlaku sewaktu Sir Henry Gurney bersama konvoinya dalam perjalanan ke Bukit Fraser. Meskipun peristiwa pembunuhan ini dikisahkan kepada masyarakat hingga dimasukkan dalam sukatan pelajaran sejarah di sekolah, namun kisah pembunuhnya jarang dibicarakan. Malah fail pembunuhan Sir Henry Gurney yang disimpan di The National Archives, London juga  tidak mempunyai sebarang dokumen mengenai pembunuhnya, mungkin pembunuhnya itu akhirnya dapat ditumpaskan 8 tahun selepas kejadian berdarah itu.

Sir Henry Gurney ( Sumber: Wikipedia)

Fail tentang pembunuhan Sir Henry Gurney yang disimpan di The National Archive, London.
Fail tentang tindakan yang diambil oleh pasukan keselamatan pasca kejadian berdarah  tersebut.

Trajedi berdarah

Pada hari malang tersebut, Sir Henry Gurney bersama Lady Gurney dan Setiausaha Sulit beliau, D.J Staples bertolak dari Kuala Lumpur ke Bukit Fraser pada jam 10.45 pagi, iaitu sepertimana yang dijadualkan. Mereka menaiki sebuah Rolls Royce, iaitu kenderaan rasmi Pesuruhjaya Tinggi British, kenderaan mereka diiringi oleh pasukan polis pengiring yang menaiki sebuah Range Rover. Namun setibanya di selekoh di sebatang jalan antara Kuala Kubu Baru - Pahang yang dikenali sebagai The Gap, kira-kira jam 1 tengahari, mereka telah diserang hendap. Dikatakan sebaik sahaja mereka dihujani peluru, Sir Henry Gurney telah bertindak keluar dari kereta, lalu cuba mencari arah tembakan dilepaskan, beberapa saat kemudian, beliau sendiri menjadi mangsa peluru yang dilepaskan oleh pengganas komunis yang bersembunyi disebalik rimbunan hutan hijau di sekitar kawasan tersebut.

Menurut keterangan polis bantuan yang tiba ketempat kejadian selepas keadaan tenang, pemandu Sir Henry Gurney ditemui meniarap disisi kereta Rolls Royce dengan kecederaan di kepala dan kaki, sementara Sir Henry Gurney yang keluar dari kereta telah ditemui tertiarap tidak bernyawa di dalam longkang berhampiran kereta beliau. Lady Gurney dan D.J Staples ditemui selamat didalam kereta berkenaan tanpa sebarang kecederaan, sementara tujuh orang konstabel polis dari pasukan pengiring ditemui dalam keadaan cedera.

Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Kubu Baru sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur. Hasil post-mortem mendapati Sir Henry Gurney menemui ajalnya akibat kecederaan parah dikepala, sebutir peluru telah dikeluarkan dari jasad Pesuruhjaya Tinggi British itu.

Kawasan di mana Sir Henry Gurney dibunuh.

Lakaran lokasi kejadian

Antara keterangan pegawai polis yang direkodkan.

Perancang Pembunuhan Henry Gurney

Siu Mah, itulah nama komander yang mengetuai  kumpulan komunis yang menyerang konvoi Sir Henry Gurney pada 6 Oktober 1951. Sebelum menyertai pasukan bersenjata Parti Komunis Malaya, Siu Mah yang dilahirkan sekitar tahun 1919 merupakan seorang tukang masak dan penoreh getah. Sewaktu penaklukan Jepun keatas Tanah Melayu, masyarakat cina mendapat layanan yang begitu dasyat dari askar negara matahari terbit itu, maka atas desakan itu, Siu Mah telah menyertai MPAJA (Malayan People Anti-Japanese Army) sebuah pertubuhan yang menentang pencerohohan Jepun dan berpusat di Johor. 

Pada tahun 1949, Siu Mah telah diangkat sebagai komander, beliau memimpin sebuah pasukan pemberontak bersenjata seramai 200 orang, dalam tahun tersebut juga beliau bersama pasukannya telah bergerak dari Johor ke Pahang dengan misi menimbulkan kekacauan di negeri tersebut. Antara keganasan yang dilakukan ialah serangan keatas kenderaan yang membawa Pegawai Daerah Bentong, A. D. Stutchbury. Dalam kejadian tersebut, isteri pegawai daerah berkenaan bersama seorang penterjemah telah ditawan, sementara Stutchbury bersama seorang lagi pembantu dapat meloloskan diri. Isteri Stutcbury dan penterjemah itu kemudiannya dilaporkan telah dibunuh atas arahan Siu Mah.

Serangan keatas konvoi Sir Henry Gurney walaubagaimanapun dipercayai berlaku tanpa dirancang, kerana pihak polis telah mengesahkan tiada berlaku kebocoran maklumat tentang jadual perjalanan Pesuruhjaya Tinggi British itu. Sebaliknya ia berlaku setelah secara kebetulan pasukan komunis itu terlihat kenderaan mewah yang dihiasi bendera yang pastinya membawa orang kenamaan, lalu mereka menjadi mangsa pada hari malang tanggal 6 Oktober 1951, sekitar jam 1 tengahari.


Pemburuan keatas Siu Mah

Atas perisikan selama hampir 8 tahun yang dilakukan, pihak inggeris akhirnya dapat mengenalpasti Siu Mah sebagai orang yang bertanggungjawab atas pembunuhan Sir Henry Gurney. Mulai 19 Februari 1959, satu operasi besar besaran telah dilancarkan bagi memburu Siu Mah dan pasukannya, hampir 4000 anggota tentera, polis, Home Guard dan unit bersenjata yang lain dibawah arahan Brigidier H.G Mogg telah ditugaskan melaksanakan misi tersebut. Dalam tempoh itu, pasukan Siu Mah menjadi semakin lemah, kerana mereka terputus bekalan makanan kerana mereka tidak boleh berada lama di satu-satu kawasan, pasukan yang diketuainya juga semakin mengecil, akhirnya hanya tinggal bertiga, Siu Mah dan dua orang lagi anggota yang bertindak sebagai pengawal peribadinya iaitu Chow Yoon dan Thin Yong.

Siu Mah dibunuh

Setelah beberapa waktu hidup dalam buruan tanpa bekalan makanan, Siu Mah dan aggotanya mengambil keputusan untuk berundur ke kawasan yang hampir dengan  Ipoh, dimana mereka menjadikan sebuah gua sebagai tempat berlindung. Tanpa beliau sedari, kedua-dua pengawal peribadinya sebenarnya telah merancang untuk menyerah diri kepada pihak berkuasa, lalu mereka menjadiakan alasan keluar mencari makanan sebagai alasan untuk keluar dari tempat persembunyian. Chow Yoon dan Thin Yong kemudiannya telah menyerah diri di Balai Polis Ipoh Tengah, mereka juga bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menangkap Siu Mah. Keesokan harinya, operasi menangkap Siu Mah berakhir dengan komander Parti Komunis Malaya itu mati ditembak oleh pihak berkuasa.

Penulis dihadapan TNA seusai tugas disana.

Rujukan:

Assasination of Sir Henry Gurney, Co537/7283. The National Archives.

Gurney's Killer Dies ( 10 Mac 1959), The Straits Times, p. 1

Off: Man who saw Sir Henry Killed (31 July 1960), The Straits Times, p. 4

Sir Henry Gurney is Buried with other victims ( 9 Oktober 1951), The Straits Times, p. 7

Sir Henry Gurney killed - He Drew bandit Fire ( 7 Oktober 1951), The Straits Times, p. 1

Siu Mah: The Killer of Sir Henry Gurney (10 Mac 1959), The Straits Times, p. 6

The Man who was in Gurney's Car...( 10 Mac 1959), The Straits Times, p. 7




Tuesday, May 14, 2013

Sekolah budak-budak nakal pertama di Malaysia.

Oleh : Harith Faruqi Sidek



Sekolah pemulihan budak-budak nakal ( Handicapped in life) yang pertama di negara kita terletak di Dusun Tua, Selangor. Sekolah ini dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu, Sir Edward Gent pada 14 Mei 1948. Kumpulan pelajar pertama sekolah ini adalah seramai 47 orang yang tergolong dari mereka yang bermasaalah dari segi disiplin hidup akibat kurang kasih sayang dan penjagaan yang sempurna. Dua tahun kemudian, pada tanggal 19 Julai 1950, Sekolah Henry Gurney pertama yang terletak di Telok Mas, Melaka dibuka, sekolah ini mempunyai tujuan yang sama sepertimana sekolah di Dusun Tua.

Sumber:

Hari ini dalam sejarah, Arkib Negara Malaysia


The Singapore Free Press, 18 May 1948, Page 5

Tuesday, May 07, 2013

Sekilas Kenangan: Pilihanraya Umum Persekutuan Tanah Melayu 1955.

Oleh : Harith Faruqi Sidek


Muka hadapan yang melaporkan kemenangan Perikatan ( TST, 28 Julai 1955)

Malaysia baru sahaja melalui proses pilihanraya yang ke-13, satu sistem pemilihan kerajaan sepertimana yang dituntut bagi sebuah negara demokrasi. Dalam PRU pertama tahun 1955, gabungan parti Perikatan ( Gabungan UMNO, MCA dan MIC) telah memperoleh kemenangan yang hampir bersih, iaitu dengan memenangi 51 kerusi parlimen, hanya satu kerusi dimenangi oleh pihak lawan, iaitu dari  Parti Islam SeMalaya yang dikenali sebagai PMIP pada ketika itu. Kerusi tunggal yang dimenangi oleh PMIP itu ialah bagi kawasan Krian, Perak, dan calon mereka yang bertanding disitu ialah Haji Ahmad Tuan Hussain.

Keyakinan yang dizahirkan oleh Dato' Onn Jaafar ( Parti  Negara) dan Tengku Abdul Rahman ( Perikatan) . ( TST , 27 Julai 1955)

Keputusan pilihanraya 1955 yang disiarkan dalam The Straits Times, 29 Julai 1955.

Kemenangan tunggal PMIP (kemudiannya dikenali  sebagai PAS)  di kawasan Krian,  menerusi calon mereka , Haji Ahmad Tuan Hussain ( Sumber : TST, 29 Julai 1955)

Ulasan Dato Onn tentang kegagalan parti pimpinannya dalam PRU 1955 ( TST, 29 Julai 1955)


Kerusi Parlimen Perdana Menteri

Tengku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri pertama yang dilantik selepas PRU 1955 telah bertanding di kawasan Sungai Muda, Kedah. Beliau telah menewaskan lawannya Syed Jan Al Jefri yang bertanding diatas tiket bebas dengan majorit undi sebanyak 20,987 undi.

Kawasan Sungei Muda yang dimenangi oleh Tengku Abdul Rahman (TST,  29 Julai 1955)


Tumbangnya tokoh -tokoh besar

Dalam PRU tahun 1955, kejutan terbesar yang  berlaku ialah apabila Datuk Onn Jaafar yang bertanding atas tiket Parti Negara telah tewas di kawasan yang beliau tandingi, Johor Bahru. Tokoh lain yang tewas ialah;

- Datuk Nik Ahmad Kamel ( Bekas Menteri Besar Kelantan - Parti Negara - Kelantan Selatan)

- Dato' Haji Syed A. Kadir (Bekas Menteri Besar Johor - Parti Negara- Batu Pahat)

- Dr. R. Seenivasagam ( PPP - Ipoh - Menglembu)

- Hassan Adli Haji Hassan (PIMP - Telok Anson)

- Mohamed Asri Haji Muda (PIMP - Kelantan Timor)

Kekalahan Dato Onn Ja'afar di kawasan Johor Bahru ( TST, 29 Julai 1955)
Kekalahan teruk Dato Onn Jaafar seperti yang dilaporkan dalam The Straits Times bertarikh 28 July 1955

Bekas Menteri Besar Kelantan, Dato Nik Ahmed Kamil 'gugur' di kawasan Kelantan Selatan ( TST, 29 Julai 1955)


Pekerja dihalang keluar mengundi

Antara isu menarik dan kontroversi yang berlaku sewaktu pilihanraya 1955 ialah, kontroversi yang berlaku keatas pekerja syarikat Keretapi Tanah Melayu ( Malaya Railways). Para pekerja tidak diberi kelepasan untuk keluar mengundi oleh pihak pengurusan, keadaan ini menyebabkan wakil pekerja telah menyampaikan aduan kepada ibupejabat parti Perikatan. Akhirnya arahan telah dikeluarkan kepada pihak pengurusan agar memberi pelepasan khas untuk mengundi, arahan tersebut dipatuhi dan pada pekerja diberi pelepasan selama dua jam untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi. 

Hujan lebat di Bangi

Sementara itu di Bangi, hujan lebat telah turun, lalu ramai pengundi terperangkap dan gagal ke pusat pembuangan undi. Satu peristiwa menarik yang berlaku ialah, parti perikatan yang menyediakan kemudahan pengangkutan kepada pengundi telah menawarkan perkhidmatan mereka kepada sekumpulan pengundi, namun tawaran mereka ditolak dengan alasan mereka adalah pengundi Parti Negara. ( TST, 28 Julai 1955)


Onn Jaafar dan Eisenhower berbeza nasib

Dato Onn Jaafar yang mengetuai Parti Negara telah menyatakan hasrat untuk mengikut jejak Presiden Amerika Syarikat, Eisenhower iaitu tidur ketika undian dikira. Beliau juga berseloroh agar kemenangan yang dikecapi oleh Eisenhower turut berlaku keatas dirinya, malangnya perkara itu tidak berlaku, Dato Onn tewas dengan majoriti agak besar di kawasan Johor Bahru.


Wartawan The Straits Times dihalau

Kejadian wartawan diarahkan meninggalkan premis Parti yang bertanding turut berlaku pada pilihanraya 1955, wartawan The Straits Times telah dihalau dari premis Parti UMNO yang bertanding dibawah gabungan Perikatan oleh seorang petugas parti, mereka turut dilabel sebagai musuh Perikatan. Namun kontroversi ini kembali tenang apabila seorang tokoh Perikatan, iaitu Datuk Suleiman Abdul Rahman telah memohon maaf bagi pihak temannya itu, dan menyatakan halangan yang dikenakan keatas wartawan The Straits Times itu bukan pendirian parti, sebaliknya adalah pertimbangan individu terbabit.( TST, 28 Julai 1955)

Taktik meraih undi

Parti Negara Negeri Sembilan telah mendakwa kemenangan parti Perikatan di negeri itu adalah disebabkan parti tersebut menggunakan khidmat wanita cantik untuk meraih undi. ( TST, 29 Julai 1955). 




Rujukan:


How the people voted  ( 29 July 1955) The Straits Times.
Missing Tengku Mystery ( 28 July 1955) The Straits Times.
'Self-Rule come first, my plan- by the Tengku ( 29 July 1955) The Straits Times.
The glory of not being even the second best  ( 29 July 1955) The Straits Times.
They celebrate the moment of victory ( 29 July 1955) The Straits Times.

Wednesday, May 01, 2013

Buku Klasik : Daftar Buku2 Terbitan Malaysia 1972.

Oleh : Harith Faruqi Sidek

Buku 390 mukasurat ini telah disusun oleh penerbitnya, Pustaka Antara dan diterbitkan pada tahun 1972. Buku ini menghimpunkan buku - buku yang diterbitkan di Malaysia, Singapura dan Brunei (sepertimana yang tertera pada kulit buku) yang diterbitkan oleh 81 buah penerbit yang terpilih. Senarai buku ini disusun mengikut dua kaedah, iaitu mengikut judul buku, dan  mengikut nama pengarang.


Kulit buku yang menggunakan judul Bibliografi Buku-buku Melayu yang diterbitkan di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Kulit verso pula judulnya ialah Daftar Buku2 Terbitan Malaysia.
Maklumat penyumbang buku ini dilekatkan pada kulit dalam buku ini.
Senarai 81 Penerbit buku yang menyumbang kepada daftar yang  disusun  dalam buku ini.
Antara Penerbit yang tersenarai
Penerbit yang popular pada suatu ketika dahulu, Harmy turut  tersenarai.
Daftar senarai mengikut Judul

Antara pengarang yang tersenarai didalam buku ini ialah, Arena Wati, Usman Awang, A. Samad Said, Keris Mas, A. Teeuw, Awam-il Sarkam, Kala Dewata, Pak Sako, Harun Aminurrashid, Adibah Amin, Asmah Hj Omar, Nora, Aziz  Afkar, Mokhtar Petah, Za'ba, HB Jassin, Shaharom Hussein dan ramai lagi. 

Daftar senarai mengikut Pengarang
Pak Harun Aminurrashid atau HAR.
Antara buku karya HAR yang disenaraikan
Senarai buku karya Shaharom Hussein

Senarai karya Za'ba
Awam-il-Sarkam

Aziz Afkar

HB Jassin

Kala Dewata

Mokhtar Petah

Nora

Datuk A. Samad Said
Buku ini merupakan sumbangan Allahyarham Abu Zaky Fadzil dan boleh dirujuk di Bahagian Koleksi Arkib dan Khas (nombor panggilan sementara 330) , Perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM. 

Monday, April 15, 2013

Seniman Haji Mahadi : Pengarah, Pelakon dan Pendakwah.

Oleh :  Harith Faruqi Sidek

Haji Mohd Mahadi Mohd Said  ( credit : cinemamalaysia.com.my)

Bila menyebut nama seniman Haji Mahadi, ramai yang tidak dapat memberi gambaran diri beliau secara langsung, tetapi bila diberi bayangan nama Abdul Wahab dalam filem Tiga Abdul, barulah wajah seniman ini dapat dibayangkan. Seniman Haji Mahadi atau nama sebenarnya Mohd Mahadi Mohd Said merupakan anak kelahiran Kampung Merbuk, Negeri Sembilan, beliau dilahirkan dalam tahun 1914. Haji Mahadi dilahirkan didalam sebuah keluarga yang besar, beliau merupakan anak kelapan daripada 15 orang adik beradik, ayahanda beliau merupakan seorang tokoh agama yang terkenal, iaitu Syaikh Muhammad Said Jamaluddin Al-Linggi, sementara abang sulungnya, Tuan Sheikh Haji Ahmad Muhammad Said pula merupakan bekas mufti Negeri Sembilan.

Haji Mahadi pernah mendapat pendidikan agama di Kota Makkah sewaktu berusia 14 tahun, beliau telah dihantar mengikuti  pengajian di Madrasah al-Falah selama dua tahun. Dengan pengalaman itu, maka tidak hairanlah mengapa beliau sudah pun bergelar 'Haji' ketika mula menyertai Malay Films Production atau MFP. Haji Mahadi pernah mendirikan rumahtangga dengan seniwati Mak Enon dan seniwati Khadijah Hodri (Jah Mahadi) namun jodoh beliau dengan kedua bintang filem berkenaan tidak lama, mereka berpisah jua.(Utusan Malaysia, 1 Jun 2001).


Dari Wartawan ke Pengarah Filem

Haji Mahadi memasuki alam pekerjaan dalam tahun 1939 dengan menyertai syarikat akhbar, Utusan Melayu di Singapura sebagai  wartawan, rakan setugas beliau pada ketika itu pastinya wartawan melayu terkenal, Pak Rahim Kajai dan Pak Sako. Haji Mahadi kemudiannya berpindah ke akhbar Warta Malaya sebagai wartawan sukan.

Pada tahun 1948, beliau melangkah ke Studio MFP di Jalan Ampas untuk mencuba nasib sebagai seorang penterjemah skrip, kemudian beliau diberi peluang berlakon dalam filem Pengorbanan. Tanpa disangka dua tahun kemudian, Haji Mahadi telah diberi kepercayaan oleh pengurusan MFP untuk menjawat jawatan Pengarah Filem, secara tidak langsung beliau telah mencatat sejarah sebagai orang melayu pertama yang menjadi Pengarah Filem di MFP, mendahului bintang-bintang besar Jalan Ampas yang lain seperti P.Ramlee, Omar Rojik, S. Kadarisman serta ramai lagi.(Berita Minggu, 4 November 2012). Filem 'Permata di Perlimbahan merupakan filem arahan beliau yang pertama dan terakhir, filem ini tidak mendapat sambutan di pawagam, meskipun membariskan nama besar seperti Nordin Ahmad dan Maria Menado. 


Menjadi Pelakon

Akur dengan ketentuan beliau gagal di kerusi kepengarahan, Haji Mahadi meneruskan kerjaya seni beliau sebagai seorang pelakon. Satu demi satu filem keluaran MFP beliau bintangi, malah pada tahun 1956, lakonan beliau mendapat penghargaan sehingga dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Pesta Filem Melayu di Singapura. Dua tahun kemudian dalam tahun 1964, Haji Mahadi mencuba watak komedi dengan membintangi filem arahan P. Ramlee, Tiga Abdul, ternyata filem inilah yang benar-benar menyerlahkan nama beliau dan memahat kenangan nama Haji Mahadi hingga ke hari ini. 

"Ana saudagar burung...bukan saudagar tahi"...sebagai Abdul Wahab dalam filem 'Tiga Abdul' ( Sumber : www.youtube.com)

Haji Mahadi dalam filem ' Si  Tanggang'  ( Sumber: Arena Filem, 1961)

Haji Mahadi dalam filem 'Indera Bangsawan' ( Sumber : Arena Filem, 1961)

Antara filem lain lakonan beliau ialah, Salah Siapa, Iman, Ribut, Pusaka Pontianak, Doktor, Iman, Budi dan Dosa, Pawang, Kaca dan Permata, Singapura Dilanggar Todak, Hang Tuah dan beberapa lagi. Filem terakhir lakonan Haji Mahadi ialah Raja Bersiong, Permintaan Terakhir dan Jebak Maut. ( Berita Minggu, 4 November 2012). Selepas meninggalkan dunia lakonan, Haji Mahadi bekerja sebagai Pegawai Perhubungan Awam dengan Syarikat Haji Ibrahim Bersaudara, yang juga  menaungi Syarikat Indra Filem. Selain watak Abdul Wahab dalam Tiga Abdul, watak lain yang memberi kesan ialah sebagai Iblis dalam filem Iman.

Sebagai 'Iblis' dalam filem 'Iman' ..( Sumber: www.Youtube.com)


Sebagai pendakwah di Boon Teck Road

Sebagai seorang yang berpendidikan agama, Haji Mahadi tidak memisahkan tanggungjawab berdakwah meskipun bergelar seniman. Sewaktu tinggal di 'perkampungan artis' MFP di Boon Teck Road, Singapura, peranan dan sumbangan Haji Mahadi dalam soal kebajikan dan dakwah dikalangan penduduk disitu begitu ketara. Menurut Allahyarham Seniwati Normadiah, Haji Mahadi disifatkan umpama seorang ayah kepada semua artis melayu pada ketika itu, beliau begitu dipandang tinggi kerana sifat beliau yang pengasih serta tidak jemu memberi panduan hidup dari aspek agama mahupun kebajikan (Berita Harian, 27 Februari 1983). Seniman Allahyarham Datuk Ahmad Daud juga mempunyai pandangan yang sama, malah antara nasihat Haji Mahadi yang sering diberikan kepada mereka ( para artis) ialah, jangan sesekali melupakan tanggungjawab untuk akhirat meskipun sibuk dengan kerjaya sebagai seniman. Haji Mahadi turut menjadikan madrasah yang ada di Boon Teck Road sebagai tempat beliau berdakwah, khususnya kepada golongan artis.(Berita Harian, 27 Februaru 1983).

Akrab...Haji Mahadi dan Datuk Ahmad Daud  (Sumber:  cinemamalaysia.com.my)


Perginya seoranag bintang

Seniman Haji Mahadi meninggal dunia pada 20 Februari 1983 ketika berusia 69 tahun akibat sakit Jantung. Haji Mahadi meninggalkan seorang balu, Rosminah Marzuki dan tujuh orang anak. 


Rujukan


Anak Melayu pertama jadi pengarah filem. (4 November 2012). Berita Minggu.

Bintang Filem Zaiton sebagai anak saudagar. (Ogos 1961). Arena Filem, 17.

Cerita filem Indera Bangsawan. ( 1961). Arena Filem, 4.

Juwie, Oda dan Syila. (27 Februari 1983). Haji Mahadi : 'bapak' kepada bintang2 di Boon Teck Rd, Berita Harian.

Orang muda2 dijadikan tua. (Mac 1962). Arena Filem, 12.

Pelakon Jah Mahadi meninggal dunia. ( 1 Jun 2001). Utusan Malaysia.

Perginya seorang pelakon yang berperibadi tinggi... (27 Februari 1983). Berita Harian.

Zainuri Misfar. (1 Februari 1998). Haji Mahadi aktor unggul, Berita Harian.

Saturday, April 06, 2013

Catatan Dari Bumi Anbiya' 2 : Perihal Jam tangan Mekah


Jam tangan mesra islam.
Kalau disebut Jam Mekah, pasti yang terbayang ialah jam-jam buatan negara china yang dijual oleh penjaja di jalanan atau dikedai-kedai. Jam dengan jenama yang agak asing ini dijual dengan harga semurah 5 SR hingga 10 SR. Tetapi jam tangan yang akan saya kisahkan ini ialah jam yang lebih berkualiti serta mempunyai ciri-ciri yang diperlukan oleh seorang muslim, iaitu waktu solat serta arah kiblat. Terdapat dua jenama yang menawarkan ciri-ciri tersebut, iaitu CASIO dan AlFAJR.

1) Casio Prayer Compass.

Model CPW 310 ini sudah lama berada didalam pasaran, iaitu sejak tahun 90an, jam ini juga dikenali sebagai Jam Tok Guru kerana ia turut dipakai oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat. Sewaktu diawal keluarannya,jam ini boleh didapati dengan harga sekitar RM200, tetapi harganya mulai meningkat apabila mula mendapat sambutan, menurut seorang penjual jam yang saya temui, ada kedai yang telah mula menawar harga sekitar RM400 kerana model ini mulai sukar ditemui dan syarikat pengeluarnya, Casio telah mengeluarkan model gantian. Jam ini saya beli dengan harga RM374, sementara ketika berada di  Mekah, model yang serupa dijual dengan harga 438 SR ( kira-kira RM357).

Casio Prayer Compass CPW310

Dikotaknya turut disertakan perakuan seorang ahli falak, AlHabib Alawi berkenaan ketepatan arah kiblat yang dijana oleh kompass pada jam tangan ini.

Set lengkap sepertimana dipasaran.

2) AlFAJR

AlFAJR adalah jenama yang popular di Arab Saudi, jam ini buatan China, tetapi mempunyai kualiti yang bagus serta mempunyai ciri-ciri yang hampir sama seperti yang ada pada Casio CPW310. Sewaktu di Mekah, saya sempat membeli dua utas jam ALFAJR, iaitu model WP-04 G dan WY 16. 

ALFAJR model WP-04 G yang dibeli dengan harga 100 SR, jam ini saya pakai sewaktu melakukan Umrah. Kalau diperhatikan pada muka jam ini, waktu 5.54 adalah waktu solat subuh di Malaysia.

ALFAJR model WY 16 ini dibeli dengan harga 180 SR, rekabentuknya yang menyerupai jam tangan keluaran SWATCH menyebabkan saya tertarik untuk memilikinya.

Fungsi arah kiblat yang terdapat pada jam tangan ALFAJR WY 16.

Dua model jam tangan ALFAJR.

Casio vs ALFAJR...perhatikan perbezaan satu minit bagi solat Subuh  yang ditunjukkan.

3) CASIO A159W 

Meskipun Casio Prayer Compass dan ALFAJR merupakan jam tangan bercirikan islam, namun pada pemerhatian saya, penduduk mekah dan Madinah tidak memerlukan sangat ciri-ciri tersebut, sebab itu jam tangan yang paling banyak menghiasi tangan penduduk Mekah dan Madinah ialah dari model CASIO A159W, jam biasa yang didatangkan dalam versi stainless steel dan plastik. Faktor masyurnya model ini juga telah menyebabkan ada keluaran model tiruan yang seakan dengannya, tetapi namanya diubah kepada 'CASLIO' dan 'ALARM', jika model asli dijual dengan harga sekitar 25-35 SR,model tiruan ini hanya 5 SR. Terdapat dua versi yang ada dalam pasaran, versi buatan Jepun yang dijual dengan harga 35 SR dan versi buatan Malaysia yang diletakkan tanda harga sebanyak 30 SR.

Jam CASIO A519W ini saya beli dengan harga 35 SR, jika pandai tawar menawar, anda boleh dapat  harga sehingga 25SR.

Asli atau tiruan, saya sendiri meragui keasliannya.
4) O&Q

Mungkin imitasi dari model Q&Q, jam ini uniknya kerana menggunakan nombor arab, maka atas sebab itu saya beli. Ia juga tidak popular dikalangan penduduk Mekah dan Madinah.