Sunday, November 18, 2012

Warisan Darah dan Airmata di Muzium Perang Pulau Pinang.

Oleh : Harith Faruqi Sidek


Pintu masuk Muzium Perang Pulau Pinang

Antara lokasi yang menarik untuk dilawati jika melancong ke Pulau Pinang ialah Muzium Perang (War Museum) yang terletak di Batu Maung, atau alamat lengkapnya Lot. 1350, Mukim 12, Daerah Barat Daya, Batu Maung, 11960, Pulau Pinang. Muzium merupakan kubu perang yang asalnya dibina oleh tentera British sekitar tahun 1930an sewaktu era perang dunia kedua, ianya dibina sebagai langkah mempertahankan Pulau Pinang daripada serangan musuh. Kubu ini dibina dengan keluasan 20 ekar diatas Bukit Batu Maung, projek pembinaanya dipertanggungjawabkan kepada pasukan jurutera diraja British ( The Royal British Engineer) dengan bantuan buruh dari kalangan rakyat tempatan serta yang dibawa dari tanah jajahan British yang lain. 

Grafik kawasan muzium yang seluas 20 ekar.

Kubu ini dilengkapi dengan terowong bawah tanah serta kemudahan ketenteraan yang lain seperti kubu peninjau, berek tentera, penjara, kubu anti kapal terbang, meriam, pusat rawatan dan lain-lain. Sewaktu Pendudukan Jepun sekitar tahun 1942, kubu ini telah ditawan dan dijadikan markas dimana tawanan perang ditahan, diseksa dan dibunuh oleh tentera Jepun. Antara peninggalan yang menarik ialah dikawasan ini masih kekal beberapa buah perkuburan milik tentera British dan Jepun, malah kawasan dimana tentera Jepun melaksanakan hukuman pancung turut dipelihara.

Menurut seorang petugas, muzium ini mula dibersihkan untuk dipelihara pada tahun 2002, iaitu pada ketika projek pembangunan di kawasan Batu Maung mulai rancak, sebelumnya kubu lama ini terbiar dalam misteri, malah Bukit Batu Maung itu juga dikenali sebagai 'Bukit Hantu'. Pengurusan muzium perang ini dibawah tanggungjawab Penang War Museum Sdn. Bhd. Para pengunjung dikenakan yuran masuk sebanyak RM20 untuk dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak atau tiket keluarga (2 dewasa dan 2 kanak-kanak) bernilai RM55.

Tiket keluarga bernilai RM55 (dua dewasa dan dua kanak-kanak).

Bag Galas milik tentera British

Ruang pengudaraan bagi salah satu bilik bawah tanah yang dibina

Selaras senapang yang dibekalkan bagi kegunaan tentera Gurkha.

Berus Gigi dan Ubat Gigi yang digunakan oleh tentera British

Antara peralatan peribadi yang dibekalkan kepada tentera, peralatan ini dipercayai dikilangkan di  Australia, ianya turut digunakan dalam perang Korea.

Laluan dalam lorong yang masih kukuh. Untuk merasai pengalaman masuk ke terowong ini, pelawat akan dibekalkan dengan lampu picit oleh petugas dek kerana terowong ini memang gelap dan tiada sumber pencahayaan asli.
Telaga yang dibina oleh Tentera pasukan Jurutera Diraja British

Tempat asal dimana salah satu senapang anti kapal terbang diletakkan


kuarter bagi pegawai pangkat tinggi  yang bertugas mengikut giliran.

Tangga asal menuju kawasan meriam yang masih dalam keadaan asal.


Dua buah peluru sebagai hiasan

Salah satu daripada 20 senapang anti Kapal Terbang yang terdapat di Kubu ini, senapang ini mampu menembak sejauh 14,000 kaki, untuk mengelak dari ditembak, pasukan udara Jepun terpaksa menerbangkan pesawat melebihi sekitar 16,000 kaki di udara.

Kubu peninjau dengan tapak mesin gun.

Kawasan dimana tentera Jepun melaksanakan hukuman pancung!!..

Peralatan yang digunakan oleh tentera Jepun bagi menyiksa tahanan perang mereka.

Bilik dimana tahanan perang diseksa oleh tentera Jepun

Bilik yang menempatkan generator yang menjadi sumber tenaga letrik bagi kawasan kubu ini.

Kawasan dimana tahanan perang dipancung oleh tentera Jepun yang bernama Suzuki. Setelah mangsa dipancung, Suzuki akan menitiskan darah yang menitik dari pedang beliau kedalam botol wain. Menurut kepercayaan, bangsa yang darahnya diminum tidak akan berani bangkit menentang tentera imperial Jepun.

Sistem kumbahan yang digunakan di setiap kuater, siapa agaknya yang ditugaskan untuk mengosongkan tong-tong najis itu ya...

Kuater pegawai British, kuater ini boleh menempatkan sehingga 11 orang pegawai.

Buku-buku yang terdapat di bilik pegawaitentera  British, tidak pasti sama ada buku-buku tersebut adalah yang asal atau sekadar hiasan.

Siren kecemasan yang digunakan...tuil perlu dipusingkan untuk menghasilkan bunyi.

Alat pemadam api (seperti yang ada di sekolah sekitar tahun 1980an) yang ada di Kuater tentera British.

Lokap yang digunakan untuk mengurung tahanan perang.

Kuater yang dikhaskan untuk tentera Melayu yang bertugas di Kubu ini.

Salah satu bilik di kuater askar melayu, ianya boleh menempatkan seramai 14 orang tentera. para pengunjung diberi amaran adanya ular di kawasan berek ini.


Dapur yang terdapat di kuater tukang masak yang khusus menyediakan makanan untuk askar melayu, antara menu yang sering disediakan ialah yang berasaskan daging, roti, ubi kentang dan kari.

Bilik tidur dikuater yang dikhaskan untuk Tukang Masak.

Bangunan yang menempatkan bilik-bilik rawatan yang diasingkan mengikut kategori penyakit.

Bilik yang dikhaskan untuk pegawai perisik tentera.

Perabot yang terdapat didalam bilik khas untuk pegawai perisik tentera.

Salah satu bilik bawah tanah yang terdapat didalam kubu ini.

Salah satu terowong yang agak moden dibina oleh tentera British, ianya mempunyai binaan yang kukuh serta sistem pengudaraan yang baik seandainya pintu terowong gagal dibuka.

Penulis berada di tebing Bukit Batu Maung, kelihatan di latar belakang adalah jambatan kedua Pulau Pinang yang nampaknya sudah hampir sempurna pembinannya (sikit lagi nak bersambung).


Melawat ke Muzium ini adalah amat disyorkan bagi pencinta sejarah, penyelidik atau para pelancong, ianya dapat memberi sedikit sebanyak gambaran nyata tentang warisan kehadiran tentera British dan Jepun di Tanah Melayu ketika kancah perang dunia kedua.

Thursday, November 01, 2012

Tan Sri Abdul Kadir Yusof : Pencetus idea penubuhan Fakulti Undang-undang UKM.

Oleh : Harith Faruqi Sidek


Tan Sri Abdul Kadir Yusof  (Sumber : http://historycomiteesmkcs.blogspot.com)

Fakulti Undang-Undang UKM telah ditubuhkan pada 1 Februari 1984, namun idea penubuhannya telah dilontarkan 14 tahun sebelum penubuhannya. Idea penubuhan sebuah Fakulti Undang-Undang di  Universiti Kebangsaan telah disyorkan oleh Peguam Negara pada ketika itu, Tan Sri Abdul Kadir Yusof. Tan Sri Abdul Kadir berkongsi idea tersebut ketika merasmikan Perkhidmatan Biro Bantuan Guaman yang beroperasi di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Antara asas kepada cadangan beliau itu adalah, ianya dapat membantu perkembangan Universiti Kebangsaan yang pada ketika itu baru beroperasi dengan tiga buah fakulti perintis, Fakulti  Islam, Fakulti Sastera dan Fakulti  Sains. 

Keratan akhbar Berita Harian, 30 Ogos 1970.

Pada masa yang sama, sejajar dengan matlamat penubuhan UKM yang memartabatkan Bahasa Kebangsaan, Tan Sri Abdul Kadir turut menegaskan bahawa aliran kebangsaan yang ada di UKM akan membantu dalam menyediakan pengamal undang-undang yang mahir apabila tiba saatnya Bahasa Kebangsaan bakal digunakan sepenuhnya di Mahkamah. Selain dari itu, beliau turut mendedahkan bahawa setiap tahun kira-kira 200 orang pelajar Malaysia  dihantar melanjutkan pelajaran dalam bidang perundangan di Universiti luar negara, fenomena ini menurut beliau secara jelas menunjukkan bahawa adalah sangat wajar sebuah fakulti Undang-Undang ditubuhkan di Universiti tempatan, khususnya Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tan Sri Abdul Kadir merupakan suami kepada Tun Fatimah Hashim, wanita pertama yang dilantik sebagai Menteri Persekutuan, anak ketiga beliau Professor Emeritus Dato' Dr. Khalid Abdul Kadir pula merupakan mantan Pengarah Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) yang kini dikenali sebagai Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).



Rujukan :


_______. (30 Ogos 1970). Fakulti Undang2 di-shorkan di-Universiti Kebangsaan. Berita Harian . p.3

Anak-anak Johor Tersohor . at http://historycomiteesmkcs.blogspot.com

http://ms.wikipedia.org/wiki/Fatimah_Hashim



Saturday, October 27, 2012

Penubuhan Perpustakaan Awam Negeri Melaka dalam era Pentadbiran Negeri-negeri Selat.

Oleh : Harith Faruqi Sidek



Bangunan Stadhouse (Stadhuys) yang menempatkan Perpustakaan Awam terawal di Melaka. (Sumber : TST, 17 May 1936).



Penubuhan Negeri-negeri Selat adalah kesan daripada perjanjian Inggeris – Belanda pada 1824, ianya menyaksikan pentadbiran negeri-negeri di Tanah Melayu dibahagi diantara dua kuasa penjajah tersebut. Negeri-negeri di utara di bawah pentadbiran Inggeris, sementara negeri di Selatan terletak dibawah pentadbiran Belanda. Perjanjian tersebut juga melihatkan Belanda menyerahkan Melaka kepada Inggeris sebagai pertukaran dengan Bangkahulu di Sumatera  yang asalnya milik Inggeris, selain daripada itu, Belanda juga bersetuju mengiktiraf kuasa autonomi inggeris keatas Singapura.

Kesan kedatangan inggeris ke negeri-negeri selat dapat dilihat sehingga ke hari ini, selain nama-nama inggeris yang diabadikan di penempatan dan bangunan, mereka turut meninggalkan jejak yang memberi kesan kepada tradisi keilmuan di Tanah Melayu. Institusi Perpustakaan adalah lambang perkembangan dan pembudayaan ilmu, maka agak menarik bila institusi ini mula dikesan wujud sejak Tanah Melayu berada dibawah pentadbiran Inggeris. Dalam tempoh pentadbiran negeri-negeri selat mulai 1826 hingga 1946, beberapa perpustakaan telah diwujudkan, termasuk perpustakaan sekolah, namun yang akan dikongsikan dalam penulisan ini ialah mengenai tertubuhnya perpustakaan awam yang pertama di Melaka.

Perpustakaan Melaka dikatakan telah ditubuhkan sekitar bulan November 1881 dengan inisiatif sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh C.J Irving. Pada peringkat awal, perpustakaan ini ditempatkan di sebuah rumah rehat sebelum dipindahkan ke bangunan Stadthuys atau disebut juga sebagai Stadthouse. Kos pembangunan yang diperolehi dari hasil sumbangan adalah sekitar $598 (The Straits Times, 17 Mei 1936:10). Tetapi laporan Straits Times Overland Journal bertarikh 12 November 1881 melaporkan rentetan tertubuhnya Perpustakaan Awam Melaka bermula dengan satu mesyuarat yang diadakan pada hari sabtu, 11 november 1881 di Court House yang khusus bagi membincangkan cadangan menubuhkan sebuah perpustakaan di negeri itu, iaitu sepertimana perpustakaan yang lebih awal wujud di Singapura dan Pulau Pinang. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pemangku Residen Councillor, D.F.A Harvey itu telah sebulat suara menerima usul penubuhan Perpustakaan Awam Melaka yang dibaca oleh C.W. Rodyk dan disokong oleh W. Rodyk. Mesyuarat tersebut juga bersetuju bahawa panduan dan peraturan perpustakaan yang akan digunapakai kelak adalah diambil atau diubahsuai daripada yang sedang dilaksanakan di Raffles’s Library, Singapura. Selain dana awam yang telah terkumpul sebanyak $611, mesyuarat juga memohon jawatankuasa penubuhan perpustakaan melaka yang akan diwujudkan memohon bantuan kewangan tambahan selain ruang di mana-mana bangunan kerajaan untuk menempatkan perpustakaan tersebut kelak. Ahli jawatankuasa penubuhan Perpustakaan Melaka yang telah dilantik dalam mesyuarat tersebut ialah:

President : D.F.A Hervey (Pemangku Residen Councillor di Melaka)
Bendahari : J.K Birch (Mejistret jabatan Polis Melaka)
Setiausaha: C.W Rodyk (Pengetua Sekolah Tinggi Melaka)
Ahli:       J.H Verge
                Tan Tek Guan
                A.J Collier
                Lee Keng Liat
                A.A De Wind
                Lee Teck Joo
                W.Rodyk
                Americo De Souza
                B. Gastelow
               

Agak menarik juga bila mendapati terdapat nama rakyat tempatan dalam mesyuarat penubuhan tersebut, selain Tan Tek Guan dan Lee Keng Liat yang terpilih menganggotai Jawatankuasa Penubuhan Perpustakaan Melaka, nama Yeo Kim tee turut dilaporkan dalam laporan akhbar tersebut. Perpustakaan ini dipercayai yang ketiga wujud di Malaya, iaitu selepas Perpustakaan Pulau Pinang dan Raffles Library di Singapura yang ditubuhkan pada 1817 dan 1874.

Mulai disember 1881, perpustakaan ini telah mempunyai koleksi bahan bacaannya yang terawal, bahan tersebut ialah majalah Chatterbox, Every Boy’s Magazine, Every Girl’s Magazine, Family Herald, Fun and Almanack, Gentleman’s Magazine, Good Words and Christian Number dan Myra’s Journal. Kebanyakkan bahan ini dilbekalkan oleh pembekal luar Negara, khususnya dari United Kingdom.
Contoh Majalah "Chatterbox" (Sumber : library.unt.edu)


Contoh Majalah "Everyboy's Magazine" (Sumber : http://www.philsp.com/data/data132.html)
Jawatan tertinggi dalam struktur organisasi Perpustakaan Melaka ialah Presiden, ianya disandang oleh Charles John Irving, beliau merupakan bekas pegawai di Colonial Office Land and Emigration Department, Resident Councillor di Melaka sebelum bersara sebagai Resident Councillor di Pulau Pinang. Perpustakaan Melaka tertubuh adalah hasil inisiatif beliau sewaktu masih memegang jawatan sebagai Resident Councillor di Melaka, pada masa itu juga beliau diamanahkan jawatan Presiden kepada jawatankuasa Perpustakaan. Kakitangan terawal perpustakaan ini ialah Norman Symons, beliau dilantik menjalankan tugas sebagai seorang pustakawan dengan gaji $20 sebulan. Jawatankuasa perpustakaan kemudiannya melantik dua orang peon (pembantu pejabat) dengan gaji $6 sebulan.

Akibat masalah belanjawan yang terhad, jawatankuasa perpustakaan Melaka terpaksa merombak semula perjawatan, mereka telah menamatkan khidmat Norman Symons selaku pustakwan, tempat beliau digantikan dengan seorang kerani yang menerima gaji sebanyak $10 sebulan, sementara seorang peon turut diberhentikan , tetapi kemudianya digantikan dengan membuat pengambilan baru dengan tawaran gaji permulaan yang lebih rendah iaitu $2 sebulan.

Laporan mesyuarat agung jawatankuasa perpustakaan pada januari 1887 menunjukkan perpustakaan Melaka telah mempunyai koleksi buku sebanyak 1,129 naskah, sementara rekod pengunjung pula adalah melebihi 200 orang sebulan. Sementara bacaan popular adalah akhbar The Straits Times dan The Singapore Free Press. Perpustakaan Melaka juga telah mempunyai keahlian berdaftar seramai 40 orang yang kebanyakkannya terdiri dari pegawai tinggi British, antaranya Pendaftar Mahkamah Melaka, Charles Eugene Velge dan Seorang peguam terkemuka, R.W Braddell, dan yang menariknya terdapat dua nama rakyat tempatan yang tercatat dalam rekod keahlian tersebut, mereka ialah Lee Tek Joo dan Lee Tek Guan.

Akhbar Singapore Free Press merupakan bahan bacaan yang popular pada ketika itu.

Diantara tokoh era colonial yang pernah menganggotai Jawatankuasa Perpustakaan Melaka ialah Sir Ernest W. Birch, beliau adalah anak kepada J.W.W Birch, Residen British yang mati dibunuh di Perak. E.W Birch pernah berkhidmat sebagai Residen British di Labuan, Gabenor British di Borneo Utara dan Residen di Negeri Sembilan. Beliau menyertai Jawatankuasa Perpustakaan Melaka pada mac 1888. Selain Birch, tokoh lain yang turut menganggotai Jawatankuasa Perpustakaan Melaka ialah Dr. G.W Freer (Pakar Bedah di Melaka, kemudiannya menjadi Pengarah Hospital Pulau Pinang dan pada 1905 dilantik menjadi Pengetua Pertama Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura), E.C Broadrick (Presiden Perbandaran Singapura) dan J. Howell (Pengetua Sekolah Tinggi Melaka).

Sewaktu dibawah Rev. Frank Haines, Perpustakaan Melaka telah cuba memperkenalkan waktu pembukaan baru yang lebih panjang. Sepanjang waktu percubaan, Perpustakaan telah dibuka mulai jam 6 pagi sehingga 7 malam dari isnin hingga jumaat dan 10 pagi hingga 5 petang pada hari ahad. Namun waktu percubaan ini ternyata tidak berkesan dan lebih sulit lagi dari sudut pengurusan, lalu ianya ditolak oleh jawatankuasa. Pada tahun 1901, akibat belajawan yang semakin susut, Pengurusan terpaksa memberhentikan seorang Peon yang juga merupakan kakitangan mereka yang terawal. Peon tersebut telah diberi gratuiti sebanyak $25 bagi menghargai perkhidmatannya selama 20 tahun di Perpustakaan Melaka.

Pada tahun 1902, Perpustakaan Melaka telah membuat perancangan penjimatan iaitu dengan membeli buku terpakai dari Raffles Library di Singapura dengan harga $1.25 senaskah. Raffles Library juga telah memperkenalkan perkhidmatan pinjaman antara perpustakaan dengan bayaran sebanyak $5 untuk 30 volume bagi setiap penghantaran.

Perpustakaan Melaka dikatakan berada dalam tempoh perkhidmatan terbaiknya diantara tahun 1927 hingga 1930 dengan beberapa penambahbaikan dari segi frasarana. Perpustakaan mula membuat perolehan judul-judul buku fiksyen dan non-fiksyen yang terkenal, Ruang bacaan juga telah dilengkapi dengan kipas angin selain memperkenalkan koleksi remaja dengan bantuan dana kerajaan sebanyak $600. Kad indeks pengarang juga telah diperkenalkan oleh H.W Haworth dan telah digunapakai mulai pada tahun 1930.

Menjelang tahun 1936, koleksi Perpustakaan Melaka telah mencapai 6000 naskah, antara bahan yang menarik ialah memoir Sir Stamford Raffles, buku karangan Sir Stamford Raffles tentang sejarah negeri Jawa, Sejarah Sumatra oleh Mardsen dan Anecdotal History of Singapore oleh Buckley. Perpustakaan Melaka juga telah dipindahkan ke dua buah bilik yang agak besar ditingkat atas bangunan Stadhouse (Stadhuys) dengan pemandangan yang mengadap sungai dan binaan Air Pancut Queen Victoria. Disebelah Perpustakaan, adalah bilik yang dikhusukan untuk Persatuan Sejarah Negeri Melaka, ianya umpama galeri yang menempatkan banyak khazanah bersejarah negeri Melaka. Berdasarkan gambaran yang dilaporkan dalam artikel tersebut, Ruang yang pernah menjadi Perpustakaan Melaka itu kini dipercayai adalah ruang yang sama dimana beberapa muzium dan galeri yang ditempatkan di bangunan Stadthuys kini. Perpustakaan itu kemudiannya telah dinamakan sebagai Henry Gurney Memorial Library.


Bangunan Stadhuys kini.... ( Sumber : http://www.cuti.my)




Rujukan:


________ ( 12 November 1881). Library for Malacca, Straits Times Overland Journal. p. 3

A.L Hoops. (17 May 1936). History of Malacca Library. The Straits Times. P.10

Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka. (http://www.perpustam.gov.my/index.php/infokorporat/kronologi)

Thursday, October 18, 2012

S.Kadarisman : Dari Penjilid Buku ke Sutradara...

Oleh : Harith Faruqi Sidek



Pak Kadar atau S. Kadarisman adalah diantara bintang layar perak tanahair yang bisa menambat hati setiap kali beraksi. S.Kadarisman adalah nama pentas bagi pemilik nama asalnya, Shadat Kadarisman bin Raden Deswaren Ambiak, namun beliau lebih senang dikenali sebagai Shadat Kadarisman bin Haron. Pak Kadar dilahirkan di Singapura pada tahun 12 Mei 1921, beliau merupakan anak kedua dari lima orang adik beradik dalam keluarga yang  berasal dari Kendal, Jawa Tengah. Pak Kadar mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Glam, kemudiannya di Rangoon English School, Victoria School sebelum memasuki sekolah aliran agama di Sekolah Arab Alsagoff di Singapura.


Sebelum bergelar anak seni sepenuh masa, Pak Kadar memasuki alam pekerjaan sebagai Penjilid Buku di MPH ( ketika itu Malayan Publishing House) dengan gaji sembilan ringgit sebulan, kemudiannya beliau memasuki perkhidmatan Tentera Laut British. Pak Kadar telah mula berjinak-jinak dengan dunia seni melalui pementasan opera ketika umurnya menjejak 17 tahun, menariknya kegiatan ini dilakukan secara separuh masa, iaitu dimaktu malam ketika meskipun ketika masih bekerja di MPH dan Tentera Laut British. Meskipun menerima bayaran serendah 20 sen bagi setiap persembahan, Pak Kadar tetap meneruskan minatnya itu dan beliau gembira bergelar anak seni. Pengalaman pahit beliau sewaktu menjadi pelakon bangsawan adalah apabila dibawa mengadakan persembahan di Baling, Kedah, tanpa disangka kawasan tersebut telah dilanda banjir lalu tiada pementasan dapat dibuat. Memandangkan upah yang diterima adalah setiap kali lepas persembahan, maka tanpa persembahan tiadalah juga upah untuk dirinya dan krew-krew yang terlibat. Pak Kadar menceritakan dalam satu temuramah, beliau terpaka makan kulit roti yang dibuang oleh peniaga malabari dengan bersulamkan air paip selama tiada persembahan, kesannya beliau mendapat penyakit gastrik yang berpanjangan. Penderitaan beliau berakhir apabila kenalan yang datang dari Kupang membuat kutipan khas untuk beliau, dengan duit kutipan itulah Pak Kadar balik ke Singapura dengan Bas dan tidak lagi melibatkan diri dengan persembahan pentas secara jelajah, cukup hanya sekitar Singapura sahaja.

Tahun 1950, ketika usia beliau mencecah 30 tahun, Pak Kadar mendapat tawaran membintangi filem sulung beliau, Perkahwinan Rahsia. Kehebatan produksi di Jalan Ampas telah menggamit Pak Kadar untuk turut serta dalam karya-karya yang terhasil dari Studio Jalan Ampas, maka dari situlah beliau digandingkan dengan nama-nama besar filem melayu, seperti P.Ramlee, Aziz Sattar, Aziz Jaafar, Haji Mahadi, Saadiah, Roseyatimah dan lain-lain. Antara filem-filem lakonan beliau yang terkesan ialah, Tiga Abdul, Antara Dua Darjat, Ali Baba Bujang Lapok dan Seniman Bujang Lapok. Malah sewaktu di Jalan Ampas, Pak Kadar dikatakan pernah menjadi pelakon yang menerima gaji paling tinggi pada satu ketika, meskipun tidak penah diberi watak utama, tetapi kebolehan beliau menjiwai pelbagai watak yang diberikan menyebabkan beliau sangat "laku" dikalangan pengarah filem.

Selain berlakon dan mengarah, Pak Kadar juga mempunyai bakat dalam bidang penulisan, bakat tersebut beliau curahkan sewaktu menjadi penulis sambilan dalam Majalah Bintang Filem keluaran Melayu Raya Press Company. Jika menulis artikel yang agak kontroversi tentang dunia perfileman, Pak Kadar akan menggunakan nama samaran "Burung Hantu", ianya terpaksa dilakukan demi menjaga hubungan harmoni antara dirinya dengan warga seni yang lain, antara kritikan pedas yang beliau lontarkan ialah sikap primadona pelakon baru, pelakon yang masuk dunia seni dengan tujuan yang salah, pelakon yang menggunakan kedudukan untuk membawa kenalan masuk berlakon (meskipun tidak berbakat langsung), skandal sosial dan sebagainya.


Ketika peristiwa "Natrah" berlaku di Singapura, Pak Kadar telah bertindak menganjurkan aktiviti pementasan khusus bagi mengutip dana buat Natrah Adabi atau nama asal beliau, Maria Hertogh yang pada masa sedang menanti keputusan mahkamah bersabit hak penjagaan. Pak Kadar pada masa itu masih aktif sebagai pelakon bangsawan bersama Sri Kembangan Opera.

Laporan akhbar tentang usaha S. Kadarisman membantu mengutip dana bagi Natrah ( The Singapore Free Press, 24 November 1950: 5)
Panas yang disangkakan hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari, kehebatan Studio Jalan Ampas akhirnya runtuh, lalu Pak Kadar terpaksa berhijarah ke Kuala Lumpur demi meneruskan kerjaya seni beliau. Ketika di Kuala Lumpur, Pak Kadar lebih berperanan sebagai pengarah, lalu pada era inilah beliau dikatakan orang yang bertanggungjawab menaikkan pelakon - pelakon baru seperti Latiff Borgiba, Noor Azizah, Hussein Abu Hassan serta ramai lagi. Namun suasana di Kuala Lumpur tidak semeriah di Jalan Ampas, Pak kadar terpaksa akur dengan suasana itu, beliau pulang ke Singapura setelah khidmat beliau tidak lagi ditagih oleh pembikin filem di Kuala Lumpur. Sepanjang penglibatan beliau dalam dunia perfileman, Pak Kadar telah membintangi lebih 70 buah filem, selain turut mengarahkan 25 buah filem.Pengiktirafan yang dianugerahkan kepada Pak Kadar bagi menghargai sumbangan beliau dalam dunia seni ialah, Tokoh Bangsawan serta Anugerah Pelakon Veteran yang beliau terima di Festival Filem Malaysia ke-7.

Keratan akhbar pencarian pelakon wanita untuk membintangi filem "Hutang Darah", Pak Kadar adalah pengarah filem berkenaan ( Berita Harian, 27 Oktober 1971: 9)

Pak Kadar meninggal dunia pada hari Khamis, 16 Februari 1989 ketika berusia 68 tahun di kediaman beliau di Blok 759, Yishun Ring Road, Singapura.Seperti yang dilaporkan oleh wartawan Mardiana Abu Bakar dalam The Straits Times bertarikh 23 Februari 1989, Pak Kadar dikatakan sedang makan malam bersama keluarga beliau kira-kira jam 9 malam, sebelum tiba-tiba diserang sesak nafas dipercayai serangan jantung, lalu rebah dan menghembuskan nafas terakhir diatas pangkuan salah seorang anakanda lelaki beliau, Nazaruddin. Jenazah Pak Kadar disemadikan di Pusara Aman, sebuah perkuburan islam di Singapura, beliau meninggalkan sepuluh orang anak, isteri beliau Fatimah Khairuddin telah terlebih dahulu menemui ilahi setahun sebelumnya.


Rujukan :


S. Kadarisman meninggal. (17 Februari 1989). Berita Harian, p.1

Mohd Yusoff Ahmad, Chairul Fahmy Hussainy (Transc.), Nur Azlin Salim (ed.) . (1986) Wawancara dengan Encik Shadat Kadarisman bin Haron. 1 Mei 1986.  CORD, The Oral History Centre, National Archives of Singapore (http://cord.nhb.gov.sg/cord/public/internetSearch/index.jsp).

Malay actors to help Maria (24 November 1950), The Singapore Free Press. p. 5

NewspaperSG, National Library of Singapore. at: http://newspapers.nl.sg.

Studio Merdeka chari pelakon wanita(27 October 1971). Berita Harian,  p.9

 'Fitnah' tutup peluang Kadarisman arah filem. (2 October 1983). Berita Harian, p. 7

Kadarisman pernah terima gaji paling 'top'. (29 October 1986). Berita Harian, p. 5

Pak Kadar utamakan disiplin (19 February 1989). Berita Harian, p.8.