Saturday, April 26, 2014

Dari Malaya Hall ke Malaysia Hall.

Oleh: Harith Faruqi Sidek






Perasmian Malaya Hall telah disempurnakan oleh Dutchess of Kent pada 12 Disember 1949. Kerajaan Persekutuan menyewa secara rasmi empat unit bangunan yang terletak di Bryanston Square, London itu mulai tahun 1951. Dua unit bernombor 44 dan 45 dijadikan unit pentadbiran bagi Malaysian Students Departmen (MSD) serta penginapan bagi pelajar dari Malaya yang belajar di United Kingdom, sementara dua unit bawah tanah bernombor 46 dan 47 dijadikan kantin. Kerajaan Persekutuan menyewa unit-unit ini daripada Portman Settled Estate Limited dengan kadar £400 setahun.

Pelajar dari Malaya merakam kenangan bersama Dutchess of Kent, dari kiri, Cik Janie Tong (Kuala Lumpur), Cik Lily Majid (Kuala Lumpur), Raja Fuzia Raja Uda ( anak Raja Uda Raja Muhammad, Pesuruhjaya Tinggi Malaya di Britain) dan Cik Eileen Khoo (Kuala Lumpur). 

Belanjawan pengurusan Malaya Hall datangnya dari subsidi dari kerajaan sebanyak £3,500 setahun selain pendapatan dari sewaan penginapan pelajar serta sumbangan dari orang ramai. Kadar sewa penginapan yang dikenakan ialah £2.07 (RM20 ketika itu) seminggu bagi single room dan £2.10 (RM21 ketika itu) seminggu bagi double room, kadar ini kemudiannya dinaikkan pada tahun 1962 kepada  £6.16 (RM58 ketika itu) seminggu bagi single room dan £6.06 (RM55 ketika itu) bagi double room. (TST, 3 Oktober 1962). Bilik-bilik ini turut diberi nama sempena para penyumbang dan orang kenamaan, antaranya Datuk Panglima Bukit Gantang (Menteri Besar Perak), Loke Wan Tho (Jutawan Singapura) dan Shaw Brothers yang turut menyumbang piano serta perabot. (TST, 13 Oktober 1953). Malaya Hall kemudiannya dinamakan semula sebagai Malaysia Hall,selaras dengan kemerdekaan negara. Portman Settled Estate Limited sebagai pemilik kemudiannya menaikkan kadar sewaan kepada £60,000 setahun, lalu memaksa kerajaan Malaysia menilai semula langkah penyewaan tersebut kerana kos yang bakal meningkat.



Suasana dalam bilik penginapan yang disediakan di Malaya Hall

Unit bernombor 44 dan 45 Malaysia Hall yang sepatutnya tamat tempoh sewaan pada tahun 2000 kemudiannya diserahkan kembali kepada Portman Settled Estate Limited pada April 2002, sementara unit bernombor 46 dan 47 diserahkan kembali pada Jun 2004. Pada tahun yang sama, Malaysia Hall berpindah ke premis bernombor 30-34, Queensborough Terrace, Bayswater, London dan kekal hingga ke hari ini. Bangunan bekas Hotel York ini menelan belanja kira-kira RM125juta untuk pengubahsuaian dan ia telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) pada 24 Julai 2004.

Petikan dari akhbar New Straits Times bertarikh 13 Januari 2000.

Rujukan:

Yunus: Malaysia Hall is meant for use by everybody in London (30 September 2000). New Straits Times,p.11

Saiful Azhar Abdullah. (13 Januari 2000) Saving historic Malaysia Hall: concerted move to get the government to extend lease. New Straits Times,p.12

Bill for Malaya Hall £8,785 (16 Julai 1953) The Straits Times.

Students cry ‘monstrous’ as the rates go up at Malaya Hall. (3 Oktober 1962), The Straits Times.

Room named after famous Malayans (13 Oktober 1953), The Straits Times.

Aziz Ishak (25 Julai 2004). Malaysia usaha bawa pulang tenaga pakar. Utusan Malaysia.

Malaya Hall opening (12 December 1949). The Straits Times.

Patvinder Singh. (27 September 2000). Malaysia Hall lease not renewed: plan for new building just outside London, New Straits Times, p.6

Cheah Chor Sooi. (27 September 2000) Yunus: my worst nightmare is has come true. New Straits Times,p.6


Officials bid farewell to historic Malaysia Hall (3 Jun 2004), New Straits Times,p.2

Friday, April 11, 2014

Search dan Wings: ‘Halal’ selepas dipotong.

Oleh: Harith Faruqi Sidek


Pada 22 Februari 1992, Menteri Penerangan Malaysia, Datuk Mohamed Rahmat telah mengumumkan artis lelaki yang berambut panjang melepasi paras bahu diharamkan dari membuat persembahan atau muncul di kaca televisyen nasional. Tindakan ini menyebabkan ramai artis lelaki akur dan mengorbankan rambut mereka bagi meneruskan perjuangan seni mereka, namun berbeza pula pendirian dua kumpulan rock gergasi di Malaysia pada ketika itu, Search dan Wings. Kedua kumpulan ini enggan menuruti syarat yang dikenakan dan rela tidak muncul di kaca televisyen dan hanya bergantung pada persembahan pentas yang pada ketika itu tidak kurang lumayannya.  Tambahan pula, imej berambut panjang sudah sebati dengan penampilan mereka sejak sekian lama dan bersesuaian dengan genre muzik rock yang mereka bawakan.

Namun segalanya berakhir pada tanggal 1 November 1992, apabila anggota kumpulan Search dan Wings setuju mengorbankan rambut panjang mereka sebagai syarat untuk muncul di televisyen dan radio nasional. Pada hari berkenaan, upacara simbolik ‘memotong rambut’ bagi anggota Search dan Wings telah dilakukan oleh Datuk Mohamed Rahmat sendiri selaku Menteri Penerangan.  Upacara yang disiarkan secara langsung melalui slot rancangan ‘Selamat Pagi Malaysia’ itu menyaksikan Amy (Search) dan Awie (Wings) telah dipotong rambut mereka sebagai simbolik mewakili anggota kumpulan yang lain. Tindakan ‘mengalah’ ini adalah bagi mengekalkan populariti semasa, kumpulan Search sebagai contoh mendapati penjualan album ‘Rampage’ mereka yang terbit pada ketika itu menunjukkan prestasi jualan yang agak perlahan selepas melepasi angka jualan 100,000 unit (NST, 29 Disember 1992). Peristiwa ini bukan sahaja mendapat liputan media tempatan, tetapi juga media luar negara.


Sumber:

Haircut ends rock group band (2 November 1992), Times Daily.

Long and short of it is, the ban’s over (2 November 1992), Saratossa Herald-tribune

Malaysian official to cut rockers’ hair (16 October 1992), Spartanburg Herald-Journal.

R.S Murthi (29 Dicember 1992). Predictable strain in Malaysian music, New Straits Times.

Rock star gets hair cuts (17 October 1992), The Tuscaloosa News.

Rockers to get clipped on live tv. (16 October 1992), Sun Journal.

Rockers to get trim. (16 October 1992), Lodi News-Sentinel.


Short haired rock idol (2 November 1992), Lodi News-Sentinel.

Friday, April 04, 2014

Jasad Kelasi dari Melaka bersemadi di Lautan Hindi?

Oleh: Harith Faruqi Sidek

Nama Bakar bin Ahmad pada panel nombor 21.

Bakar bin Ahmad adalah diantara kelasi dari Malaya yang namanya diabadikan di Liverpool Naval Memorial . Semakan pada daftar nama kelasi yang terdapat di Liverpool Record Office mendapati Bakar bin Ahmad merupakan satu-satunya kelasi dari Malaya yang direkodkan mempunyai waris dari luar Singapura. Menurut rekod tersebut, ibu beliau yang bernama Che'noh binti Haji Manas berasal dari Tajung Kling, Melaka.
Rekod yang disimpan di Liverpool records office.

Bakar Ahmad berkhidmat dengan Kapal HMS Scott Harley yang ditugaskan memusnahkan periuk api, namun kapal berkenaan tewas dan karam diantara 25 Februari - 3 Mac 1942 di lautan Hindi. Sepertimana lebih 1,400 lain yang nama mereka diabadikan di Liverpool Naval Memorial, jasad Bakar bin Ahmad juga bersemadi di lautan. Al-Fatihah...

Liverpool Naval Memorial yang terletak di Pier Head, Liverpool.

Rujukan:
Commonwealth War Graves Commission. The Register of Merchant Seaman Commemorated on Liverpool Naval Memorial.
Harith Faruqi Sidek. Nama kelasi melayu di Liverpool Naval Memorial. athttp://harithsidek.blogspot.co.uk/2012/07/nama-kelasi-melayu-di-liverpool-naval.html