Tuesday, May 27, 2014

Dari Teluk Anson (1882-1982) ke Teluk Intan (1982 - kini)

Oleh: Harith Faruqi Sidek


Arwah datuk dulu kalau sebut Teluk Anson bunyinya jadi 'Teluk Ensen', kawasan yang dulunya bernama Teluk Mak Intan, bersempena seorang peniaga wanita dari keturunan mandailing yang berasal dari Sumatera.

Tahun 1882, Kawasan ini dipilih sebagai pusat pentadbiran British bagi Daerah Hilir Perak oleh Residen Perak ketiga, Sir Hugh Low. Nama Teluk Mak Intan turut ditukar kepada Teluk Anson, sempena nama General Sir Archibald Edward Halbord Anson, Gabenor Negeri-negeri Selat. Sir Archibald juga bertanggungjawab merangka pembangunan kawasan tersebut.

Tahun 1982, Sempena sambutan ulangtahunya yang ke 100, Teluk Anson telah dinamakan semula sebagai Teluk Intan.


Rujukan:

Foong Thim Leng (6 Oktober 1985) Tower of Pride,The Star.

James Gonzales (4 February 2003) Teluk Intana reflection of many changes in small towns, New Straits Times.

Jefry Liew (12 June 2000) The leaning tower of the east, New Straits Times.

Priyajeet Kaur (29 januari 2014) Back to roots in Teluk Intan, New Straits Times.

Tuesday, May 06, 2014

Pesta Buku Kuala Lumpur yang pertama.

Oleh: Harith Faruqi Sidek



Salah satu acara tahunan dalam kalendar negara yang ditunggu dan mendapat sambutan ramai ialah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur atau singkatannya PBAKL. PBAKL 2014 yang diadakan pada 24 April hingga 4 Mei yang lalu telah memasuki edisinya yang ke-33. 

Menurut laporan akhbar New Straits Times bertarikh 18 April 1980, kali pertama pesta buku diadakan secara besar-besaran di Kuala Lumpur ialah pada 18 – 27 April 1980. Pesta buku yang diadakan di Bukit Bintang Plaza itu melibatkan 64 buah syarikat penerbit buku dari dalam dan luar negara. 

Sumber:

First K.L book fair. ( 18 April 1980). New Straits Times, p.13.


Hold annual book show, publishers urged (19 April 1980). New Straits Times, p.16.

Haji Buyong Adil (1907-1976): Tokoh Sejarawan Negara.

Oleh: Harith Faruqi Sidek



Allahyarham Haji Yusuf@Buyong Adil atau lebih dikenali sebagai 'Cikgu Buyong merupakan tokoh pengarang dan pendidik tanahair. Anak kelahiran Teluk Intan, Perak ini merupakan lulusan Maktab Perguruan Sultan Idris yang sememangnya terkenal dalam melahirkan ramai tokoh dalam bidang kepengarangan.

Cikgu Buyong berkhidmat selama 39 tahun dalam perkhidmatan kerajaan sebelum bersara pada tahun 1962. Pada tahun 1971, Cikgu Buyong berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai pengarang yang mengkhusus dalam bidang sejarah, sesuatu yang beliau sifatkan sebagai memenuhi kegemarannya. Hasilnya DBP menerbitkan siri sejarah negeri-negeri di Malaysia yang terus menjadi rujukan di peringkat sekolah hinggalah pengajian tinggi.

Cikgu Buyong meninggal dunia pada 31 Ogos 1976, ketika berusia 69 tahun. Pada saat negara meraikan sambutan kemerdekaan yang ke-19, insan yang gigih merakamkan korpus sejarah negara pergi buat selamanya...Alfatihah.

Sumber:

Buyong Adil bertugas di DBP (28 Disember 1970) Berita Harian.

Cikgu Buyong Adil meninggal di KL (1 September 1976). Berita Harian.

Cikgu Buyong, tokoh sejarah yang sukar ditandingi (19 September 1976). Berita Harian.

Achmad Nawir: pemain bolasepak berkaca mata di Piala Dunia.

Oleh: Harith Faruqi Sidek



Sebelum zaman kanta lekap memasuki pasaran dunia, pemain bolasepak dibenarkan memakai kacamata, dan satu-satunya pemain yang berbuat demikian ialah Achmad Nawir, kapten pasukan Hindia Timur Belanda yang beraksi dalam Piala Dunia 1938 di Perancis. Beliau yang merupakan seorang Doktor perubatan menggunakan kacamata yang sama diluar padang.

Pemain Belanda, Edgar Davids juga memakai kacamata sewaktu beraksi dalam Pertandingan Piala Dunia, namun ianya adalah kacamata keselamatan bagi melindungi matanya yang pernah mengalami masaalah glaucoma.