Sunday, July 22, 2012

Menyingkap sejarah serta misteri Istana Kellie (Kellie’s Castle)

Oleh : Harith Faruqi Sidek


Sebut sahaja Batu Gajah, Perak, pastinya nama Istana Kellie atau Kellie’s Castle akan disebut sebagai tarikan utamanya.  Walaupun telah berusia 107, istana lama yang mulai dibina pada tahun 1905  ini terus kukuh berdiri di puncak bukit, malah keadaan fizikalnya makin bertambah baik hasil aktiviti konservasi yang telah dilakukan keatasnya. Jika mahu disingkap sejarah pembinaanya, ramai yang menyatakan Istana Kellie itu ibarat Taj Mahal Malaysia, kerana sepertimana bangunan bersejarah di Agra, India itu, Istana Kellie dikatakan dibina sebagai manifestasi cinta seorang suami kepada isterinya. Jika Taj Mahal dibina sebagai lambang cinta Shah Jehan kepada Mumtaz Mahal, Istana Kellie pula dibina atas rasa kasih dan sayang William Kellie Smith kepada isteri beliau, Agnes. William Kellie Smith dikatakan bertemu jodoh dengan Agnes sewaktu berada diatas kapal dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang. Sebenarnya William Kellie Smith bukan sahaja telah membina sebuah istana buat isterinya, tetapi beliau turut memindahkan beberapa hartanah miliknya atas nama Agnes. Kedudukan sosial keluarga William Kellie Smith pada ketika itu dikatakan sangat tinggi, malah mereka dikatakan dikalangan 10 keluarga elit di daerah Kinta yang menguasai perusahaan ladang getah dan pelombongan bijih timah.



Siapa William Kellie Smith
William Smith dilahirkan pada 1 Mac 1870 di Moray Firth, Dellas, sebuah kawasan tanah tinggi di Scotland. Dilahirkan dalam keluarga petani, beliau merupakan anak ketiga daripada lima orang adik beradik. Pada 1 Mac 1890 (Utusan Malaysia, 22 Januari 2008), sewaktu berumur 20 tahun, William dikatakan telah merantau ke Malaya untuk menambahbaik taraf kehidupannya,  beliau bermula sebagai jurutera awam dengan mendapat kontrak selama 2 tahun dengan kerajaan kolonial bagi membina laluan keretapi ke sebuah kuari batu yang baru dibina,malangnya projek ini mempunyai masalah lalu beliau terpaksa menghantikannya. William seterusnya membuat usahasama dengan seorang kontraktor, Charles Alma Baker bagi mengusahakan projek membina jalan raya di Perak.

Usahasama dengan Charles Alma Baker ternyata begitu menjadi, beliau berjaya mendapatkan 200 ekar tanah di Batu Gajah untuk diusahakan. William memilih untuk mengusahakan tanaman kopi mulai tahun 1896, namun ianya tidak bertahan lama kerana pasaran untuk kopi malaya telah merosot akibat kemunculan kopi dari Brazil yang sangat popular. William kemudiannya telah menggantikan tanaman kopi beliau dengan getah, ianya dianggap tindakan yang bersesuaian pada ketika itu kerana getah sangat diperlukan sebagai bahan mentah dalam pembuatan tayar pneumatik. Industri pembuatan kenderaan yang sedang meningkat naik di eropah menyebabkan permintaan terhadap getah menjadi tinggi dan lumayan. Ladang getah seluas 144 ekar itu diusahakan bersama rakan kongsi beliau, Alma Baker (Berita Harian, 17 September 2008),William Kellie Smiths akhirnya berjaya membeli sebuah ladang di kawasan Batu Gajah, estet berkenaan kemudiannya dinamakan Ladang Kinta Kellas. Selain itu, William Smith turut mengusahakan syarikat perlombongan bijih timah yang dinamakan Kinta Kellas Dredging Company. Menurut  (Dr. Ho Tak Ming, 2007 ) , pada tahun 1903, William Smith terpaksa pulang ke Scotland bagi melawat ibu beliau yang sedang nazak, dalam perjalanan pulang inilah beliau bertemu bakal isterinya, Agnes. Setelah kembali semula ke Malaya, William telah menambah nama “Kellie” pada nama beliau, dan mahu dikenali sebagai William Kellie Smith. Nama “Kellie” adalah bersempena nama ibunya selain mengahwini Agnes. Agnes merupakan pewaris kepada perniagaan kapas yang diusahakan oleh keluarga beliau, Agnes dikatakan bakal mewarisi dana sebanyak 300,000 pound.

Mendiang William Kellie Smith ( 1870 - 1926) - Gambar ihsan Lamography.com


Karenah Agnes
 Setelah mengahwini Agnes, William tinggal di rumah beliau yang telah dibina di kawasan ladang miliknya, rumah berkenaan dinamakan Kellas House. Kellas House dibina dari kayu, lalu dalam cuaca tropika,  pada ketika suhu panas, suhu dalam rumah turut menjadi tinggi. Suhu yang panas sangat tidak menyenangkan Agnes, beliau tidak sukakan Kellas House dan mengindamkan sebuah rumah yang lebih sesuai. Sewaktu mengandungkan Helen, Agnes telah menyuarakan hasrat tersebut kepada William. Sudah menjadi kelaziman keluarga elit dari eropah pada ketika itu,untuk lari dari cuaca panas, mereka akan berkunjung ke Bukit Maxwell di Taiping atau Bukit Kledang di Menglembu, Ipoh.

Istana Kellie dibina
 Menyedari situasi kewangan beliau yang baik, William setuju dengan cadangan isteri beliau, tambahan pula isterinya itu bakal mewarisi dana sebanyak 300,000 Pound sterling yang dianggap lebih dari cukup untuk membiayai rumah idaman mereka. Setelah Agnes melahirkan anak sulung mereka Helen pada 1904, William tanpa lengah lagi terus mengusahakan pembinaan kediaman baru mereka. Dalam tahun yang sama, William telah berurusan dengan sebuah firma kewangan dari Singapura untuk memperolehi dana pendahuluan sebanyak 24,000 pound setahun selama 3 tahun. Pembiayaan kewangan ini dikatakan untuk pembangunan ladang milik beliau disamping pembinaan rumah baru keluarga tersebut, pembayaran balik atas dana pendahuluan tersebut akan dilunaskan sebaik sahaja pemegang amanah perniagaan keluarga Agnes melepaskan dana yang diamanahkan kepada mereka.

Masalah kewangan rencatkan proses pembinaan
Setahun selepas perancangan pembinaan dibuat, William telah menerima berita yang kurang menyenangkan, pemegang amanah dana milik isterinya telah memaklumkan bahawa dana berjumlah 300,000 pound itu hanya akan dilepaskan dalam tahun 1908. Tambah menyulitkan lagi, firma kewangan dari Singapura yang menyediakan dana pinjaman kepada william turut mengalami nasib malang, mereka terpaksa menghentikan pembiayaan kepada William kerana firma itu sendiri mengalami kegawatan ekonomi kesan prestasi perniagaan mereka yang teruk di Indonesia. Untuk keluar dari kemelut kewangan ini, William telah meminta Agnes menulis surat kepada  kerajaan kolonial untuk memohon dana bantuan sebanyak 50,000 pound. Permohonan tersebut diterima, tetapi dengan nilai separuh dari yang dimohon, sebelum dikurangkan lagi, akhirnya nilai akhir yang setuju dipinjamkan oleh kerajaan kolonial kepada Agnes adalah sebanyak 10,000 pound. Karenah pemerintah kolonial yang dikatakan skeptikal terhadap keupayaan Agnes membayar balik pembiayaan yang dimohon telah mencabar William untuk meneruskan juga pembinaan kediaman baru mereka.

Kesempitan kewangan ini menyebabkan William terpaksa menjual 2/3 kawasan ladang milik beliau  bagi tujuan pembayaran balik dana yang dipinjam. Malang kemudian berkunjung lagi, kali ini permit konsesi milik William melalui aktiviti perlombongan bijih timah telah ditamatkan selain kehilangan ternakan kuda dan lembu akibat wabak penyakit.


Dibina menggunakan putih telur, gula merah dan madu
Setelah memperolehi dana yang diwarisi oleh Agnes pada tahun 1908, pembinaan istana akhirnya berkenaan dapat diteruskan. William telah menggaji 70 orang buruh mahir dari Madras, India untuk menyiapkan kediaman beliau, kebanyakkan bahan binaan hiasan seperti batu marmar adalah  diimport dari India, sementara Jubin yang digunakan diimport dari Itali pada tahun 1904. Batu bata jenis aprikot yang digunakan dibuat di Malaya, begitu juga dengan kayu cengal yang menghiasi  jenang pintu dan tingkap istana berkenaan, kualiti kayu cengal sememangnya diakui serta mampu kekal utuh sehingga 200 tahun lamanya. Oleh kerana pada ketika itu simen tidak ada di Malaya, maka dinding istana tersebut dibina dengan kaedah yang sangat unik, iaitu dengan menggunakan campuran putih telur itik, pasir, kapur, gula merah dan madu. Dengan seni binanya yang mempunyai asimilasi konsep Greco – Roman, Moorish dan india, istana ini sememangnya unik, malah binaan yang seumpamanya tidak dapat dilihat dimana-mana di Malaya pada ketika itu. Menurut Tajuddin Yaakob, Pengurus Istana Kellie, pembinaan istana ini tidak menggunakan paku, besi atau jentera berat. Menurut beliau lagi, seandainya lif di menara Istana Kellie dapat disiapkan, maka bangunan itu akan menjadi bangunan pertama di Malaya yang mempunyai lif.


 Ciri-ciri senibina yang terdapat pada bangunan sekretariat kolonial di Kuala Lumpur turut diselitkan, bagi mengatasi masalah suhu panas dalam rumah yang menjadi isu kepada Agnes, William menggunakan dinding batu yang tebal, selain laluan berkoridor yang akan membantu pengudaraan yang baik. Intana Kellie sebenarnya pernah mendapat liputan sebuah akhbar inggeris di London, iaitu London Financier pada 15 September 1911. Menurut laporan akhbar berkenaan, istana kellie dianggap unik dari sudut rekabentuk binaan serta keluasannya.

Istana Kellie dari seberang Sungai Kinta.

Penulis bersama anakanda Ziyad di bahagian atas Istana Kellie.

Penulis di koridor Istana Kellie.


Bilik-Bilik
Pelan asal sewaktu Istana ini dibina menunjukkan ianya  mempunyai 14 buah bilik yang mempunyai fungsi yang berbeza setiap satunya. Setiap bilik ahli keluarga yang terdapat di tingkat satu mempunyai laluan tangga yang akan digunakan ketika kecemasan (NST, 2004).

Bilik Khas yang dipercayai untuk menyimpan minuman keras.

Ukiran pada dinding salah satu bilik di Istana Kellie

Bingkai serta daun tingkap yang diperbuat dari kayu cengal

Terowong rahsia
Istana ini dikatakan mempunyai tiga terowong dibawahnya, terowong pertama menuju ke kuil Hindu yang berada kira-kira 500 meter dari istana ini, terowong kedua menuju jalan keluar yang berada betul-betul berdekatan kereta milik keluarga Kellie, laluan terowong ini dikatakan telah runtuh dan kereta berkenaan tertimbus dibawah runtuhan tersebut. Terowong terakhir, iaitu terowong ketiga masih kekal misteri kemana arah tujunya.(NST, 26 Julai 2004). Terowong pertama dan kedua memang telah diketahui sejak istana ini ditinggalkan, tetapi terowong ketiga hanya ditemui pada tahun 2003. Terowong ketiga hanya ditemui pada tahun 2003 secara tidak sengaja, ianya ditemui sewaktu Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan kerja-kerja membuat jalanraya di Km 4 Jalan Gopeng – Batu Gajah dijalankan. Projek berkenaan terpaksa dihentikan selama 3 hari setelah terowong berkenaan ditemui sewaktu kerja-kerja menggali dijalankan. Sewaktu ditermui, terowong yang berketinggian 1.5 meter dengan lebar satu meter itu dalam keadaan ditenggelami air (Bernama, 13 Jun 2003).

Lubang udara dari terowong yang menghala ke Kuil Sri Mariamman

William Kellie Smith dan Agnes bersama kereta Marlborough milik mereka, kereta inikah yang dikatakan tertimbus dibawah runtuhan salah satu terowong di Istana Kellie. (Gambar ihsan Arkib Negara Malaysia dan NST).
Perang dunia pertama lambatkan pembinaan
Meskipun masalah kewangan dapat diatasi oleh William, proses pembinaan kediamannya kali ini diancam pula dengan krisis perang dunia pertama yang berlaku di eropah. Bekalan bahan mentah dari luar negara melalui jalan laut menjadi sangat lambat, sementara kos perdagangan cara darat meningkat berkali ganda kosnya. William sangat terdesak untuk menyiapkan segera kediaman tersebut, tambahan pula Agnes telah melahirkan anak kedua mereka, Anthony.


Binaan tergendala akibat wabak Penyakit
Wabak penyakit yang dinamakan “Spanish’s Flu” yang bermula di eropah telah tersebar ke asia, terutamanya India, melalui aktiviti perdagangan yang berlaku.  Wabak ini akhirnya melanda Malaya, melalui pekerja ladang yang dibawa dari India, musibah ini mendatangkan kesan yang amat besar kepada William,  kesemua 70 orang tenaga mahir yang dibawa khas dari India yang ditugaskan membina istana Kellie telah mati akibat wabak ini. Malah ramai lagi pekerja beliau yang turut maut.


Pembinaan Kuil Sri Maha Mariamman
Kesan wabak penyakit "Spanish Flu" yang telah mengorbankan ramai pekerja menyebabkan pekerja ladang yang kebanyakkannya berasal dari India berada dalam ketakutan. Mereka merasakan mereka perlu mendapatkan perlindungan daripada tuhan mereka, lalu memohon William Kellie Smith membina sebuah kuil untuk Dewa Mariamman, beliau bersetuju untuk membina kuil tersebut. Sebagai tanda penghargaan kepada William Kellie Smith, sebuah patung berupa beliau telah diukir dan diletakkan bersama patung-patung dewa lain di atas bumbung kuil berkenaan.

Kematian William Kellie Smith
Pada tahun 1926, William serta anaknya Helen telah pergi ke Lisbon, Portugal sebelum meneruskan perjalanan ke England untuk melawat Agnes dan Anthony. Ada juga maklumat yang mengatakan William Kellie pulang ke England untuk membawa balik set lif yang ingin beliau pasang di menara istananya ( NST, 27 Mei 2008). Malangnya sewaktu berada di  Portugal, William telah diserang penyakit radang paru-paru yang kronik, beliau akhirnya meninggal dunia di Lisbon pada 11 Disember 1926 pada usia 56 tahun.

Pembinaan istana terbengkalai
Setelah kematian suaminya, Agnes telah meninggalkan Malaya, sebelum itu beliau telah bertindak menjual segala harta milik mereka, termasuk Istana Kellie (NST, 27 Mei 2008). Ladang milik Kellie telah dijual kepada Syarikat Harrisons and Crosfield. Syarikat yang mulai mengambil alih ladang berkenaan ternyata tidak berminat dengan projek istana tersebut, lalu pengarahkan pembinaanya tidak diteruskan dan dibiarkan begitu sahaja, maka pembinaan istana Kellie terhenti pada tahun 1926.

 Waris William Kellie Smith
Tidak dapat dipastikan sama ada pernah ada usaha untuk menjejaki waris William Kellie Smith, namun berdasarkan rekod, anak lelaki beliau, Anthony William Kellie-Smiths pernah berkhidmat dalam pasukan tentera British sewaktu perang dunia ke2, Anthony kemudiannya terbunuh pada 9 Jun 1942, pada ketika itu beliau berpangkat Leftenan. Hasil semakan daripada laman web “The Peerage : A genealogical survey of the peerage of Britain as well as the royal families of Europe”
( http://www.thepeerage.com/) , keturunan William Kellie Smiths yang seterusnya ialah cucu beliau, David Anthony Kellie-Smith yang dilahirkan pada 4 jun 1940, serta dua orang cicit, iaitu Samuel Anthony Kellie-Smith ( dilahirkan pada 12 May 1966) dan Owen William Kellie-Smith ( dilahirkan pada 20 julai 1968), jurai keturunan ini adalah daripada anak lelaki beliau, Anthony, sementara jurai keluarga dari sebelah anak perempuan Smith, Helen tidak dapat dikesan.

Antara sudut Istana yang gagal disiapkan

Terbengkalai....
  
Kisah Misteri disebalik Istana Kellie
Sudah menjadi lumrah mana-mana bangunan lama yang ditinggalkan, kisah misteri seram pasti diulit dan menjadi sebutan dari generasi ke generasi,sepertimana kisah penunggu di Istana Menati, Negeri Sembilan atau kisah Perempuan Hijau di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Istana Kellie sendiri mengundang pelbagai kisah misterinya yang tersendiri. Malah Istana Kellie pernah dicadangakan sebagai antara kawasan tarikan bagi Pelancongan Paranormal (Paranormal Tourism) bersama Jirat Cina di Sungai Besi, Selangor (NST, 13 Mac 2006).


Roh William Kellie menjaga istananya
Roh William Kellie Smith juga dikatakan sentiasa merayau-rayau di sekitar koridor bekas istananya itu.(NST, 27 Mei 2008). Ketika ditemuduga dalam satu rancangan dokumentari, Tajuddin Yaakob, Pengarah Aqfast Enterprise, iaitu syarikat yang bertanggungjawab menguruskan Istana Kellie turut berkongsi kisah misteri. Beliau merujuk peristiwa dimana sekumpulan ahli naturalis saintifik dari Kanada yang mengadakan kajian tentang haiwan yang keluar pada waktu malam di kawasan berkenaan. Sekitar tengah malam, setelah selesai mengambil gambar, salah seorang anggota wanita pasukan tersebut dikatakan telah terlihat satu lembaga yang menyerupai seorang lelaki bangsa eropah sedang berdiri dan menjenguk dari salah satu tingkat di Istana berkenaan, lembaga tersebut dipercayai roh William Kellie Smith.

Di koridor inikah Roh William Kellie Smith dikatakan dilihat merayau-rayau ?


Misteri Bilik Helen
Antara ruang dalam istana Kellie yang dianggap mempunyai misteri ialah bilik anak perempuan beliau, Helen. Seorang pengunjung dikatakan pernah terlihat seorang budak perempuan bangsa eropah dalam lingkungan usia enam tahun berkeliaran di bilik tersebut.

Adakah di bilik ini  "lembaga budak perempuan" itu muncul ?

Pengawal Tanpa Kaki
Dalam tahun 1995, dikisahkan empat orang pemuda dari Tapah, Perak buat kali pertamanya melawati Istana Kellie, mereka tiba di Istana berkenaan pada kira-kira pukul lima petang. Malangnya mereka telah didatangi seorang lelaki yang dipercayai pengawal istana berkenaan dan dimaklumkan bahawa premis berkenaan telah ditutup kerana telah melewati tempoh melawat. Sebelum meninggalkan premis berkenaan mereka sempat memandang kearah pengawal tadi yang sedang menuju ke pondok pengawalnya, disitulah baru mereka sedari bahawa pangawal tadi TIDAK BERKAKI, sebaliknya seakan melayang menuju ke pondoknya (NST, 8 Oktober 2006).

Bertemu Langsuir
Seorang pengawal di Istana Kellie, Kamazan Yeop atau Pak Naman berkongsi pengalaman seram beliau sewaktu melakukan tugas rondaan selepas waktu melawat berakhir pada pukul 6 petang. Sewaktu beliau melintasi sebatang pokok angsana yang berada di halaman istana berkenaan, beliau terdengar bunyi yang agak mencurigakan, lalu mematikan langkah beliau disitu. Sebalik sahaja menoleh kebelakang, kelihatan satu lembaga putih dengan rambut hitam menggerbang muncul di sisi pokok angsana berkenaan dan menuju kearah dimana beliau berdiri. Dalam situasi cemas itu, Pak Naman sempat membaca beberapa potong ayat quran sambil mengacukan senapang patah beliau kearah lembaga tersebut. Beberapa das dilepaskan, namun ianya tidak meninggalkan sebarang kesan, sebaliknya lembaga tersebut melayang terbang meninggalkan kawasan tersebut. Dikatakan lembaga  yang ditemui oleh Pak Naman itu sebenarnya adalah Hantu Langsui, beberapa hari kemudian, Pak Naman sekali lagi terserempak dengan satu lembaga putih, cuma kali ini di sekitar kawasan Surau premis berkenaan dan Pak Naman tidak pasti lembaga apakah yang beliau temui itu. Kedua-dua peristiwa ini berlaku dalam tahun 1997 (NST, 26 Jun 2006).

Disinikah lokasi  Pak Naman diganggu Langsuir ?


Khatimah
Pada tahun 2000, projek arkeologi konservasi telah dijalankan keatas bangunan ini, sebelum proses pemuliharaan dan naik taraf turut dilaksanakan pada 2011. Istana Kellie kini berada dalam keadaannya yang terbaik berbanding sebelum ini, projek naik taraf yang menelan belanja sebanyak RM5 juta itu merupakan sebahagian daripada projek di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10). Projek naik taraf yang siap sekitar Oktober 2011 itu telah melihatkan impak yang sangat besar kepada industri pelancongan negeri Perak, ianya berdasarkan kepada statistik pelawat sepanjang 2011 yang menunjukkan Istana Kellir telah dilawati oleh 66,000 orang pelancong dalam dan luar Negara (Bernama, 20 Oktober 2011). Kini pengurusan Istana Kellie diuruskan oleh sebuah syarikat swasta, Aqfast Enterpise. Semoga istana  ini terus kekal sebagai tarikan utama industri pelancongan negara, dan dalam masa yang sama kajian harus terus dilakukan berkaitan dengannya, usah dibiarkan Istanan Kellie ini terus kekal dalam misteri.


Seram...Istana Kellie dalam tahun 1970. (Gambah Ihsan NST)

Indah...Istana Kellie dalam tahun 2012



Rujukan :

Asyaari Muhammad. Arkeologi dalam Kerja Pemuliharaan: Cabaran Terhadap Masa Depan Negara. SARI(27), 185-197.

Azizulhakim Mohd Salleh (Writer). Rahsia Kellie's Castle. In S. College (Producer).

Castle of Love. (27 May 2008). New Straits Times, p. 16.

Chilling tales surround Kellie's Castle in Perak. (26 Jun 2006). New Straits Times, p. 16.

Diana Yeoh. (27 May 2008). Bear-y strange indeed, New Straits Times, p. 6.

Diana Yeoh. (14 March 2011). Top three places to visit in Perak, New Straits Times, p. 6.

Dzulkifley Zanudin. (29 Oktober 1997). Kellie's Castle dipertingkatkan, Berita Harian.

Hamzah Md. Som, Hassan Ismail, Sarah Sabaratnam, & Anita Anadarajah. (26 July 2004). Kellie still keeps an eye on castle, New Straits Times

Ho Tak Ming (2007). [Batu Gajah]. Ipoh World. at http://www.ipohworld.org/search8/result.asp?strid=2936 (diakses pada 16 Julai 2012)

June Ramli, & Mimi Syed Yusof. (26 Jun 2006). Spectres the new tourist spectacle, New Straits Times, p. 16.

Kellie's Castle dinaik taraf jadi 'Istana Eropah'. (20 Oktober 2011). Bernama.

Kellis's Castle kini diurus swasta. (26 Februari 2000). Utusan Malaysia.

Mai, K. P. (13 Jun 2003). Terowong ditemui dekat Kellie's Castle, Bernama.

Monster could be a real money-spinner. (13 March 2006). New Straits Times, p. 10.

Pokok menyerupai beruang tarikan baru Kellie's Castle. (22 Januari 2008). Utusan Malaysia.

Raihanah Abdullah. (4 Mei 1997). Kellie's Castle, Berita Harian.

Rosdalilah Zahari. (26 November 2008). Roh berlegar di Istana Kellie, Harian Metro, p. 10.

Rosdalilah Zahari. (17 September 2008). Taj Mahal Malaysia seteguh cinta sang suami, Berita Harian, p. 8.

San An Ren. (11 April 2001). Secret behind Kellie's Castle, New Straits Times

Shariff Kamarul Baharin (Writer). Kellie's Castle. In A. Campbell (Producer). akses di http://www.youtube.com/watch?v=a3dLSQxsE6Y

Silva, R. D., Kaur, M., Sabayanagam, N., & Ishak, N. (8 October 2006). Are they real or in the mind?, New Sunday Times, p. 7.

Siti Kharteeny Shuraddin. (28 Jun 2012). Spectacular Mansion, New Straits Times, p. 12. 

Wendy Khadijah Moore. (2007). Malaysia : A Pictorial History 1400 - 2004. Kuala Lumpur: Archipelago Press.

Zulkarnain Zakaria. (15 Oktober 2000). Melayan imaginasi di Kellie's Castle, Utusan Malaysia.

Monday, July 16, 2012

"The Real Malay" : Perihal Orang Melayu menurut Frank Swettenham

Oleh : Harith Faruqi Sidek

Dalam karya beliau yang terkenal, " Malay Sketches", Frank Swettenham telah memberi gambaran tentang orang melayu dizamannya mengikut perspektif dan pengalaman peribadi beliau mungkin sejak tahun 1871,iaitu kali pertama beliau berada di Tanah Melayu. Pandangan Swettenham tentang orang melayu ini menjadi bicara utama dalam bab pertama naskah beliau, bab tersebut diberi tajuk " The Real Malay". Naskah " Malay Sketches" in dihasilkan pada tahun 1895, maka boleh disimpulkan bahawa orang melayu yang digambarkan dalam naskah ini adalah hasil pengalaman beliau hidup dalam alam melayu selama 24 tahun.

Swettenham memulakan bab ini dengan menganjurkan bahawa untuk memahami orang melayu, seseorang itu perlu tinggal di Tanah Melayu, bertutur bahasa melayu, hormat adat dan budaya orang melayu, meminati apa yang diminati oleh orang melayu, tahu gurau senda orang melayu, sedia membantu mereka tika dalam kesusahan serta berkongsi suka dan duka mereka. Jika semua ini berjaya dilakukan, maka nescaya seseorang itu telah berjaya memenangi hati serta kepercayaan dari orang melayu. Malah Swettenham ini mampu berbahasa melayu dengan baik, hinggakan beliau mampu menghasilkan kamus "Vocabulary of the English and Malay language", selain daripada itu, Swettenham juga dikenang sebagai diantara 40 orang bekas pegawai tinggi  British yang menentang pengenalan "Malayan Union".


Bentuk Fizikal Orang Melayu

Orang melayu mengikut Swettenham, mempunyai susuk badan yang rendah tapi sasa, berambut hitam lurus dengan kulit sawo matang serta berhidung kembang dengan bibir yang tebal. Orang melayu juga digambarkan mempunyai mata yang terang.


Keperibadian Orang Melayu

Orang Melayu pada amnya bersopan santun, beradab serta peramah. Namun begitu, orang melayu tidak sewenangnya mempercayai orang asing, malah bijak menyembunyikan kesangsian mereka dengan perawakan yang ramah. Swettenham juga menggambarkan orang melayu bijak berbicara, susun kata mereka disulami dengan jenaka malah amat gemar berseloroh. Orang melayu sangat cermat dan terang hati dalam menerima pelajaran. Malah jika ditambah dengan usaha dan keazaman yang tinggi, orang melayu mampu menghasilkan sesuatu yang lebih daripada apa yang mereka pelajari.

Dari sudut kebersihan diri, kebanyakkan orang melayu zaman itu mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan suka berhias serta berpakaian kemas. Orang melayu juga mempunyai sikap dimana mereka tidak boleh bertolak ansur jika difitnah, malah mereka sanggup bertumpahan darah demi menentang fitnah tersebut. Swettenham turut menyebut tentang sikap orang melayu yang memuliakan tetamu, ianya seakan  satu kewajipan bagi orang melayu, tidak kira tinggi atau rendah darjat mereka, kaya atau miskin kehidupan mereka.

Orang melayu mempunyai bakat bersukan, malah binatang sebesar gajah pun bisa ditangkap dan dijinakkan. Sebagai nelayan, orang melayu sangat berkemahiran hinggakan bermalam diatas bot sudah menjadi kelaziman.

Keperibadian Perempuan Melayu

Swettenham melihat wanita melayu sebagai bijak bertutur, pandai mengambil hati serta kuat berahsia. Wanita melayu juga peramah, walaupun adakalanya kuat cemburu. Tatkala mencapai usia 40 tahun, mereka mula memperlihatkan kecenderungan meminati barangan kemas dan pakaian yang cantik. Wanita melayu yang dewasa juga menunjukkan citarasa mereka pada barangan mewah seperti kenderaan ( khusunya  Kuda ). Malangnya citarasa pada kemewahan dan keindahan barangan ini tidak tergambar pada kediaman mereka yang tidak teratur.

Hal ehwal berumahtangga

Orang melayu lelaki yang kaya sering menggunakan kemampuan mereka dari segi kekayaan mahupun kekuasaan sebagai alasan untuk berkahwin lebih dari seorang. Walau bagaimanapun, setelah mereka berkahwin empat, lelaki melayu sering gagal menunaikan tanggungjawab mereka keatas para isteri mereka dengan seadilnya. Menurut Swettenham lagi, orang melayu sangat bijak dalam berfalsafah dalam soal hal ehwal rumahtangga.

Hidup Beragama

Orang melayu adalah muslim yang taat, malah sanggup diseksa demi mempertahankan kesucian agama islam. Walaupun begitu, mereka dilihat tidak terlalu taksub dalam beragama. Menurut Swettenham, orang melayu tidak minum minuman yang memabukkan serta jarang sangat terlibat dengan aktiviti menghisap ganja, walaupun pada zaman itu perbuatan menghisap ganja adalah sesuatu yang bisa dikalangan masyarakat biasa dan para pemimpin. Swettenham juga mengakui, ketaatan orang melayu dalam beragama menyebabkan kebanyakkan mubaligh kristian berputus ada dalam usaha mengkristiankan mereka pada zaman itu.


Sikap pada raja, bangsa dan Negara

Orang melayu dari kacamata Swettenham sangat bangga dan sayangkan negeri dan bangsa mereka. Orang melayu juga sangat memelihara adat dan budaya mereka, maka tidak hairanlah jika ada pepatah melayu Biar mati anak, jangan mati adat. Orang melayu juga sangat taatkan raja dan pemimpin. Adat memberi hadiah, sama ada dari raja kepada rakyat atau rakyat kepada pemerintah sudah menjadi budaya. Tetapi budaya ini dilihat mulai terhakis, namun dalam beberapa keraian, ianya masih diamalkan, seperti sewaktu istiadat pertabalan raja, upacara pelantikan pegawai tinggi, majlis perkahwinan, majlis berkhatan, upacara tindik telinga dan acara lain yang seumpamanya.

Sifat Buruk orang melayu

Dalam membicarakan perihal orang melayu, Swettenham tidak mengambil sikap populis dengan hanya menceritakan apa yang baik, sebaliknya beliau turut menyingkap sisi gelap masyarakat melayu pada zaman itu. Antara tabiat atau sifat buruk orang melayu pada zaman itu yang beliau temui adalah:

1) Orang Melayu suka meminjam wang, tetapi liat untuk membayar balik

2) Orang melayu suka mengambil tahu hal ehwal jiran tetangga dan mengumpat.

3) Suka mempercayai hal yang karut marut

4) Orang melayu suka berjudi, bersabung ayam dan perkara yang seumpamanya

5) Tidak mudah menerima sebarang perubahan

6) Orang melayu  adakalanya malas, malah perkara yang rutin juga dilalaikan.

7) Orang melayu tidak menghargai masa

8) Rumah Orang melayu pada zaman itu dilihat tidak kemas, malah kotor

9) Orang melayu zaman itu suka berdendam, dan jika dendam itu tidak dapat dibalas pada orang yang sepatutnya, sesiapa sahaja yang kebetulan berada berhampiran akan menjadi mangsa, tidak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda.

10) Orang melayu suka mengamok

11) Walaupun orang melayu suka berbudi, mereka sebenarnya mengharapkan balasan.

12) Orang melayu suka berpuak-puak

13) Orang melayu amat menitik beratkan soal darjat serta keturunan, terutama dalam soal  
      perkahwinan.

Sikap buruk ini walaupun tidak enak dibaca, ianya harus menjadi pengajaran kerana inilah apa yang dilihat oleh orang luar. Akan tetapi mungkin telah ada diantara sikap buruk tersebut yang sudah pun terhakis dari masyarakat melayu kini. Senarai "buruk" ini harus menjadi pengajaran bagi orang melayu zaman mutakhir dalam meningkatkan sahsiah mereka agar dipandang tinggi, jangan terlalu dibuai oleh syair dan gurindam akan keindahan bangsa melayu, tetapi harus tegar memperbaiki diri bila ditegur.


Khatimah

Namun apa yang digambarkan oleh Swettenham ini walau bagaimanapun terhad kepada penilaian peribadi beliau selama 24 tahun mengenali masyarakat melayu dan hanya masyarakat sekitar Singapura, Selangor dan Perak yang mungkin berada dalam pemerhatian beliau. Padangan ini adalah berdasarkan tempoh beliau berada di Tanah Melayu hingga naskah Malay Sketches terhasil, iaitu pada tahun 1895. Sewaktu menghasilkan naskah yang mengandungi 22 bab ini, umur Swettenham adalah pada sekitar 45 tahun dan masih berjawatan sebagai Residen British di Perak. Selain naskah "Malay Sketches"ini, Swettenham turut menghasilkan beberapa penulisan lain yang turut menceritakan perihal orang melayu. 

Frank Athelstane Swettenham (1850 - 1946)


Kulit hadapan naskah "Malay Sketches" karya Frank A. Swettenham

Halaman Prakata oleh Swettenham, juga kelihatan tarikh naskah ini dihasilkan

Bab "The Real Malay" yang dibicarakan dalam entri ini





Naskah "Malay Sketches" yang telah didigitasi oleh University of California, naskah digital ini boleh dicapai melalui http://archive.org/details/sketchesmalay00swetrich

Rujukan:

Swettenham A. Frank. 1895. Malay Sketches. London: John Lane.

Online Version, http://archive.org/details/sketchesmalay00swetrich

Encyclopedia of Malaysia. Frank Swettenham was one of some 40 former British empire officials who actually opposed the Malayan Union.at : http://malaysia.jbdirectory.com/Frank_Swettenham ( diakses pada 15 Julai 2012)

Zuraidah Ibrahim (Penterjemah). 2003. Perihal Orang Melayu. Penerbit Universiti Malaysia.

Friday, July 13, 2012

Nama Kelasi Melayu di Liverpool Naval Memorial.

Oleh : Harith Faruqi Sidek

Kisah "Pakcik-Pakcik" melayu di Liverpool memang tidak asing lagi. Penghijrahan sejak 1940an menjadi kisah dan sejarah unik untuk dikaji dan dikisahkan semula. Namun jarang dikisahkan penglibatan sebilangan dari kelasi melayu ini dalam peperangan dunia. Para kelasi ini tidak berkhidmat dalam tentera laut British secara rasmi, sebaliknya  polisi pada masa itu menetapkan setiap kelasi yang berkhidmat dengan kapal dagang (Merchant ship) yang dimiliki oleh pihak British  adalah secara automatik boleh  diserap menyertai pasukan tentera laut sebagai bekalan sumber manusia semasa krisis. Kebanyakkan kapal ini membawa dagangan di tanah jajahan British seperti India dan negara Timur Jauh seperti Malaya dan Singapura. Antara barang dagangan yang sering dibawa ialah gula, rempah dan teh.

Namun dalam situasi peperangan, kapal dagang yang telah berada di lautan ini terlibat secara langsung dengan operasi di Lautan Pacific sewaktu perang dunia kedua,pasukan ini dinamakan Merchant Navy.  Kapal ini tidak membawa sejata berat atau bersifat seperti kapal perang, lalu tugas yang diberi adalah seperti mengesan periuk api dan sebagainya. Atas sifat pertahanannya yang lemah, kapal ini menjadi sasaran mudah musuh, akibatnya banyak kapal yang diserang dan ditenggelamkan oleh pihak musuh.

Sebagai tanda penghargaan, sebuah memorial telah dibina di Liverpool, atau lebih tepat lagi di Mersey River Front, Pier Head. Memorial ini terletak berhampiran dengan Liver Building dan Martime Meuseum. Memorial ini telah dirasmikan pada 30 November 1998 oleh Timbalan Perdana Menteri Britain, John Prescott. Pada memorial tersebut, nama 1,400 individu yang terkorban semasa perang dunia telah diabadikan, dan 40 orang daripadanya adalah para kelasi berketurunan melayu.

Liverpool Naval Memorial

                                                              
Plak Perasmian Liverpool Naval Memorial


Para kelasi melayu ini bertugas di kalangan lapan buah kapal yang tewas semasa perang dunia, iaitu;

1. H.M.S Banka ( Tenggelam pada 10 Disember 1941)
2. H.M.S Anking ( Tenggelam pada 4 Mac 1942)
3. H.M.S Fiona  ( Tenggelam pada 18April 1941)
4. H.M.S Chakdina ( Tenggelam pada 5 Disember 1941)
5. H.M.S Highflyer (Tenggelam pada 16 Januari 1946)
6. H.M.S Siang Wo ( Tenggelam pada 20 Februari 1942)
7. H.M.S Scott Harley ( Tenggelam pada 25 Februari 1942)
8. H.H.S Relau  ( Tenggelam pada 13 Februari 1942)

H.M.S Banka



H.M.S Anking

H.M.S Chakdina


Nama-nama kelasi Melayu diabadikan di memorial ini ialah;


Bil
Nama
Jawatan
Umur
Tarikh Meninggal Dunia
Nama Kapal
1
Abbas Bin Bagai
Seaman
25
4/3/1942
H.M.S Anking
2
Abdul Ghani Shariff
Greaser

18/4/1941
H.M.S Fiona
3
Abdul Khalif Muhammad Husain
Second Tindal

5/12/1941
H.M.S Chakdina
4
Abu Bin Haji Hasan
Sailor
39
4/3/1942
H.M.S Anking
5
Ahmad Ismail
Lascar

16/1/1946
H.M.S Highflyer
6
Arabi Bin Nur Samad
Seaman
48
4/3/1942
H.M.S Anking
7
Ariff Bin Ali
Quartermaster
41
4/3/1942
H.M.S Anking
8
Arshad Bin Arabi
Quartermaster
36
10/12/1941
H.M.S Banka
9
Awang Bin Kassim
First Engineman
40
10/12/1941
H.M.S Banka
10
Bag Huq Bin Mamat
Quartermaster
51
20/2/1942
H.M.S Siang Wo
11
Bakar Bin Ahmad
Seaman

25/2/1942
H.M.S Scott Harley
12
Bulut Bin Nur
Seaman
40
4/3/1942
H.M.S Anking
13
Dawi Bin Sayid
Seaman
40
10/12/1941
H.M.S Banka
14
Din Bin Ali
Fireman
38
10/12/1941
H.M.S Banka
15
Din Bin Ibrahim
Seaman
30
4/3/1942
H.M.S Anking
16
Fadzil Bin Bahath
Seaman
22
4/3/1942
H.M.S Anking
17
Hamid Bin Sa’ad
Seaman
26
10/12/1941
H.M.S Banka
18
Idris Bin Salim
Seaman
21
4/3/1942
H.M.S Anking
19
Jantan Bin Repin
Deck Bhandary’s Mate
61
10/12/1941
H.M.S Banka
20
Junid Bin Asa
Deck Bhandary’s Mate
20
10/12/1941
H.M.S Banka
21
Kaseh Bin Hassan
Deck Bhandary
24
10/12/1941
H.M.S Banka
22
Kasimi Bin Yusuf
Seaman
36
4/3/1942
H.M.S Anking
23
M. Nasu B.H Yusuf
Gunner
37
10/12/1941
H.M.S Banka
24
Madar Bin Bakong
Fireman

10/12/1941
H.M.S Banka
25
Manaf Bin Yatim
Deck Bhandary

10/12/1941
H.M.S Banka
26
Maswan Bin Ibrahim
Sailor

4/3/1942
H.M.S Anking
27
Minsuri Bin Malik
Seaman
27
10/12/1941
H.M.S Banka
28
Mohak Bin Yusuf
Seaman
37
4/3/1942
H.M.S Anking
29
Muhammad Ali Bin Yusuf
Quartermaster
31
4/3/1942
H.M.S Anking
30
Muhammad Arifin Bin Taib
Seaman
33
4/3/1942
H.M.S Anking
31
Muhammad Bin Sairi
Seaman
23
4/3/1942
H.M.S Anking
32
Muhammad Hashim Bin Ahmad
Seaman
23
4/3/1942
H.M.S Anking
33
Muhammad Saleh Bin Haji Mujitabah
Seaman
24
4/3/1942
H.M.S Anking
34
Mustafa Bin Mat
Deck Serang
25
13/2/1942
H.M.S Relau
35
Na Din Bin Abdul Jalil
Bhandary
21
4/3/1942
H.M.S Anking
36
Rawi Bin Biju
Fireman’s Serang
44
10/12/1941
H.M.S Banka
37
Saleh Bin Taib
Fireman
34
10/12/1941
H.M.S Banka
38
Sawal Bin Sandang
Engine Driver

10/12/1941
H.M.S Banka
39
40
Shamsi Bin Saleh
Adnan Bin Hahran
Seaman
Seaman
33
19
10/12/1941
10/12/1941
H.M.S Banka
H.M.S Banka


Nama kelasi kapal H.M.S Anking

Nama Kelasi Kapal H.M.S Banka

Daftar nama yang disimpan di Pejabat Rekod Liverpool, Liverpool Central Library.

Meskipun kebanyakkan kelasi ini berasal dari Singapura, namun pada waktu itu Singapura masih sebahagian dari Malaya.  Entri ini akan dikemaskini dari masa ke semasa apabila ada penemuan baru.

Bingkisan buat mereka yang telah pergi terdahulu dari kita.



Sumber :

 http://s994.photobucket.com/profile/AnGem_1

http://www.naval-history.net/xDKCas1941-12DEC1.htm

http://www.cwgc.org/find-a-cemetery/cemetery/2048704/LIVERPOOL%20NAVAL%20MEMORIAL

 http://en.wikipedia.org/wiki/Merchant_Navy_%28United_Kingdom%29

Harith Faruqi Sidek. 2012. Diaspora Melayu di Liverpool (Manuskrip).