Friday, November 30, 2012

Seniman H.M Busrah : Dari Semenyih ke Jalan Ampas

Oleh : Harith Faruqi Sidek

Allahyarham H.M. Busrah ketika muda  (kredit: cinemamalaysia.com.my)


“..Siapa tu?...Maznah ya?..” itulah antara dialog yang diucapkan oleh seniman lagenda H.M Busra dalam filem Seniman Bujang Lapok, meskipun adegan yang melibatkan beliau hanya sampingan, namun kehadirannya dalam filem tersebut cukup terkesan dan diingati sehingga ke hari ini. H.M Busra atau nama sebenarnya Mohamad Busra Bin Hashim mula menjejak kaki di Studio Malay Film Productions di Jalan Ampas pada pertengahan tahun 50an sebagai pekerja biasa, sebelum beliau diberi peluang membintangi filem-filem keluaran syarikat berkenaan dengan membawa watak komedi.

Menjadi Seniman
Nama H.M Busra muncul sebagai bintang komedi sezaman dengan Ibrahim Pendek, S. Shamsuddin, Aziz Sattar, Ahmad C. dan M.Rafi. Sepanjang penglibatan beliau dalam dunia perfileman di Studio Jalan Ampas, beliau telah membintangi lebih kurang 30 filem, dan yang pastinya dikenang ialah Tiga Abdul, Seniman Bujang Lapok dan Ali Baba Bujang Lapok. Sewaktu di Jalan Ampas, sudah menjadi kelaziman bagi beliau untuk minum di warung kopi yang terletak di hadapan studio MFP sambil ditemani teman rapatnya seperti Ibrahim Pendek, S.Shamsuddin, Aziz Sattar, S. Sudarmaji, Mustafa Yassin dan Malik Sultan Muda (Berita Harian, 12 April 1981: 7). Menurut laporan Zainuri Misfar, selain berlawak, HM Busra juga mempunyai kebolehan bermain trumpet dan biola.

Pulang ke Semenyih
Selepas Studio Jalan Ampas ditutup pada sekitar bulan November 1967, H.M Busra telah pulang ke Malaysia sebagaimana kebanyakkan seniman-seniman lain yang berasal dari Malaysia, termasuk juga Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Dari Singapura, H.M Busra kembali ke kampung halaman beliau di Semenyih, disitulah beliau memulakan perusahaan membuat kicap, menternak ayam serta membuka tapak semaian. Menurut laporan Sulaiman Jeem (Berita Harian, 12 April 1981: 7), perniagaan yang diusahakan oleh HM Busra itu mendapat sambutan dan maju. Beliau dan keluarga menetap di Kampung Sungai Macang, Jalan Sungai Lalang, Semenyih, Selangor.

Pencalonan Anugerah ‘Pelawak Terbaik’
Didalam kesibukan menguruskan perniagaan, H.M Busra sempat juga berlakon dalam filem “Langit Tidak Selalu Cerah” yang turut dibintangi oleh Mokhtaruddin dan Uji Rashid. Filem ini mendapat sambutan, dan HM Busra sendiri telah terpilih sebagai antara calon penerima anugerah “Pelawak Terbaik” bagi Pesta Filem Malaysia ke-2 pada 7 April 1981. Selain daripada itu, beliau juga sempat bertindak sebagai pengarah filem ‘Dunia Terbalik’ , sebuah filem komedi yang turut membariskan pelakon veteran seperti Wahid Satay, Normadiah, Ibrahim Pendek, Norlia Ramlee, S.Shamsuddin serta menampilkan muka baru, Julie Dahlan dan Azim Chan.( Berita Harian, 25 Jun 1980:5).

Allahyarham HM Busrah (dibulatkan) bersama barisan pelakon 'Dunia Terbalik', Dari kanan, Azim Chan, Normadiah, Julie Dahlan, Penerbit Filem, Wahid Satay dan Norliah Ramli. (Sumber : Berita Harian, 25 Jun 1980)

Perginya seorang seniman
Pada malam selasa, 7 April 1981, ketika berlangsungnya Pesta Filem Malaysia ke-2, HM Busra telah meninggalkan majlis berkenaan lebih awal. Sebelumnya beliau telah memberitahu hasrat untuk pulang lebih awal kerana penat  kepada Seniman S. Sudarmaji yang kebetulan duduk disebelah beliau pada malam itu. Menurut S.Sudarmaji (Berita Harian, 9 April 1981), sewaktu dalam perjalanan pulang dari Stadium Negara, dimana Pesta Filem Malaysia ke-2 diadakan, beliau ternampak kereta milik HM Busra berhenti di pinggir Jalan Yoke Yew, lalu beliau memberhentikan kereta dan merapati kereta berkenaan. S.Sudarmaji kemudiannya mendapati HM Busra ada didalam kenderaan tersebut, namun beliau kelihatan tidak bermaya sambil mengadu sesak nafas, lantas S. Sudarmaji bergegas untuk mendapatkan Ambulan. Sekembalinya beliau ke kereta Busra, didapati seniman tersebut telah pun menghembuskan nafasnya yang terakhir, iaitu kira-kira antara jam 11.00 malam hingga 11.30 malam. Pada ketika itu Allahyarham HM Busra berusia 48 tahun.

Wajah Allahyarham sekitar tahun 1980an (Sumber: Berita Harian, 12 April 1981)

Kasih kakak hingga ke akhir hayat
Lebih  trajis lagi ialah, sebaik sahaja berita kematian arwah disampaikan kepada keluarganya di Semenyih, kakak Allahyarham yang berusia 60 tahun, Shamsiah Sarmin, tiba-tiba rebah dan meninggal dunia, dipercayai akibat terlalu sedih dan terkejut dengan berita kematian adiknya. Kedua-dua jenazah, Allahyarham HM Busra dan kakaknya disemadikan sebelah menyebelah di Tanah Perkuburan Islam Semenyih. Allahyarham HM Busra meninggalkan seorang balu, Salmah Yusof dan lima orang anak, Rosilawati, Mohd Suhaimi, Rosmilah, Mohd Afendi dan Rosailah (Bernama, 6 Februari 2000).


-          Al-Fatihah –

 

Rujukan :


A. Jalil Salleh (25 Jun 1980), Taukeh kicap arahkan filem ‘Dunia Terbalik’. Berita Harian. P.5

Busra Meninggal, kakak mati lepas dengar berita (9 April 1981), Berita Harian.p.1

Sulaiman Jeem (12 April 1981), Mengenang kembali actor lawak H.M Busrah. Berita Harian. P.7

Zainuri Misfar (30 Januari 2000), Tuah Busra pada badan. Bernama.

Zainuri Misfar (6 Februari 2000), Keluarga Busra terharu. Bernama.

Tuesday, November 27, 2012

Si Wira (1982 - 1993) : Kisah trajis orang utan termasyur negara.

Oleh : Harith Faruqi Sidek


Wira...orang utan yang paling terkenal di Malaysia dan yang pertama dilatih di Zoo Negara. (Gambar : NSTP)


 Mungkin ramai yang masih ingat akan si Wira, orang utan yang terkenal di Malaysia. Semasa hayatnya, Si Wira ini diangkat menjadi mascot tahun melawat Malaysia tahun 1990 dan untuk itu pastinya wajah dan kelibat beliau dapat dilihat dipapan-papan promosi serta acara-acara besar anjuran kementerian pelancongan. Namun mungkin juga ramai yang tidak tahu disebalik kemasyuran itu, kehidupan si Wira sebenarnya tidaklah segalanya indah, malah ada peristiwa hitam yang trajis pernah beliau alami. Wira telah dilahirkan pada 4 Oktober 1982 dan tercatat dalam sejarah sebagai orang utan pertama yang dilatih oleh Zoo Negara.


Atas faktor keselamatan, Wira dipisahkan dari ibunya

Menurut Veterinar Zoo Negara, Dr. Vellayan Subramaniam (Berita Minggu, 23 September 2012:25), ibu Wira yang dinamakan ‘Jane’ akan berada didalam kemurungan setiap kali selepas melahirkan anak, lalu ia akan membunuh setiap anak yang dilahirkan dengan cara memasukkan bayinya kedalam kain yang digulungkan, sebelum mencampakkan mereka kedalam air dan dibiarkan lemas. Oleh kerana tidak mahu kejadian yang sama berulang, sewaktu Jane mengandungkan Wira, Dr. Vellayan telah meletakkan ibu orang utan itu dibawah kawalan rapi oleh beliau sendiri. Sebaik sahaja Wira dilahirkan, atas faktor keselamatan, ia terus dipisahkan daripada ibunya dan diletakkan dibawah jagaan Dr. Vellayan untuk dibesarkan. 

Wira bersama salah seorang jurulatihnya.

Ditatang ibarat seorang bayi

Sebagai seorang Veterinar yang terlatih, Dr. Vellayan telah membesarkan Wira dengan sempurna, malah ibarat seorang bayi manusia, begitulah juga belaian yang diterima oleh Wira dari kakitangan Zoo Negara pada ketika itu. Menurut Dr. Vellayan yang juga merupakan Veterinar pertama di Zoo Negara, beliau membesarkan Wira seperti anak sendiri, hinggakan Wira begitu manja dengannya, malah ketika kecil dan masih berlampin, Wira akan tidur diatas dada Dr. Vellayan. Tidak hairanlah ketika kematian Wira, Dr. Vellayan adalah antara insan yang paling sedih, hinggakan tugas melakukan bedah siasat yang sepatutnya dilakukan oleh beliau terpaksa ditangguhkan, sehinggalah hari ke-11 kematian Wira, barulah Dr. Vellayan mempunyai kekuatan untuk melakukan tugas yang lazimnya begitu mudah beliau laksanakan sebagai seorang Veterinar yang berpengalaman. Selain Dr. Vellayan, Wira turut dilatih oleh dua orang jurulatih peribadi, iaitu Norsaidi Abdul Ghani dan Daud Abdul Majid.

Wira ketika berusia 6 tahun bersama pramugari MAS yang meraikannya. (Gambar : NSTP)

Mempunyai penaja

Ibarat seorang selebriti, Wira mendapat perhatian ramai, malah harijadinya turut diraikan dengan kek dan dana sumbangan. Wira juga mempunyai penaja peribadi, iaitu Bousted Holdings Berhad yang telah menaggung segala kos sara hidup Wira, sejak ia dilahirkan (Bernama, 26 Oktober 1990). 

Wira sewaktu menyambut hari jadinya yang pertama pada 4 Oktober 1983. (Gambar : NSTP)


Wira sedang menghiburkan pengunjung Zoo Negara. (Gambar : NSTP)

Kematian yang trajis

Pada hari Selasa, 20 April 1993, Wira telah ditemui mati lemas didalam parit di kawasan tempat tinggalnya oleh petugas Zoo Negara pada sekitar jam 4.30 petang. Pada ketika itu Wira berusia 11 tahun, dan menurut Dr. Vellayan, kejadian mungkin akibat dibuli oleh rakan sekumpulannya. Hasil bedah siasat mendapati Wira berada dalam keadaan sihat lalu mengesahkan kemungkinan yang disebut oleh Dr. Vellayan, Wira mungkin telah dipukul oleh kumpulan orang utan yang berada didalam kumpulannya sebelum jatuh ke dalam parit dan lemas. Kematian Wira memang dirasai oleh warga Zoo Negara, malah kehilangan buat negara juga, kerana Wira merupakan orang utan terlatih yang berkebolehan menghiburkan para pengunjung. Selepas kematian Wira, Zoo Negara telah mengambil inisiatif melatih beberapa orang utan yang diharap dapat menggantikan peranan yang dimainkan oleh Wira.


Rujukan :

Birthday – Orang Utan (26 Oktober 1990) Bernama.

Efi Hafizah Hamzah. (28 April 1993), Gone but not forgotten: Zoo Negara to honour Wira by preserving his remains. Malay Mail.

Mona Ahmad (23 September 2012) Tinggalkan isteri mahu bersalin untuks ambut anak unta. Berita Minggu. P.25

Natasha Nadarajah (22 Jun 2008) Dr Vellayan and his animal kingdom. New Sunday Times, p.32

Wira yang menjadi mascot Malaysia mati (24 April 2012) Bernama.

Zoo throws birthday party for Wira (5 Oktober 1990) News Straits Times.

Saturday, November 24, 2012

Dari Menglembu ke Persada Dunia : Sejarah Kacang Cap Tangan Ngan Yin.

Oleh : Harith Faruqi Sidek



Encik Ngan Yin, pengasas kacang tanah menglembu Cap Tangan 'Ngan Yin'


Sebut sahaja kacang tanah, pastinya kacang tanah yang terkenal di Malaysia, Kacang Menglembu Cap Tangan Ngan Yin akan terbayang di fikiran. Kacang tanah yang dikomersilkan dibawah cap dagangan berupa tangan yang menunjukkan isyarat bagus ini cukup terkenal, malah sudah  dipasarkan dipasaran luar seperti Singapura, China, Canada, Hong Kong, New Zealand, Australia, Amerika Syarikat dan banyak lagi. Syarikat Ngan Yin ditubuhkan pada tahun 1960an lagi, dan nama Ngan Yin adalah bersempena insan yang mengusahakan perusahaan ini, iaitu Encik Ngan Yin.


Cap dagangan Kacang Cap Tangan Ngan Yin
Perusahaan Kacang Tanah di Malaysia

Melihat balik pada sejarah perusahaan kacang tanah di Malaysia, ianya dikatakan dimulakan oleh masyarakat cina yang berhijrah daripada tanah besar china sekitar tahun 1800 lagi. Perusahaan yang bertapak di Menglembu, Perak ini pada mulanya adalah aktiviti ekonomi yang muncul secara sampingan hasil kemakmuran perusahaan bijih timah di Perak. Malah dikatakan benih kacang menglembu ini juga berasal dari negeri China. (Stephen Boey, The Straits Times, 21 May 1970:7)

Kemasyuran Kacang Cap Tangan ini membuatkannya menjadi juadah yang lazim dilihat untuk apa jua acara, perayaan, berkelah, majlis hari jadi  dan sebagainya. Dengan pasaran yang luas, pastinya perusahaan ini memerlukan sumber yang mencukupi, kilang pengeluaran syarikat Ngan Yin berpusat di Kampar, dan sumber kacang tanah dari pengusaha ladang tempatan juga didapati dari sekitar Lembah Kinta dan Sungai Siput. Kilang Syarikat Ngan Yin merupakan yang terbesar di Malaysia. 

Menjadi mangsa cetak rompak

Siapa sangka, akibat kemasyurannya jugalah kacang cap tangan ini pernah menjadi mangsa cetak rompak, bukan sekali, malah dua kali. Peristiwa pertama berlaku sekitar tahun 1970an, Encik Ngan Yin sendiri apabila menerima aduan dari orang ramai telah pergi menyiasat sendiri kebenarannya. Beliau dapati  kacang menglembu palsu ini telah dijual secara meluas di Singapura, iaitu di kawasan Ochard Road, Toa Payoh,Chinatown dan Bugis Street,dan setelah aduan polis dilakukan, kacang-kacang palsu ini telah dirampas.(The Straits Times, 14 January 1974:15)

Kejadian kedua berlaku sekitar tahun 1980an, kali ini pelakunya telah dikenakan hukuman yang lebih berat. Peniaga yang disabitkan kesalahan memiliki dan cuba menjual 210 paket kacang cap tangan palsu itu telah didenda $700. (The Straits Times, 15 Oktober 1981:15).

Iklan Kacang Cap Tangan Ngan Yin


Kacang Ngan Yin dalam Tin, produk ini diperkenalkan pada tahun 1966


Strategi memerangi Kacang cetak rompak.


Pengasas Ngan Yin meninggal dunia

Pengasas perusahaan kacang menglembu cap tangan, Encik NganYin meninggal dunia pada 20 Julai 1980, ketika sedang melakukan aktiviti jalan kaki di kaki Bukit Kledang. Beliau yang berusia 61 tahun pada ketika itu, tiba-tiba diserang sakit jantung yang membawa maut.

Produk terkini Ngan Yin (Sumber : Nganyin.com)
Rujukan :



An Export First: Groundnuts for the States (14 jun 1968), The Straits Times. P.14

Boom for groundnut industry if supply can meet demand (21 Julai 1969) The Straits Times. P.8
 
Counterfeit Label (15 Oktober 1981) The Straits Times. P.14

Menglembugroundnuts reach the U.S.A. (7 August 1968). The Straits Times. P.8

Question of nuts, bread and butter.(14 January 1974). The Straits Times. P.15

Stephen Boey. (21 May 1970) Nuts- A growing cocern!, The Straits Times. P.7

www. Nganyin.com



Wednesday, November 21, 2012

Foh Hup Omnibus (1937 - 2002) : Berakhirnya sebuah legasi.

Oleh : Harith Faruqi Sidek


Legasi bas hijau (Sumber : Google image)

Jika mengimbau kembali korpus sejarah pengangkutan awam negara, nama Foh Hup Omnibus Sdn. Bhd. pastinya menggamit kenangan ramai pengguna pengangkutan awam sekitar laluan Kuala Lumpur, Ulu Langat, Hulu Langat hingga Seremban. Syarikat Foh Hup Omnibus mulai beroperasi sekitar tahun 1937, ketika zaman emasnya, Foh Hup begitu dominan dan membina legasinya sendiri sebagai antara syarikat bas terbesar dan termaju di negara pada ketika itu. Malah jika berada di Puduraya, kelibat bas Foh Hup dengan berwarna hijau begitu banyak tersusun sedia menunggu penumpang di kebanyakkan platfom, seolah-olah Puduraya itu merupakan perhentian milik mereka, bas milik syarikat lain seakan sekadar "menumpang" sahaja dengan satu dua platfom sahaja.

Stesyen Bas Foh Hup di bandar kajang. (Sumber : NSTP)

Perkhidmatan termaju

Dengan prestasi kewangan yang kukuh, Foh Hup mampu menawarkan perkhidmatan yang termaju pada era 60an - 70an, berbanding syarikat Bas tempatan yang lain, mereka mampu memperolehi bas-bas dari model terkini dan mahal, umpamanya bas dari jenama Mercedes-Benz.

Foh Hup mengiklankan penggunanaan bas dari jenama Mercedes-Benz pada tahun 1962 (Sumber :NST, 24 April 1962 : 9)

Foh Hup bantu jayakan Pertandingan Membaca Al-Quran

Pada tahun 1970, ketika negara menganjurkan pertandingan membaca Al-Quran, Foh Hup Omnibus telah menawarkan perkhidmatan lima buah bus untuk membawa penonton yang ingin menyaksikan pertandingan tersebut yang diadakan di Stadium Merdeka dengan potongan separuh harga bagi tiket. Foh Hup akan mengambil penumpang di enam kawasan yang dipersetujui oleh pihak penganjur, iaitu di Batu 18, 16 dan 14 Ulu Langat, Balai Polis Batu 9 Cheras, Kampung Sungai Midah dan Balai Polis Kajang. Sementara lain-lain laluan adalah dibawah tanggungjawab syarikat bas lain seperti  Len, Len Chee, syarikat KL - Klang & Port Swettenham, Sri Jaya dan Len Seng.

Pengambilan kondukter bas wanita

Syarikat Foh Hup merupakan antara syarikat terawal yang memecah tradisi dengan mengambil wanita sebagai kondukter bas. Mulai tahun 1970, Foh Hup telah mengambil 20 orang pekerja wanita sebagai kondukter lalu memecah dominasi kaum lelaki yang menguasai jawatan tersebut secara total. Langkah berani ini kemudiannya diikuti oleh beberapa syarikat pesaing seperti Leng Seng.

Salah satu babak yang membabitkan bas Foh Hup  dalam filem "Tunang Pak Dukun" keluaran tahun 1960.

Kejatuhan syarikat- syarikat bas terawal

Namun perubahan prestasi ekonomi dan arus permodenan yang melanda industri pengangkutan awam memberi impak yang besar keatas syarikat gergasi ini serta beberapa syarikat bas yang sezaman dengannya. Masaalah kewangan telah menyebabkan syarikat- syarikat bas terawal seperti United North Malaya Transport Company, Chin Wah Company Omnibus, Eng Lip, Lian Hoe, Len Omnibus, Penang Yellow Bus, Toong Foong, Sum Omnibus serta Foh Hup Omnibus sendiri bergelut untuk meneruskan perkhidmatan mereka. Akhirnya satu persatu syarikat ini menamatkan perkhidmatan akibat tidak lagi mampu menampung kos operasi yang begitu tinggi berbanding pulangan yang diperolehi syarikat.


Notis pemberitahuan tenatang mogok kesatuan pekerja yang turut melibatkan kakitangan Foh Hup Omnibus pada tahun 1971.

Foh Hup Omnibus ditutup

Setelah sekian lama bertahan dengan masalah kewangan yang meruncing, akhirnya Syarikat ini terpaksa menghentikan operasinya. Apa yang menyedihkan, syarikat ini menghentikan operasinya secara mengejut pada pagi 18 April 2002, lalu menyebabkan ribuan pelajar dan pekerja yang sering menggunakan perkhidmatan ini terkandas di perhentian-perhentian bas setelah bas Foh Hup yang sering dinaiki tidak muncul seawal jam 6 pagi lagi. Antara kawasan yang terjejas teruk ialah Sungai Lui, Ulu Langat, Sungai Tekali, Semenyih, Lenggeng, Broga, Pajam, Kajang dan beberapa kawasan di Nilai dan Seremban, kerana Foh Hup adalah satu-satunya syarikat bas yang beroperasi di laluan berkenaan. Kawasan-kawasan lain masih bernasib baik kerana ada syarikat lain yang turut beroperasi di kawasan tersebut seperti Park May ( City Liner).

Bas - bas yang sepatutnya beroperasi itu rupanya telah dikumpulkan di depot simpanan bas yang terletak di Taman Jasmin, Kajang. Sebanyak 32 buah bas milik syarikat berkenaan ditinggalkan tanpa cukai jalan dan permit perjalanan oleh pihak pengurusan syarikat. Permit perjalanan yang diberikan kepada Foh Hup sah sehingga 2006, ertinya syarikat ini telah menamatkan operasinya hampir empat tahun lebih awal dari tarikh tamat permit.

Hentian bas Kajang yang menjadi persinggahan Bas Foh Hup suatu masa dahulu (NST, 20 November 1992)


Kerugian berpanjangan faktor syarikat ditutup

Laporan Zaini Raban ( Utusan Malaysia, 20 April 2002) berjaya mendapatkan penjelasan mengapa syarikat Foh Hup terpaksa "Gulung Tikar",  menurut Pengarah Urusan Foh Hup Omnibus sendiri, iaitu Encik Hee Then Mu, syarikat terpaksa menghentikan operasi akibat tanggungan kerugian yang berpanjangan mulai tahun 1994. Kerapuhan prestasi kewangan menjejaskan prestasi syarikat, akhirnya mereka kekurangan bas lalu gagal bersaing dengan syarikat lain yang menawarkan perkhidmatan yang lebih baik.

Menurut beliau lagi, purata  kerugian Syarikat Foh Hup setiap bulan adalah sebanyak RM100,000, lalu kos operasi dan penyelenggaraan mulai terjejas. Akhirnya setelah 65 tahun beroperasi dan tegar melalui zaman emas dan murung, syarikat ini akhirnya terpaksa ditutup.



Tidak bergaji dan hilang pekerjaan

Penutupan syarikat Foh Hup telah membuka pekung yang tidak diketahui awam sebelum ini, 120 orang pekerjanya bukan sahaja telah kehilangan pekerjaan, malah lebih teruk dari itu, sebahagian daripada mereka tidak dibayar gaji sejak bulan mac tahun berkenaan, manakala sebahagian lagi menerima gaji secara ansuran. Laporan Sharifuddin Shaari ( Utusan Malaysia, 18 April 2002 ) turut menyebut tentang para pekerja yang tidak menikmati kenaikan gaji sejak empat tahun lalu selain caruman kedalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ( KWSP) juga tidak dijelaskan oleh Foh Hup Omnibus sejak lima tahun lalu. Malah faedah lain yang layak diterima oleh para pekerja seperti faedah kesihatan, cuti tahunan dan pakaian seragam juga telah dibaikan oleh pihak syarikat atas faktor kewangan yang sangat meruncing.



Bas disita dan dilelong

Bagai jatuh ditimpa tangga, pada pengurusan Foh Hup sedang berkira-kira mencari penyelesaian bagi meneruskan semula operasi syarikat dan menyelamatkan 120 orang pekerja yang pernah mereka naungi, syarikat disabitkan dengan kesalahan kerana gagal menjelaskan caruman KWSP pekerja-pekerjanya yang seramai 120 orang itu. Laporan Zaini Rabin ( Utusan Malaysia, 20 April 2002) menyebut syarikat perlu menjelaskan caruman sebanyak RM737,587 yang tertunggak sejak Februari 1998 hingga Februari 2000. Pada 19 April 2002, pihak KWSP telah mengambil tindakan menyita kesemua 32 buah bas milik Foh Hup yang disimpan di depoh bas di Taman Jasmin, Kajang. Bas -bas Foh Hup di cawangan Seremban sebanyak 24 buah turut menerima nasib yang sama.

Atas arahan mahkamah, Foh Hup diberi tempoh dua minggu untuk menjelaskan caruman tersebut, jika gagal, kesemua buah bas yang telah disita itu akan dilelong dan hasilnya akan dicarum dalam akaun KWSP para pekerja yang terlibat. Malangnya, setelah tamat tempoh rundingan yang diberikan, pihak Foh Hup Omnibus masih gagal menjelaskan caruman KWSP para pekerjanya yang tertunggak, usaha mencari rakan kongsi baru bagi mendapatkan dana juga gagal. Atas kegagalan tersebut, pihak KWSP terpaksa mengambil tindakan melelong bas - bas serta aset lain milik Foh Hup yang berada di setiap cawangan. Lelongan bas-bas di cawangan Kajang beserta peralatan pejabat berjaya mengutip RM 164,000, baki selebihnya ditampung oleh hasil lelongan 24 buah bas di Cawangan Seremban.

Berkaitan dengan jumlah sebenar bas yang dimilik oleh Foh Hup Omnibus, disini terdapat percanggahan fakta, kerana laporan M.K Megan dan Cheah Chor Sooi (NST, 21 April 2002) menyebut keseluruhan bas milik syarikat Foh Hup adalah sebanyak 45 buah sahaja, tetapi hanya 38 sahaja yang dalam keadaan baik, sementara 7 buah lagi sedang dibaiki. 


Jejak akhir bekas bas-bas Foh Hup

Tiada maklumat apa yang terjadi keatas bas-bas yang dilelong, namun mungkin juga bas-bas berkenaan masih menabur jasa dan bakti tetapi dalam "rupadiri" yang berbeza, mungkin sudah "dijelmakan" semula sebagai bas sekolah atau bas kilang. Atau mungkin juga ada yang telah dibeli oleh syarikat pesaingnya dahulu.


Menjadi kenangan abadi

Berakhirnya legasi bas Foh Hup pastinya dirasai oleh rata-rata bekas penggunanya,  mana tidaknya nostalgia bersama bas ini bermula dari zaman kanak-kanak hingga ke alam persekolahan malah kelangsungan itu diteruskan hingga ke alam pekerjaan. Saya juga tidak terkecuali, merasai nostalgia tersebut, apatah lagi bas Foh Hup lah bas pertama yang saya naiki, dan kenangan itu saya kongsi bersama arwah datuk yang juga insan pertama yang membawa saya sampai ke Puduraya, "rumah" utama bas Foh Hup

Bas Foh Hup mengambil penumpang di Kajang (NST, 20 November 1992)

Sebagai penutup, setinggi terima kasih buat semua bekas pekerja Foh Hup Omnibus yang selama mereka memberikan perkhidmatan telah memudahkan saya ke sekolah dan Universiti, jasa kalian dikenang dan tersemat dalam lipatan sejarah. Manalah tahu suatu hari nanti kita akan melihat semula kemunculan Foh Hup Omnibus.



Rujukan:


Cadangan Foh Hup jadi rakan kongsi dipertimbang (21 April 2002), Utusan Malaysia.

Gadis2 jadi kondakter: Belum ada ranchangan kata Sri Jaya ( 24 Januari 1970), Berita Harian. P.2


KWSP lelong 14 bas Foh Hup (30 Julai 2002), Utusan Malaysia.

L.H Lim. (20 November 1992). Bus-stand on wrong side of road. New Straits Times.


M.K Megan, Cheah Chor Sooi. (21 April 2002). Foh Hup’s action wrong, says TWU , New Straits Times.

Perkhidmatan bas dan k-api khas ka-peraduan Kur’an (11 November 1970), Berita Harian. P.5

Sahbulan Mohamad. (18 April 2002). Foh Hup henti operasi dikesali , Utusan Malaysia.

Sharilfuddin Saari. (18 April 2002). Foh Hup henti opeasi mengejut, Utusan Malaysia.

Tiga syarikat ambil alih 15 laluan Foh Hup (24 April 2002), Utusan Malaysia.

Zaini Raban. (20 April 2002). Gagal mencarum: KWSP sita 32 bas Foh Hup, Utusan Malaysia.